KUALA TERENGGANU - Selain gagal 'memperkenalkan' diri kepada pihak berkuasa semasa dijumpai berada di atas vesel di perairan negara, seorang tekong warga Vietnam juga dikesan cuba bertindak 'merompak' ikan di perairan menggunakan pukat tunda.

Tindakan Nguyen Van Trieu, 39, yang seolah-olah mencabar undang-undang negara menerima padah selepas dikenakan denda RM300,000 atau setahun penjara sekiranya gagal menjelaskan denda oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317)  dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

Mengikut pertuduhan, dia didapati gagal memberitahu pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili sama ada dalam Bahasa Inggeris atau Melayu tentang nama, negara bendera, lokasi, jalan dan destinasi vesel bernombor Blue Fast 1 memasuki perairan negara.

Dia didapati melakukan kesalahan itu perairan perikanan Malaysia pada jarak 58.0 batu nautika perairan Kuala Terengganu, kira-kira jam 6.30 pagi, pada 5 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan sementara itu dia diwakili Peguambela Suhaimi Ismail daripada Tetuan Zainy & Partners.

Mahkamah juga mengarahkan peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut 3 tan dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, vesel, peralatan komunikasi dan navigasi diperintah dikembalikan kepada tuan pemiliknya.

Berdasarkan fakta kes, Kapal Maritim Gemia membuat rondaan di sekitar perairan laut Kuala Terengganu sebelum menahan sebuah vesel nelayan asing pada jarak 58.0 batu nautika dari Perairan Kuala Terengganu, di sini.

Semasa itu didapati ada seorang lelaki (tekong) berada di atas vesel tersebut dan pemeriksaan lanjut mendapati dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Hasil pemeriksaan juga menjumpai peralatan yang digunakan olehnya untuk melakukan kegiatan menangkap ikan iaitu dua bidang pukat tunda (lengkap), sepasang papan tunda, tali sapu, tali jenis kombinasi rope (54mm), tali tunda dan dua unit tekang yang berada di atas vesel tersebut.

Seterusnya lelaki itu ditahan dan peralatan serta hasil tangkapan (lebih kurang dua tan ikan campur dan satu tan ikan baja) dirampas.