MINGGU lepas, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik telah membentang di Dewan Rakyat 3 Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda 3 akta, iaitu Akta Universiti Kolej Universiti 1971, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

RUU pindaan tersebut bercadang untuk menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas mahasiswa-mahasiswa, sama ada dalam institusi pendidikan mahu pun swasta untuk terlibat dengan kegiatan parti politik di dalam kampus.

Sekiranya RUU tersebut diluluskan, ia bermakna mahasiswa boleh melibatkan diri dalam aktiviti parti politik di dalam kampus. Pindaan terhadap akta-akta tersebut adalah langkah ke hadapan yang penting bagi mengembalikan hak-hak mahasiswa yang telah lama dikekang.

Beberapa tahun lepas, Kerajaan Persekutuan telah meminda akta-akta tersebut berkenaan dengan kebebasan mahasiswa dari segi penglibatan dalam pertubuhan dan juga kebebasan memberi pendapat dan mengeluarkan fikiran.

Sebelum pindaan pada masa itu, mahasiswa dikekang daripada menganggotai parti politik, dan tidak boleh menyatakan atau melakukan apa-apa yang boleh ditafsirkan secara munasabah sebagai menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik.

Selepas pindaan, mahasiswa kini bebas menyertai dan menjadi ahli parti politik. Mahasiswa juga tidak lagi dihalang daripada memberi pendapat tentang mana-mana parti politik.

Tetapi, sehingga RUU yang baru dibentangkan, mahasiswa masih tidak boleh terlibat dengan aktiviti parti politik dalam kampus. Pindaan yang dicadangkan kini akan membolehkan mahasiswa-mahasiswa melibatkan diri dalam parti politik di kampus.

Pada masa sama, usaha untuk memperkasakan mahasiswa tidak boleh berakhir setakat RUU-RUU itu sahaja. Adalah diharapkan bahawa RUU yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari ini hanyalah langkah permulaan.

Kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan, perlu juga menarik balik sekatan ke atas mahasiswa daripada menjadi ahli atau menzahirkan sokongan terhadap mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, yang bukannya suatu parti politik, yang ditetapkan oleh lembaga, ketua pendaftar atau menteri sebagai ‘tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan’ pelajar atau institusi pendidikan tinggi itu.

Sekatan-sekatan ini terkandung dalam Seksyen 15(2)(b) dan 15(3)(b) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Seksyen 47(2)(b) dan 47(3)(b) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(b) dan 10(3)(b) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

Peruntukan-peruntukan ini telah digunakan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mahasiswa-mahasiwa yang terlibat dengan pertubuhan-pertubuhan bersifat politikal, walaupun bukan parti politik, kerana pihak erajaan atau lembaga universiti tidak senang dengan pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Peruntukan-peruntukan ini memberi ruang yang luas kepada pihak kerajaan atau lembaga universiti untuk menentukan apa yang dinyatakan sebagai ‘tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan’.

Malaysia Baharu ini menyaksikan institusi-institusi pendidikan tinggi memberi pentas dan ruang kepada ahli-ahli politik daripada parti pembangkang untuk berucap. Contohnya, baru-baru ini Presiden Pas dan Ahli Parlimen Marang telah memberikan syarahan kali pertama di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Penulis sendiri pernah berkongsi pentas dengan Setiausaha Politik Presiden Pas, Syahir Sulaiman dan Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan di Universiti Islam Antarabangsa, baru-baru ini.

Kebebasan ini harus diraikan. Pada masa yang sama, selagi sekatan-sekatan dalam undang-undang sedia ada tidak dimansuhkan, mahasiswa masih belum dapat mengecapi sepenuhnya kebebasan-kebebasan yang sememangnya termaktub buat mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur