JOHOR BAHRU - Sebuah syarikat perindustrian didenda RM45,000 oleh Mahkamah Tinggi Kota Tinggi, hari ini selepas didapati gagal mengadakan tempat kerja yang selamat hingga mengakibatkan kematian, Oktober lalu.

Hukuman tersebut dijatuhkan Hakim, Zahilah Muhammad Yusoff selepas memperoleh pengakuan salah daripada wakil syarikat berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Petrovietnam Engineering (M) Sdn Bhd didakwa gagal mengadakan tempat kerja yang selamat sehingga mengakibatkan kematian kepada salah seorang pekerjanya.

Mangsa berkenaan maut akibat dihempap ‘overhead travelling crane’ pada 9 Oktober 2017 lalu.

Bagi kesalahan itu, syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Nor Hafizan Mat Taib @ Mat Amin.

Sementara itu, Pengarah JKKP Johor, Ir Dasuki Mohd Heak berkata, hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah itu merupakan 90 peratus daripada denda maksima sekali gus menggambarkan betapa seriusnya kesalahan yang telah dilakukan.

Justeru, beliau berharap perkara itu dapat dijadikan pengajaran kepada semua majikan dan pekerja agar memberi perhatian khususnya bagi memastikan keselamatan di tempat kerja.