*UMNO Sabah dilanda tsunami sehari dua ini, apabila ramai pemimpin dan ahlinya meninggalkan parti terbesar Melayu itu kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan sekarang.

Antara yang serentak meninggalkan parti Cap Keris Rabu lalu ialah empat anggota Parlimen, sembilan Adun, dua senator dan 21 Ketua Bahagian.

Sementara itu sosek-sosek dalam kalangan politik sekarang ialah ramai lagi YB dan pemimpin parti itu akan meninggalkan kapal, bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara.

Anak-anak kapal dan juak-juak merasakan kapal sudah bocor di sana-sini, sedangkan nakhoda macam ‘buat dhek’; maka ada baiknya menyelamatkan diri sebelum kapal tenggelam...

*MESKI nampak jelas bocor di sana-sini, masih ada pemimpin dan ahli-ahli totok Umno yang terus yakin sambil menegaskan parti tidak goyah, dan akar umbi masih mantap.

Meski keris sudah bengkok, mereka masih berkobar-kobar dan terus berhubaya-hubaya menjeritkan Ketuanan Melayu, penyelamat bangsa, pejuang hak Bumiputera, penegak agama, blah, blah, blah.

Pendek kata, meski setiap hari ada sahaja yang keluar Umno, yang masih di dalam tetap dengan keyakinan bahawa parti tidak terjejas, bahtera akan terus meredah ombak.

Biarlah mereka terus berkhayal sambil mengimbau kegemilangan silam. Hakikatnya semua orang tahu bahawa ‘Luncai yang terjun dengan labu-labunya’ itu, memang menjejaskan parti.

Bukti: selepas PRU14 Umno ada 54 kerusi Parlimen. Apabila ramai terjun kapal, Umno kini tinggal 43 kerusi selepas 11 ahli Parlimen termasuk lima dari Sabah. Masih tidak terjejas?

*KATA-KATA Ketua Perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor. Tindakan terkini di Negeri Bawah Bayu itu bukan kerana dendam terhadap parti.

Anggota Parlimen Sulaman itu berkata, keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap pemimpin Umno di peringkat nasional yang tiada hala tuju.

Sebenarnya, tidak sahaja di Sabah di tempat lain di seluruh negara pun makin ramai berasa kecewa dengan Presiden parti sekarang. Sebab itu sudah ada yang berani bersuara supaya Presiden meletakkan jawatan, atau sekurang-kurangnya bercuti.

Konon ada gerakan untuk memaksa Presiden berhenti.

Tetapi Bapak Presiden orangnya kebal, semakin disuruh berundur, semakin bersemangat dia! Semoga Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya menampal kebocoran kapal untuk terus mengemudi meredah gelombang...

*ADA pun bekas ahli-ahli Umno yang dengan rela membuang kesetiaan parti, sebahagian besar mengatakan mereka akan menjadi wakil bebas baik di Parlimen mahu pun di Dun.

Untuk sementara waktu ini mereka belum menetapkan parti mana yang akan mereka sertai. Atau, mungkin juga mereka akan membentuk parti baharu.

Namun ada juga seorang dua yang telah mengatakkan diri, dengan melompat ke parti lain. Alkisah, dulu-dulu katak politik dipandang hina. Kini katak pun ada glamor.

Maka tidak kira katak puru, katak betong, katak hitam, katak putih, semua ada nilai. Terpulang kepada mana-mana pihak @ parti hendak pilih katak mana.

*PERIHAL mana-mana parti yang berhasrat menangkap katak, ada baiknya jangan tangkap sembarangan. Tengok dulu spesies katak mana yang sesuai dan berbaloi ditangkap.

Kepada parti Cap Bunga pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu amatlah meneliti mana-mana bakas ahli Umno yang hendak diambil menyerti parti.

Almaklumlah, sesetengah bekas ahli Umno, termasuk yang di Sabah, adalah orang yang dahulunya menghentam dan mencaci Tun bagai nak rak, mereka pernah tidak henti-henti dan ‘kaw-kaw’ menghina Tun, macamlah veteran politik itu tidak guna walau ‘sekupang’ pun. Katak seperti ini hanya akan merosakkan PH. Biarkan mereka mati kekeringan.

*AKHIR kalam, tahniah diucapkan kepada Bung Mokhtar Radin, Anggota Parlimen Kinabatangan yang beruntung gara-gara kemelut Umno Sabah.

Beliau kini naik pangkat menjadi Pengerusi baharu Umno Negeri Bawah Bayu. Semoga Bung dapat mengawal dirinya dan jangan mudah naik angin.