BAYANGKAN kalau gerakan illuminati wujud, sudah tentu agenda paling utamanya ialah menghasilkan budaya taasub.

Bila seseorang sudah taasub pada sesuatu, dia tidak lagi menjadi waras. Emosi menjajah akalnya. Mudahlah gerakan illuminati memanipulasikan rakyat yang tidak lagi waras.

Wujud pelbagai taasub. Taasub pada kebendaan, pada wanita, pada diri sendiri, pada mazhab atau ideologi dan lain-lain. Illuminati adalah gerakan politik.

Maka sudah tentu ia kena fokus memperkasakan budaya taasub yang menyokong kuasa politiknya.

Kita lihat bagaimana rakyat Jerman satu ketika begitu taasub pada Hitler. Apakah punca ketaasubannya? Hitler memperjuangkan ketuanan bangsa Aryan di Jerman. Bagi Hitler, Jerman adalah tanah Aryan. Ia bukan milik Yahudi yang berjaya menguasai ekonomi Jerman.

Yahudi hanya minoriti kecil di Jerman. Aryan adalah majoriti. Hitler sedar bahawa kalau dia mempromosikan wacana ketuanan bangsa Aryan lawan bangsa Yahudi, sudah tentu bangsa Aryan akan menyokong cita-cita politiknya.

Maka Hitler pun menyalahkan bangsa minoriti kecil Yahudi. Katanya wujud konspirasi untuk jatuhkan ketuanan Aryan di Jerman! Propaganda Hitler berjaya.

Berjuta Yahudi dibunuh dalam peristiwa yang dikenali sebagai Holocaust. Bahkan berjuta bangsa lain bukan Yahudi juga dibunuh selagi ia bukan Aryan.

Yang peliknya ialah Hitler bekerjasama dengan Yahudi Zionis dan menyokong penubuhan negara Israel kerana Israel menyokong pemindahan bangsa Yahudi warga Jerman ke Israel.

Hitler berjaya memanipulasikan semangat taasub kepada ketuanan  bangsa Aryan. Kalau wujud ICERD pada zaman Hitler, sudah tentu Hitler tidak akan tandatangani ratifikasi ICERD yang anti-diskriminasi bangsa!

Sudah tentu Hitler akan menularkan amaran bahawa ICERD adalah konspirasi freemason untuk jatuhkan ketuanan bangsa Aryan!

Tetapi inilah sebenarnya perancangan illuminati yang memang nak wacana ketuanan bangsa Aryan di besar-besarkan melalui perang dan demonstrasi.

Bagi illuminati, yang paling utama ialah memerangkap bangsa Aryan dalam ketidakwarasan politik. Aryan tidak lagi cukup waras untuk berfikir global kerana emosi taasub meluap-luap.

Tidak terfikir bangsa Aryan tentang rentetan daripada perjuangan ketuanannya. Kalau Aryan memperjuangkan ketuanan bangsanya, sudah tentu Yahudi pun patut diberi hak ketuanan yang sama di Palestin.  Hindu pula memperjuangkan ketuanan Hindu di India.

Han Cina memperjuangkan ketuanan bangsa Han Cina di China. Myanmar Buddha memperjuangkan ketuanan mereka di Myanmar dan menzalimi Rohingya.

Rakyat Slovakia memperjuangkan ketuanan bangsa Slovakia dan agama sehingga umat Islam tak dibenarkan membina walaupun sebuah masjid sekalipun!

Setiap perjuangan ketuanan di atas memberi alasan yang sama, bahawa usaha mereka bukan rasis. Mereka hanya membela hak mereka yang sesuai dengan konteks negara masing-masing.

Kalau illuminati wujud, inilah perancangan mereka yang paling efektif iaitu membuat mangsa rasa berjaya walaupun sebenarnya mangsa sudah masuk perangkap.

Mangsa rasa mereka sudah berjaya menegakkan ketuanan bangsa mereka di negara masing-masing tetapi illuminati lagi berjaya. Illuminati berjaya mencapai objektif-objektif berikut.

Yang pertama, agenda illuminati ialah ketuanan global, bukan sekadar lokal. Ia tidak berfikir dalam kotak yang kecil iaitu sekadar menjadi tuan satu kawasan yang terbatas yang bernama “negara”.

Illuminati telah berjaya menyempitkan wawasan musuhnya, khususnya umat Islam. Umat Islam hanya berfikir ketuanan lokal, bukan global.

Tiada lagi mampu menjadi khairu ummah, rahmah lil-’aalamiin dan khalifah di bumi.

Yang kedua, illuminati berjaya memecah-belah rakyat negara yang bersifat majmuk. Bila satu bangsa memperjuangkan ketuanannya, bangsa-bangsa lain akan rasa mereka dikelas keduakan. Saling permusuhan dan curiga berjaya dihasilkan.

Yang ketiga, illuminati berjaya membuktikan bahawa wacana mereka terhadap Islam adalah benar. Islam adalah agama diskriminasi bangsa.

Yang keempat, illuminati berjaya membuktikan bahawa UN yang di bawah telunjuk mereka masih relevan kerana dunia masih mengamalkan diskriminasi bangsa.

Dunia masih belum waras kerana taasub pada kepentingan bangsa masing-masing.

Hanya illuminati membawa wacana liberal dan hak-hak asasi kemanusiaan. Negara-negara Muslim, Hindu, Kristian dan Buddha membawa wacana terorisme, perang dan diskriminasi. Illuminati masih paling layak memerintah dunia.

* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak