KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, tiba jam 8.35 pagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi pertuduhan berhubung kes pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Mohd Isa akan berdepan dengan satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima suapan lebih RM3 juta di hadapan hakim Azura Alwi.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu telah ditahan dan disiasat SPRM selama lima hari pada Ogos berhubung pembelian hotel di Kuching dan London.

Pembelian dua buah hotel tersebut disiasat SPRM berikutan harga yang melebihi harga asal sehingga menyebabkan FIC mengalami kerugian berjuta-juta ringgit.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel di Kuching pada harga RM160 juta (lebih RM50 juta dari harga sebenar) manakala hotel di Kensington, London, pada harga £60 juta (kira-kira RM317 juta) pada 16 Disember 2014.