BARU-BARU ini timbul kontroversi tentang risalah yang diedar semasa kempen “Street Dakwah”. Jaguh Street Dakwah ialah Firdaus Wong selaku Presiden Persatuan Multiracial Reverted Muslims (MRM).

MRM banyak buat dakwah yang kurang dibuat oleh birokrasi agama. Risalah yang kontroversi ini bertajuk “Muslims Love Jesus”. Lima orang memeluk Islam semasa kempen ini.

Tapi mengapa ada pihak mendakwa bahawa risalah yang bertajuk “Muslims Love Jesus” mengelirukannya? Sebenarnya ramai Kristian ingat Muslimin hanya cinta Nabi Muhammad SAW sahaja. Ramai tak sedar bahawa seorang Muslim akan terbatal syahadahnya kalau dia benci Jesus. Dia wajib cinta Jesus.

Yang akan mencabar aqidah Kristian ialah keimanan Muslimin bahawa Jesus adalah seorang Nabi, bukan anak Tuhan. Ini adalah berdasarkan perbezaan antara tauhid dan triniti. Triniti adalah doktrin yang percaya bahawa Tuhan adalah satu dalam tiga. Jesus adalah salah satu dalam tiga itu sebagai anak Tuhan. Bagaimana satu boleh jadi tiga? Ini adalah isu paling “misteri” dalam agama Kristian. Tiada ilmuwan Kristian dalam sejarah yang dapat jelaskan formula satu adalah tiga dan tiga adalah satu.

Bagi Islam, Jesus bukan sebahagian daripada Ketuhanan. Jesus hanya seorang manusia yang memikul amanah sebagai Nabi. Tauhid percaya Tuhan adalah Satu.

Logik Islam sangat jelas dan mudah. Satu adalah satu. Satu bukan tiga. Tiga bukan satu. Yang mengelirukan bukan kepercayaan tauhid bahawa satu adalah satu tapi kepercayaan triniti bahawa satu adalah tiga dan tiga adalah satu!

Tapi yang pelik dan “unsangkarable”nya ialah umat tauhid pula yang mudah keliru, bukan umat triniti! Puncanya apa? Saya lihat agamawan yang menghentam Firdaus Wong adalah pada masa sama pengikut ajaran Ketuanisme. Mereka kata dakwah Firdaus mengelirukan umat Islam kerana menyebarkan mesej “Muslims Love Jesus”! Sekali lagi mereka guna alasan “keliru”.

Yang peliknya dakwah Firdaus Wong adalah dakwah yang begitu jelas tanpa sebarang kekeliruan sehingga 5 orang peluk Islam. Ia langsung tiada kaitan dengan politik tetapi agamawan-agamawan ini berusaha kaitkannya pula dengan konspirasi kerajaan PH untuk mengelirukan umat Islam!

Yang 5 mualaf telah peluk Islam tapi yang lahir sebagai Muslim dan memperjuangkan ketuanan bangsa pula menjadi keliru? Mualaf faham logik satu adalah satu, bukan tiga tapi pejuang ketuanan bangsa pula keliru dengan logik satu adalah satu, bukan tiga?

Penulis ingin tanya pembaca dua soalan. Soalan pertama, antara formula Tuhan itu beranak dan formula Tuhan tidak beranak, mana formula yang mengelirukan anda? Soalan kedua, antara formula ketuhanan “satu adalah satu” dan formula ketuhanan “satu adalah tiga dan tiga adalah satu”, mana formula yang mengelirukan anda?

Pada 2015 di Taman Medan, berlaku protes terhadap palang salib yang dipasang di pintu masuk gereja kerana takut mengelirukan umat yang beraqidah tauhid! Alasan keliru kerap digunakan sehingga apa-apa yang kelihatan seperti tanda salib atau huruf “t” akan dihentam atas alasan keliru.

Selain motif politik, apa sebenarnya punca kekeliruan ini? Puncanya ialah mindset ketuanan bangsa. Mindset ini keliru dan mengelirukan kerana menganggap bangsanya adalah Islam dan Islam adalah bangsanya. Seperti pluralisme yang menyamakan semua agama, ajaran ketuanisme menyamakan asabiyah dengan agama.

Kalau umat boleh keliru dengan formula paling mudah iaitu satu adalah satu dan bukan tiga, maka sudah pasti nampak palang salib pun akan keliru, terminum holy water pun keliru, sentuh anjing pun keliru, dan yang paling mengelirukan ialah ajaran ketuanan bangsa. Nabi SAW sendiri memberi amaran bahawa barang siapa mengamalkan asabiyah, maka bukan dari umatnya!

Agamawan ketuanisme terpaksa memanipulasikan teori asabiyah Ibn Khaldun sebagai alasan untuk menepis amaran Nabi SAW. Semua ini menambah lagi kekeliruan umat Islam yang memang sudah amat keliru!

Ada yang begitu keliru sehingga berkata bahawa Jesus bukan Nabi Isa kerana Jesus nama Inggeris. Ini adalah seperti berkata Singapore bukan Singapura, Avicenna bukan Ibn Sina, UN bukan PBB! Cukup keliru umat ini. Bagaimana mampu menjadi “Tuan” untuk memimpin negara?

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak