DEWAN Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara telah menganjurkan Jerayawara Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Zon Utara beberapa minggu yang lalu.

Penulis, M. Luqman Hidayat dan Tajudin Shaari juga diundang ke Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah pada hari itu. Kami bertiga ialah Pegawai Nazir Bahasa Melayu yang mewakili Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pendidikan.

Honda Accord membelok masuk ke pekarangan Perpustakaan Awam Kedah. Hampir seluruh kawasan telah dipenuhi kenderaan. Tajudin memperlahan kereta apabila ternampak pengawal keselamatan.

“Kawasan penuh encik,” kata pengawal keselamatan.

“Saya bawa Pengarah, encik,” kata Tajudin selamba. Luqman di sebelahnya senyum meleret. Entah siapa-siapa yang dikatakan “pengarah” oleh Tajudin, barangkali penulis yang dimaksudkan sebagai pengarah kerana penulis duduk di belakang.

Mendengar sahaja perkataan “pengarah”, pengawal keselamatan terus mengunjukkan ibu jarinya ke arah satu tempat letak kereta yang kosong berdekatan dengan pintu masuk. Tajudin sempat menoleh ke arah penulis di belakang dan senyum.

Penulis faham sekarang bahawa “pengarah” yang dimaksudkan oleh Tajudin tadi ialah penulis. “Bijak sungguh orang bahasa ni,” kata Luqman memuji tindakan Tajudin yang berjaya mendapatkan tempat letak kereta.

Kami bertiga turun dari Honda Accord, kedua-dua pegawai bahasa ini mengiringi penulis yang bertindak sebagai pengarah sementara hari ini. Kebetulan ketika itu, kereta yang membawa Sas-terawan Negara, Datuk Seri Dr A. Samad Said diiringi oleh Abdul Wahab Hamzah, Pengarah DBP Wilayah Utara tiba di situ.

Sebentar kemudian, tiba pula Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP. Penulis ingin sahaja meninggalkan orang kenamaan ini supaya lebih bebas di dalam dewan nanti. Penulis berhasrat untuk duduk di kerusi paling belakang bersama-sama Luqman dan Tajudin supaya lebih puas ketika menghayati syarahan Sasterawan Negara.

“Tuan, nanti tuan duduk di kerusi tetamu khas paling kiri,” kata seorang lelaki berjanggut nipis dengan senyum manis.

Penulis tidak mengenali lelaki ini tetapi dia kelihatan sungguh mesra. Penulis terpinga-pinga kerana kami bertiga hanya diundang sebagai tetamu bukannya tetamu khas.

“Nama tuan telah disenaraikan dalam teks juruacara,” kata lelaki berambut ketak-ketak itu.

Penulis tiada pilihan lagi. Sambil menjegil biji mata ke arah Tajudin dan Luqman, penulis dan tetamu khas lain diiringi lagu gamelan masuk ke dewan. Penulis berasa resah kerana Dr Hatta asyik bertanya tentang bahasa.

“Bagaimana nak sebut perkataan itu ye?” tanya Dr Hatta sambil mengunjukkan jari ke arah pentas yang tertera perkataan “Jerayawara”. Penulis menerangkan cara sebutan “jerayawara” kepada beliau.

“Maksudnya apa ye,” tanya Dr Hatta lagi. Penulis menjawab pantas, road show, sambil merenung muka Dr Hatta. Penulis mengenali Dr Hatta sejak penulis remaja lagi.

“Saya doktor perubatan,” kata Dr Hatta dalam ucapan yang dipe-nuhi teori Pentas Sunda. Terungkai segala teka-teki dalam minda penulis.

Tentu Tajudin dan Luqman “bahagia” di barisan paling belakang sambil merakam gambar untuk dihantar kepada Ketua Jabatan kami. Penulis pula “terperangkap” di kerusi tetamu khas tanpa dapat memegang alat telekomunikasi.

Ketika pulang, penulis ketawa sebagai “Pengarah yang baru dilantik” manakala kedua-dua sahabat penulis ketawa kerana “membahagiakan” penulis di kerusi tetamu khas.

Dalam minda penulis, ada persoalan besar yang sedang berlegar-legar. Siapakah yang membuat keputusan supaya penulis menjadi salah seorang tetamu khas? Penulis ingin membelanjai si polan makan pisang goreng berkeju seperti yang kami makan di warung selepas penulis berjaya melepaskan diri daripada grup tetamu kenamaan itu.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka