KUALA LUMPUR - Seorang guru kaunseling hanya mampu menitiskan air mata di kandang tertuduh selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, kerana memberi sokongan dan memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh, dua tahun lalu.

Razis Awang, 32, yang memakai baju kemeja bercorak petak dan seluar jeans pada awalnya kelihatan gembira berbual dengan rakan dan keluarganya namun tidak mampu menahan sebak sebaik mereka mengerumuni dan memeluknya selepas dia dijatuhi hukuman.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh yang merupakan guru bimbingan dan kaunseling di sebuah sekolah menengah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan

Dalam penghakimannya, Hakim Azman menasihati tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya dan berharap lelaki itu serik dengan hukuman yang dijatuhi mahkamah.

“Sepatutnya sebagai guru, kamu adalah orang pertama yang sedar tentang hal ini (keganasan), tetapi malangnya kamu telah didapati bersalah atas apa yang kamu lakukan. (Selain) hukuman ini, (pemenjaraan), saya percaya kamu juga secara langsung akan terhukum sebagai seorang guru yang telah kehilangan pekerjaan kamu, ini merupakan salah satu hukuman yang memberi kesan untuk kamu dan semua pihak untuk menginsafi dan menjauhkan diri dari aktiviti keganasan,” kata hakim itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi tuduhan memberi sokongan dan penjara dua tahun bagi tuduhan memiliki gambar dan memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman itu secara serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 30 Mac 2016.

Terdahulu ketika rayuan, peguam Syahredzan Johan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengambil kira tugas tertuduh yang pernah berkhidmat sebagai guru dan tidak pernah menyebar fahaman berkaitan keganasan sebaliknya berkhidmat dengan baik selain hanya memberi sokongan dengan cara berbaiah di dalam aplikasi Telegram serta tidak menunjukkan sokongan secara terbuka termasuk di media sosial.

Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukan itu boleh mengancam keselamatan negara serta kes itu telah melalui perbicaraan penuh apabila mahkamah telah memanggil 11 saksi pendakwaan serta dua saksi pembelaan pada perbicaraan bermula Mac lepas.

Pada 7 Julai 2017, Razis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan pengetahuan telah memberi sokongan dengan cara berbaiah kepada kumpulan pengganas Daesh menggunakan nama Razis di dalam kumpulan aplikasi telegram ‘gagak hitam’ di Lorong Senangin 2/3 , Taman Senangin , Kulim, Kedah pada 8.11 pagi, 30 Mac 2016.  

Dia dituduh mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Dia juga didakwa  atas pertuduhan memiliki enam keping imej di dalam telefon bimbitnya dan tiga keping imej di dalam komputer ribanya yang merupakan item berkaitan dengan kumpulan pengganas di tempat sama pada 7.20 malam, 28 September 2016  mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item terbabit. - Bernama