KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara telah memfailkan pertuduhan-pertuduhan jenayah terhadap anak-anak syarikat Goldman Sachs investment bank, pekerja-pekerja utamanya, bekas pekerja 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan dan Low Taek Jho (umumnya dikenali sebagai Jho Low) berhubung penjualan bon-bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion, yang melanggar undang-undang sekuriti Malaysia.

Peguam Negara Tommy Thomas dalam satu kenyataan media berkata pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka termasuk pekerja bank, Tim Leissner dan Roger Ng Chong Hwa, adalah di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

Thomas juga berkata Ng akan didakwa tidak berapa lama lagi.

“Pertuduhan-pertuduhan itu berbangkit daripada perlakuan dan persubahatan dalam hal membuat pernyataan-pernyataan yang palsu atau mengelirukan oleh semua tertuduh bagi menggelapkan AS$2.7 bilion daripada hasil tiga bon yang dikeluarkan oleh anak-anak syarikat 1MDB, yang diatur dan ditaja jamin oleh Goldman Sachs.

Ketiga-tiga bon itu dengan nilai muka sebanyak AS$6.5 bilion ialah:

(i) Bon AS$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Energy Limited menerusi Pekeliling Tawaran bertarikh 18 Mei 2012 dengan kadar faedah 5.99% setahun dan boleh ditebus pada 2022;

(ii) Bon AS$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Limited menerusi Memorandum Penempatan Tertutup bertarikh 17 Oktober 2012 dengan kadar faedah 5.75% setahun, dan boleh ditebus pada 2022; dan

(iii) Bon AS$3 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Global Investments Limited menerusi Pekeliling Tawaran bertarikh 16 Mac 2013 dengan kadar faedah 4.4% setahun dan boleh dttebus pada 2023.

Beliau berkata, Tim Leissner dan Roger Ng dari Goldman Sachs bersubahat dengan Jho Low, Jasmine Loo (Penasihat Undang-Undang 1MDB pada ketika itu) dan lain-lain untuk menyogok penjawat-penjawat awam Malaysia bagi mendapatkan pemilihan, penglibatan dan penyertaan Goldman Sachs dalam penerbitan bon-bon ini.

Beliau seterusnya berkata Goldman Sachs mendapat manfaat melalui penerimaan taja jamin dan pengaturan sebanyak kira-kira AS$600 juta yang, berkali ganda lebih tinggi daripada kadar pasaran lazim dan norma pasaran.

Selain menerima secara peribadi sebahagian daripada hasil bon yang telah digelapkan, pekerja-pekerja dan pengarah-pengarah Goldman Sachs turut menerima bonus-bonus yang besar selain peningkatan prospek kerjaya yang lebih baik di Goldman Sachs dan dalam industri perbankan pelaburan secara umumnya, " kata beliau.

“Pekeliling-Pekeliling Tawaran dan Memorandum Penempatan Tertutup untuk Bon-bon tersebut yang difailkan dengan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan selaku pengawal selia kewangan Labuan, jurisdiksi perbankan luar pesisir Malaysia (yang merupakan hal perkara pertuduhan), mengandungi fakta-fakta yang tidak benar, mengelirukan atau yang daripadanya terdapat peninggalan material, dengan memberi gambaran kepada pelabur bahawa hasil terbitan bon-bon akan digunakan untuk tujuan yang sah, sedangkan hakikatnya hasil terbitan digelapkan secara korup dan penipuan.

Pekeliling Tawaran dan Memorandum Penempatan Tertutup ialah dokumen yang mustahak, yang bertujuan untuk dijadikan sandaran, dan hakikatnya, telah disandarkan kepada oleh pembeli-pembeli bon,” kata beliau.

Beliau berkata, skim tersebut direka dan digubah oleh tertuduh untuk menstruktur Bon-bon secara penipuan kononnya untuk tujuan yang sah sedangkan mereka tahu bahawa hasil daripadanya akan digelapkan dan dilencongkan secara penipuan oleh tertuduh sendiri, dan dirancang dan dilaksanakan bagi menipu Kerajaan Malaysia dan pembeli-pembeli Bon-Bon tersebut.

Beliau berkata skim penipuan itu melanggar undang-undang sekuriti Malaysia, terutama Seksyen 179 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan, 2007 (Akta 671).

"Malaysia menganggap dakwaan-dakwaan dalam pertuduhan-pertuduhan terhadap kesemua tertuduh sebagai pelanggaran serius undang-undang sekuriti Malaysia, dan untuk mencerminkan keseriusannya, pihak pendakwaan akan menuntut denda jenayah terhadap tertuduh melebihi AS$2.7 bilion yang telah digelapkan daripada terbitan hasil Bon-bon dan AS$600 juta yuran yang diterima oleh Goldman Sachs, dan hukuman penjara terhadap setiap individu tertuduh: tempoh maksimum hukuman penjara ialah selama 10 tahun.

Penipuan mereka telah menjejaskan pasaran modal di negara ini, dan sekiranya tiada tindakan undang-undang diambil terhadap tertuduh, perlakuan mereka yang melemahkan sistem kewangan dan integriti pasaran akan lepas tanpa sebarang hukuman, katanya. - Bernama