MINGGU ini gawat buat politik di Malaysia. Baik parti pemerintah mahupun pembangkang, masing-masing menghadapi kegawatan dalaman yang mengganggu perjalanan harian parti masing-masing. Tetapi, berita kematian hero negara Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban dalam menunaikan tanggungjawabnya ketika rusuhan kuil di Selangor bulan lalu mengalih seketika tumpuan rakyat terhadap isu ini.

Paling parah dalam kegawatan ini sudah tentulah Umno. Setelah lumpuh di Sabah, tinggal nyawa-nyawa ikan di Semenanjung malah kelmarin, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sudah pun secara rasmi memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menjalankan tugas sebagai Presiden Umno setelah mendapat desakan kuat dari akar umbi yang terbuka memintanya berundur dan letak jawatan. Dengan perkembangan tersebut, maka barangkali kegawatan dalam Umno sudah sampai tahap getir.

Datuk A Kadir Jasin dalam blognya The Scribe menyifatkan Umno umpama sedang mengalami pendarahan kritikal dan memerlukan transfusi darah segera bagi mengelakkannya mati kekurangan darah atau menderita anemia yang teruk. Malah dalam ruangan ini juga minggu lalu, sudah pun diulas bagaimana Umno sudah cukup tertekan dengan usul MCA mahu membubarkan BN serta keluar dan lompat parti pemimpinnya di Sabah. Barangkali itu sudah cukup menggambarkan parahnya parti itu kini.

Hakikatnya, tiada jaminan buat Umno bahawa dengan peralihan tugas presiden ini, akan mampu menyelesaikan masalah lompat parti dalam kalangan ahli Umno. Mungkin ia mampu memberi sedikit waktu untuk parti itu menahan dan menghalang tindakan itu buat sementara sahaja.

Dari apa yang diperhatikan, memang ada tanda-tanda bahawa akan ada lagi yang akan melompat. Dengan kesediaan Parti Bersatu, Amanah malah DAP untuk menerima mana-mana ahli Umno ke dalam parti mereka dengan bersyarat, hal ini sahaja barangkali sudah cukup mencemaskan buat Umno.

Walaupun bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan keluar parti beramai-ramai sebagai satu proses pemutihan parti secara semula jadi, ia masih tidak cukup untuk meyakinkan bukan sahaja ahli Umno, malah rakyat secara umum. Lihat sahajalah reaksi rakyat terhadap isu ini yang mahu supaya parti-parti dalam PH untuk tidak menerima bulat-bulat mana-mana ahli Umno yang mahu melompat parti disebabkan pengalaman buruk mereka ketika Umno menjadi pemerintah suatu ketika dahulu.

Benar mereka meninggalkan Umno dan menyertai parti yang baharu, tetapi roh dan DNA Umno masih kuat dalam fahaman dan ideologi politik mereka. Dengan keadaan sebegitu, dikhuatiri amalan-amalan lama ketika dalam Umno akan dibawa dan meresap masuk ke dalam parti baharu mereka nanti. Malah tidak mustahil juga mereka ini suatu hari nanti akan menguasai parti itu, menjadikan ia Umno 2.0.

Barangkali isu pokok yang merisaukan dalam isu keluar dan lompat parti ini adalah prinsip dan kepentingan. Rakyat melihat mereka yang terlibat itu sebagai individu yang tiada prinsip dan mementingkan kepentingan peribadi berbanding mengutamakan kepentingan rakyat dan perjuangan parti.

Benar dalam berpolitik, keluar dan lompat parti adalah dibenarkan dan diterima, namun begitu ia tidak harus diangkat melebihi amalan utama dalam berpolitik itu sendiri iaitu berprinsip dan bermoral. Kerana akhirnya, naik turun sesuatu parti politik itu akan ditentukan oleh rakyat yang sentiasa melihat sesuatu parti itu berdasarkan prinsip, moral serta kewibawaan pemimpin dan parti itu sendiri.

Namun begitu inilah politik. Akan tetap ada individu-individu yang sentiasa oportunis dan amat sukar untuk menghapuskan mereka ini. Sebab itu mana-mana parti, dalam mencongak strategi politik masing-masing harus mencari individu yang berpegang teguh, setia dan percaya kepada prinsip perjuangan dan bukan sekadar memikirkan tentang jumlah kerusi dan kekuatan majoriti dalam parlimen semata-mata.

Ini adalah kerana, hanya mereka yang percaya, yakin dan menjiwai prinsip dan ideologi perjuangan sebenar yang mampu dan berupaya memimpin rakyat dan negara dengan lebih kuat dan berwibawa.

Memerhatikan politik negara sekarang ini mengingatkan saya kepada syair hebat karangan Ronggowarsito, Zaman Edan dalam baitnya yang paling terkenal:

Menyaksikan zaman gila,

serba susah dalam bertindak,

ikut gila tidak akan tahan,

tapi kalau tidak mengikuti (gila),

tidak akan mendapat bagian,

kelaparan pada akhirnya,

namun telah menjadi kehendak

ALLAH,

sebahagia-bahagianya orang

yang lalai,

akan lebih bahagia orang yang

tetap ingat dan waspada.

Bait syair ini masih relevan dalam politik hari ini walaupun sudah berusia ratusan tahun menerangkan bahayanya orang politik yang tidak berprinsip dan bermoral, hanya mencari laba peribadi.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains dan Pentadbiran & Penagjian Polisi UiTM