MUNGKIN masih ramai yang beranggapan bahawa bahasa Melayu mudah. Ya, bahasa Melayu memang mudah untuk digunakan.

Orang Melayu memang sudah biasa bercakap bahasa Melayu. Orang bukan Melayu juga didapati dapat berbahasa Melayu dengan lancar. Namun begitu, adakah mudah menggunakan bahasa Melayu dengan betul?

Setiap hari, pelbagai kesilapan bahasa dapat kita temukan dalam penulisan, sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Kesalahan tersebut terdiri daripada ejaan, tanda bacaan, binaan frasa dan binaan ayat.

Kesalahan bahasa biasanya terjadi kerana tidak memahami peraturan bahasa. Peraturan ejaan dalam bahasa Melayu berbeza daripada peraturan bahasa lain. Pembinaan frasa nama dalam bahasa Melayu pada asasnya berdasarkan hukum D-M, tetapi tidak kurang ramainya pengguna bahasa yang menggunakan peraturan yang sebaliknya.

Ayat hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya satu subjek dan satu predikat, tetapi sering dikesan ayat yang tidak lengkap atau tergantung, yang terjadi kerana tidak mengandungi subjek atau predikat.

Selain itu, kesalahan bahasa boleh terjadi disebabkan kesilapan. Kesilapan berbahasa lazimnya berlaku secara tidak sengaja. Penulis mungkin tidak menyedari wujudnya kesilapan ketika mengeja perkataan atau membina ayat.

Kesilapan penaipan memang sukar untuk dielakkan. Hal ini berkait pula dengan tahap kecaknaan tentang bahasa yang betul.

Penulis mungkin tidak menyemak ejaan dan binaan ayatnya terlebih dahulu sebelum penulisannya diserah untuk dicetak atau dipaparkan di ruang maya.

Kesalahan berbeza daripada kesilapan. Kesalahan selalunya berulang-ulang. Selagi peraturan bahasa tidak difahami, kesalahan akan terus terjadi. Kesilapan pula bersifat tidak kekal kerana pengguna bahasa yang memahami peraturan bahasa akan menggunakannya dengan betul pada masa yang lain.

Dalam penulisan, aspek ejaan merupakan korpus yang paling asas yang perlu dikuasai. Penggunaan sistem ejaan baharu bahasa Melayu telah mantap semenjak 16 Ogos 1972.

Walau bagaimanapun, kesalahan ejaan sering terjadi sama ada di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi, dalam siaran media dan juga di tempat awam.

Antara kesalahan ejaan yang berlaku adalah mengenai imbuhan dan kata ganti nama diri singkat. Bentuk-bentuk tersebut tidak boleh berdiri sendiri, maka perlu dirangkaikan pada perkataan yang mendahului atau mengikutinya.

Yang sering ditemukan ialah ejaan awalan di- yang dijarakkan daripada perkataan yang mengikutinya, seperti 'di belah', 'di sangka', dan 'di perlukan'.

Sepatutnya ejaannya dirangkaikan atau dirapatkan. Pengguna bahasa mungkin terkeliru oleh kata sendi nama 'di' yang sememangnya ditulis secara terpisah daripada kata dasar yang mengikutinya, seperti 'di bandar', 'di Dungun', dan 'di belakang rumah', yang menunjukkan tempat atau arah sesuatu. Selain itu, penulisan perkataan 'ko kurikulum', 'pra universiti', dan 'anti dadah' juga sepatutnya dirapatkan.

Partikel penegas, iaitu -lah, -tah, dan -kah perlu dicantumkan pada bahagian belakang kata dasar, seperti biarlah, apatah, dan mengapakah. Yang turut mengelirukan pengguna ialah partikel pun. Terdapat 'pun' yang dieja bersendiri, iaitu yang merupakan perkataan yang bermaksud 'juga' sebagaimana dalam ayat ini:

Saya pun hendak pergi ke sana. Sebaliknya, pun yang merupakan partikel perlu dicantumkan pada akhir kata dasar, iaitu adapun, andaipun, ataupun, bagaimanapun, biarpun, kalaupun, lagipun, mahupun, meskipun, sekalipun, sungguhpun, dan walaupun.

Bentuk kata ganti nama singkat ialah ku, kau, dan mu. Sebenarnya, bentuk ini tidak sesuai digunakan dalam bahasa formal. Bentuk ini merupakan gaya berbahasa dalam laras cerita, sama ada tentang kisah perjalanan atau penulisan kreatif.

Contoh kesalahannya antaranya ialah kepala ku, ku buka, dan kau pastikan, yang sepatutnya masing-masing dieja kepalaku, kubuka, dan kaupastikan.

Kesalahan-kesalahan tersebut kelihatannya remeh, tetapi tidak wajar diperlekeh. Pengguna bahasa patut membiasakan diri untuk merujuk panduan ejaan sekiranya tidak yakin akan pengejaan yang betul.

Tabiat suka membuat rujukan akan menjadikan pengguna bahasa dapat memahami peraturannya secara beransur-ansur dan sudah tentu dapat mengurangkan berlakunya kesalahan.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka