SHAH ALAM - Mahkamah Majistret Klang di sini mengeluarkan perintah tahanan reman empat hari bermula hari ini ke atas Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur ugutan yang dikeluarkannya pada satu perhimpunan di Klang, Selasa lepas.

Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Azwanddin yang juga merupakan Penasihat Gagasan Tiga Malaysia (G3) diwakili peguam Datuk Imran Tamrin.

Pada perhimpunan ‘Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat Waytha Moothy' anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni, Klang dekat sini Selasa lepas, Azwanddin dalam ucapannya mengeluarkan kenyataan provokasi antara lain mengugut untuk menyerang Balai Polis Klang jika pihak yang terlibat dalam kematian Muhammad Adib Mohd Kassim tidak ditangkap.

Susulan itu, Ketua Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat mengesahkan aktivis itu ditahan pada 2.40 petang semalam di Kompleks Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutannya untuk menyerang balai polis.

Muhammad Adib yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara, selepas bertarung nyawa kira-kira tiga minggu susulan kecederaan parah yang dialami akibat diserang kumpulan perusuh dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya bulan lepas. - Bernama