KUALA LUMPUR - Akibat mencuri pelbagai bahan makanan mentah dan beberapa helai pakaian wanita, seorang pembantu rumah warga Indonesia dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini.

Majistret Haslinda A.Raof menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM1,000 atau satu bulan penjara, terhadap Rindi, 37, atas pertuduhan mencuri dan penjara lima bulan atas pertuduhan tidak memiliki dokumen perjalanan sah selepas wanita itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 13 Dis lepas.

Tertuduh yang  mencuri pelbagai barangan mentah antaranya kacang panjang, sayur peria, cili merah, sambal belacan dan dua ekor ikan serta sehelai seluar pendek dan sehelai baju dalam wanita yang berjumlah RM78.73 milik Pasaraya Giant Pandan Kapital, Pandan Indah, di sini pada 12.30 tengah hari 13 Disember lepas didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Rindi juga mengaku bersalah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah memasuki negara ini mengikut Seksyen Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan maksimum enam sebatan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon hukuman berbentuk pengajaran  bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu  hukuman ringan atas alasan dia penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan RM1,000 sebulan dan juga sudah berkahwin.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian seorang pekerja pasaraya itu telah ternampak tertuduh membawa satu beg kain berisi pelbagai barangan dalam keadaan mencurigakan dan selepas  ditahan, pekerja pasaraya mendapati tertuduh telah mengambil barang-barang tersebut tanpa membuat sebarang bayaran. - Bernama