KITA selalu membaca berita tentang pertikaian antara dua pihak atau lebih mengenai sesuatu perkara. Bagi perkara tertentu, kesan pertikaian itu tidaklah seberapa.

Namun begitu, masalah yang berpanjangan akan tercetus andai kata perkara yang dipertikaikan itu melibatkan isu yang sensitif, terutama hal-hal agama dan bangsa.

Parahnya pasti bertambah apabila timbul pula isu tambahan angkara pihak ketiga yang cuba mengeyakan atau menidakkan isu pokoknya.

Apabila isu sedemikian tercetus, jawapan klise oleh pihak penutur ialah kesalahtanggapan pihak sasaran. Keadaan menjadi hangat apabila pihak yang disasarkan pula menidakkannya dengan alasan yang kadangkala berbaur “panas”.

Kalaupun tidak berpanjangan, masa yang terbuang kerana membincangkan perkara yang tidak berfaedah ini jelas tidak menampakkan kebijaksanaan. Mengapakah perkara ini berlaku?

Bagi penulis, seandainya dakwaan kesalahfahaman itu benar dan ikhlas, kelemahan berbahasa pihak berkenaanlah punca sengketa. Apa tidaknya, konflik sedemikian dapat dielakkan sekiranya penutur berhati-hati memilih kata, membina dan menyusun ayat untuk berkomunikasi dengan betul dan jelas dalam bahasa Melayu.

Jika penutur ternyata berupaya, namun kumpulan sasaran masih mempertikaikannya, kelemahan berbahasa ternyata di pihak kedua. Agaknya, demikianlah peringatan awal kepada pihak yang memandang remeh akan keupayaan bahasa Melayu.

Pembaca tentu pernah menonton filem Labu Labi. Aksi doktor (lakonan Mohd Zain) dengan majistret (lakonan P. Ramlee) yang berbicara dalam bahasa Inggeris sebegitu rupa tidak harus dijadikan bahan tertawa semata-mata.

Sebenarnya, P. Ramlee memberikan gambaran tentang sikap individu yang berpelajaran mengetepikan bahasa Melayu. Golongan ini berasa lebih hebat apabila berbicara dalam bahasa Inggeris walaupun keupayaan mereka untuk menggunakan bahasa antarabangsa itu tidak seberapa.

Sindiran P. Ramlee ternyata menjadi realiti pada hari ini. Lihatlah keupayaan individu yang berbangsa Melayu berbicara dalam bahasa kebangsaan. Selain tidak mempedulikan tatabahasa bahasa Melayu yang pernah dipelajari di sekolah, penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris tetap menjadi kebanggaan.

Apabila tabiat tersebut menjadi ikutan generasi muda, lahirlah anggota masyarakat yang bukan sahaja tidak dapat berbicara dalam bahasa Melayu dengan baik tetapi juga tetap lemah berbahasa Inggeris. Kelemahan yang nyata juga dapat dikesan dalam tulisan mereka.

Pihak yang tidak memandang tinggi akan keupayaan bahasa Melayu sentiasa mencari alasan untuk menidakkan bahasa sendiri. Daripada tutur kata mereka, era globalisasi dijadikan sandaran kukuh untuk mereka mendapat sokongan. Oleh sebab itulah, peraturan berbahasa yang disediakan oleh pihak yang berkenaan tetap diketepikan.

Golongan yang menggunakan bahasa “sesedap rasa” ini mudah pula dicontohi khalayak yang kebanyakannya bersandarkan frasa “orang kata”. Mereka tidak berasa apa-apa apabila laporan yang disediakan sukar difahami. Golongan ini tidak menyedari sebarang kekurangan apabila ucapan mereka berputar-putar di ruang yang sama. Alasan tetap tersedia apabila kertas kerja yang disediakan mereka dibuktikan menyimpang daripada tajuk utama.

“I minta maaf sekiranya bahasa Melayu I ni tak betul sangat because I tak faham, bahasa kita ni tak pernah mantap,” kata seorang pembentang dalam satu majlis yang masih segar dalam ingatan penulis.

Kata-kata tersebut bermaksud bahawa sekiranya bahasa Melayu itu “mantap”, pembentang tersebut dapat menggunakannya dengan betul. Sesekali penulis bersimpati akan individu tersebut yang mencipta alasan pelarian yang secara tidak langsung menonjolkan kepandiran.

Sesetengah pihak, termasuk segelintir guru menganggap bahasa Melayu mudah diajarkan. Apa sukarnya mengajarkan penggunaan di, dari, koma, noktah, dan sebagainya. Mengenai ayat pula, mereka menyebut subjek dan predikat. Biarkanlah.

Penulis kerap juga diminta untuk menyemak laporan tertentu. “Tolong semak ayat dan ejaan kalau-kalau ada yang terlepas pandang.” Demikianlah kata-kata yang memperlihatkan mudahnya tugas orang bahasa.

Tiada salahnya untuk kita menguasai pelbagai bahasa. Penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa amat wajar dan penting sekali. Namun begitu, sikap memandang remeh akan bahasa Melayu pastinya menggagalkan pihak tertentu untuk berkomunikasi dengan berkesan sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran yang boleh mengundang persengketaan.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka