PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa bank tidak boleh bergantung kepada fasal pengecualian dalam perjanjian pinjaman untuk mengelak daripada sebarang tuntutan yang dikemukakan pelanggan terhadap mereka.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri  Balia Yusof Wahi  dalam penghakiman 37 muka surat bertarikh 17 Disember, berkata ia tidak adil dan berat sebelah memandangkan terdapat sekatan kepada hak pelanggan untuk mendapatkan ganti rugi.

Beliau berkata mahkamah bersetuju dengan pandangan Mahkamah Rayuan bahawa bentuk ganti rugi yang digariskan dalam Fasal 12 Perjanjian Pinjaman meliputi semua bentuk ganti rugi dalam saman bagi kecuaian dalam pelanggaran kontrak.

Beliau berkata Fasal 12, mungkin lazimnya boleh didapati dalam kebanyakan perjanjian perbankan dan dalam realitinya, persetujuan yang capai oleh pihak yang terlibat dalam perjanjian itu berbeza dan tidak pernah sama.

"Pihak-pihak jarang berada pada tahap yang sama. Dalam dunia komersial hari ini, realitinya ialah jika pelanggan ingin membeli produk atau mendapatkan perkhidmatan, dia harus menerima syarat kontrak standard yang disediakan oleh pihak lain.

Plaintif (responden), sebagai peminjam dalam kes ini, tidak ada berbezanya. Mereka mempunyai kuasa rundingan yang tidak sama dengan defendan (perayu)," katanya.

Hakim itu membuat keputusan berkenaan selepas menolak rayuan CIMB Bank Berhad yang merupakan perayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa bank itu bertanggungjawab terhadap pelanggaran kontrak perjanjian dan tort apabila menolak untuk membuat bayaran kemajuan pinjaman perumahan kepada pemaju.

Penghakiman berkenaan berkaitan saman yang dikemukakan pasangan warga Britian Anthony Lawrence Bourke dan Alison Deborah Essex Bourke terhadap CIMB Bank kerana melanggar kontrak dan kewajipan fidusiari di atas penamatan Perjanjian Jual Beli (SPA) hartanah di Kuala Lumpur.

Hakim itu menyatakan bahawa terdapat ketidakadilan terhadap pasangan itu jika Fasal 12 itu dibenarkan untuk menafikan tuntutan atau hak mereka terhadap bank.

“Jika plaintif (pasangan) dihalang daripada menuntut remedi mereka dalam pernyataan tuntutan mereka, apa yang boleh mereka tuntut daripada defendan? Adakah mereka benar-benar terhad daripada menguatkuasakan hak mereka berkenaan dengan kontrak?," soal hakim.

Beliau berkata mahkamah berpendapat bahawa makna biasa perkataan yang digunakan dalam Fasal 12, apa jua yang dituntut oleh plaintif telah disangkal.

Selain Balia, dua lagi hakim ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed.

Pada Januari 2018, rayuan itu didengar oleh lima panel hakim diketuai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan keputusan ditunda ke tarikh lain.

Zulkefli, yang merupakan Presiden Mahkamah Rayuan, meletak jawatan pada Julai, manakala Tan Sri Zainun Ali yang turut bersidang bersama bersara pada Oktober.

Pasangan Bourkes, yang kini tinggal di United Kingdom, membeli hartanah di Kuala Lumpur  yang dalam pembinaan dan diberikan kemudahan pinjaman sebanyak RM715,487 oleh CIMB Bank pada April 2008.

Mengikut perjanjian pinjaman itu, bank berkenaan bertanggungjawab untuk membuat pembayaran kemajuan secara langsung kepada pemaju bagi pihak pasangan tersebut, apabila jumlah wang itu perlu dibayar.

Bagaimanapun, CIMB Bank gagal membuat pembayaran pada salah satu invois dan jumlahnya tidak dibayar menyebabkan SPA ditamatkan oleh pemaju pada April 2015.

Pada 2015, pasangan itu memfailkan saman terhadap bank di Mahkamah Tinggi menuntut ganti rugi yang dialami akibat penamatan SPA. Namun tuntutan mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang memutuskan Fasal 12 membebaskan sebarang liabiliti terhadap bank.

Mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, merayu di Mahkamah Rayuan dan berjaya apabila Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bank telah melanggar kewajiban utamanya di bawah perjanjian pinjaman apabila gagal memenuhi syarat untuk membayar invois yang dikeluarkan secara langsung mengikut perjanjian pinjaman itu.

CIMB Bank kemudiannya memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan di Mahkamah Persekutuan dan setelah kebenaran diperoleh mahkamah pada Januari, mendengar persoalan undang-undang yang dikemukakan dalam rayuan itu.

Peguam Wong Hok Mun dan Sharifah Alliana Idid mewakili CIMB Bank  manakala Ong Yu Jian dan James Lee mewakili pasangan berkenaan.- Bernama