PENCEMARAN plastik merupakan isu global yang tidak dapat dielakkan. Hal ini memandangkan plastik digunakan secara meluas dalam pelbagai aktiviti seharian. Lantaran penggunaannya yang berleluasa telah menyebabkan plastik menjadi penyumbang utama pencemaran di lautan.

Hasil perangkaan global mendapati, lima trilion beg plastik digunakan setiap tahun dan 13 juta tan daripadanya dibuang ke laut. Manakala, dianggarkan sejuta botol plastik dibeli setiap minit dan 100,000 hidupan laut terbunuh disebabkan plastik setiap tahun. Di Malaysia sendiri, dianggarkan purata sebanyak sembilan bilion plastik digunakan pada setiap tahun, dan sebahagian besarnya juga berakhir di lautan.

Situasi ini begitu membimbangkan kerana plastik merupakan komponen yang tidak mudah mereput. Plastik hanya akan pecah menjadi partikel kecil dan terurai apabila terdedah kepada sinaran ultraungu, oksigen, suhu tinggi dan aktiviti mikroorganisma dalam tempoh masa tertentu. Plastik yang pecah dan terurai dalam laut akan menjadi mikroplastik (zarah plastik berukuran antara lima millimeter dan 0.1 mikrometer) dan nanoplastik (saiznya lebih kecil daripada mikroplastik iaitu 0.0000000009) yang akan mengundang bahaya kepada kepelbagaian hidupan laut (daripada plankton sehinggalah haiwan seperti burung laut, penyu, ikan lumba-lumba dan ikan paus).

Partikel plastik ini bukan sahaja bahaya secara langsung apabila dimakan oleh haiwan, sebaliknya bahan kimia terdapat dalam plastik juga akan menyerap ke dalam tisu haiwan berkenaan. Keadaan ini pastinya akan memberi ancaman besar kepada kelangsungan hidupan marin dan kesihatan manusia apabila memakan sumber makanan laut yang dicemari oleh mikroplastik dan nanoplastik. Keseluruhan ekosistem marin terganggu dan merencatkan sistem rantaian makanan di lautan.

Peningkatan kadar pencemaran plastik di lautan yang serius telah mengundang para penyelidik menjalankan kajian terperinci ke atas hidupan dan sumber laut. Antaranya, kajian diketuai Universiti California Davis ke atas ikan di pasar Indonesia dan California, Amerika Syarikat, mendapati sebanyak 25 peratus sampel ikan yang dikaji mengandungi plastik dan fiber tekstil di dalam perut haiwan berkenaan.  

Manakala, dalam satu kajian terbaharu oleh Greenpeace pula mendapati bahawa lebih daripada 90 peratus garam yang digunakan di dapur seluruh dunia mengandungi mikroplastik. Kajian berkenaan yang menganalisis 39 jenama garam dari 21 negara di seluruh dunia (termasuk negara-negara jiran Malaysia seperti Indonesia, Filifina, Thailand dan Vietnam) juga mendapati  garam yang dijual di Asia mengandungi kadar pencemaran plastik tertinggi.

Penemuan daripada kajian-kajian ini pastinya menggusarkan ramai pihak. Lebih-lebih lagi apabila mikroplastik juga dikaitkan dengan logam berat seperti kadmium, plumbum dan kromium yang berbahaya kepada kesihatan manusia. Bahan-bahan kimia seperti logam berat berkenaan boleh menyebabkan kanser, endometriosis, kerosakan sistem saraf, gangguan sistem endokrin, kesan kepada pertumbuhan bayi, kerosakan sistem pembiakan dan gangguan sistem keimunan.

Maklumat daripada hasil kajian yang telah dijalankan menunjukkan bahawa pencemaran plastik begitu meluas di seluruh dunia dan agak sukar untuk ditangani. Malah, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pernah memberi amaran bahawa lautan dijangka mengandungi lebih banyak plastik daripada ikan menjelang 2050.

 Jangkaan ini pastinya akan memberi cabaran yang lebih besar kepada masyarakat di seluruh dunia dan Malaysia khususnya. Dalam konteks ini, kerjasama semua pihak perlu dalam menggembeleng usaha yang proaktif ke arah mengurangkan penggunaan plastik, perlu diperangi habis-habisan dan fikir semasak-masaknya sebelum memilih untuk menggunakan bahan ini.

Sekiranya ada alternatif lain bagi mengelakkan penggunaan plastik (seperti penggunaan bekas daripada kaca dan keluli tahan karat yang boleh digunakan semula atau bekas lebih mesra alam), maka itu merupakan pilihan yang tepat.

Setidak-tidaknya, dapat meminimumkan sebahagian daripada punca pencemaran dan penggunaan bahan-bahan plastik.

Pengurusan sisa plastik yang baik juga perlu dilakukan secara lebih menyeluruh mencakupi setiap peringkat industri, sama ada industri kecil, sederhana dan besar. Selain itu, aktiviti penyelidikan tentang pencemaran plastik perlu digerakkan dengan lebih aktif bagi mengenal pasti usaha-usaha yang lebih berkesan dalam mengurangkan penggunaan plastik dan meneroka alternatif lebih mesra alam.

Usaha ini perlu digalas oleh semua pihak selaku khalifah di atas muka bumi yang ditugaskan untuk memakmurkan bumi selari dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya” (Surah Hud, Ayat 61).

* Penulis ialah Felow Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM