KUALA LUMPUR  – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas ahli perbankan Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa, yang menghadapi tiga pertuduhan di luar negara berkaitan 1Malaysia Development Berhad, agar dia dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendengaran ekstradisinya.

Ng kini direman 60 hari sementara menunggu permohonan kerajaan di Mahkamah Sesyen di sini untuk menyerahkannya kepada Amerika Syarikat.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata permohonan itu ditolak atas beberapa sebab, termasuk ada kemungkinan Ng akan melarikan diri dari negara ini.

Menurut hakim itu, beliau mengambil kira kepentingan awam dan negara memandangkan pertuduhan yang dikenakan terhadap Ng melibatkan perkara serius.

“Ng perlu ditahan berikutan perjanjian ekstradisi yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika," katanya.

Pada 14 November lalu,  bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata polis memperoleh perintah reman terhadap Ng berikutan penangkapannya pada 1 November.

Ng dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan di daerah timur New York oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika atas tuduhan bersubahat dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah berbilion dolar, yang didakwa dilakukan bersama-sama ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho, yang sedang diburu pihak berkuasa, dan seorang lagi ahli perbankan, Tim Leissner.

Terdahulu, peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Ng memberitahu mahkamah beliau diarah anak guamnya untuk merayu terhadap keputusan hari ini.

Beliau kemudian memberitahu media bahawa Mahkamah Sesyen dijadual mendengar pemohonan ekstradisi oleh kerajaan minggu depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup dan Shukor Abu Bakar mewakili pihak pendakwa.- Bernama