JOHOR BAHRU - Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan secara bersama memiliki rokok seludup pelbagai jenis yang bernilai RM208,920, bulan lepas.

Tham Jen Chuan, 26 dan Chong Hock Jo, 29 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Mengikut pertuduhan mereka didakwa memiliki rokok pelbagai jenis melibatkan 11,762 karton yang dianggar bernilai RM208,920 di sebuah rumah di Jalan Cempaka 36/5, Indahpura, Kulai, kira-kira jam 12 tengah hari, 21 November lepas.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwaraya Muhammad Qayyum Ramlan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta yang sama.

Ia boleh membawa hukuman denda minimum RM208,920 dan denda maksimum lebih RM4.1 juta atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Muhammad Qayyum menawarkan wang jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh serta kedua-duanya perlu melaporkan diri setiap seminggu sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh memohon dikurangkan wang jaminan.

Jen Chuan memberitahu, dia masih bujang dan masih menanggung ibu dan bapanya, sementara Hock Jo pula sudah berkahwin dan isterinya sedang hamil serta mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan.

Siti Hajar kemudiannya membenarkan setiap tertuduh dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mereka perlu melaporkan diri setiap seminggu sekali di IPD Kulai serta menetapkan tarikh 23 Januari depan untuk sebutan semula kes.