LAPORAN Persatuan Sains dan Teknologi China (CAST) yang disiarkan beberapa hari lalu menyebut majoriti saintis di republik tersebut menerima gaji sangat rendah dan sentiasa bekerja melebihi masa ditetapkan.

CAST mendakwa kajian mereka berdasarkan rungutan yang dijalankan terhadap 48,099 saintis di seluruh China pada 2013. CAST turut menyebut mereka ialah sebuah persatuan bukan berorientasikan keuntungan.

CAST mendakwa rata-rata saintis di China berpendapatan RM120,000 setahun. Namun pada masa sama, CAST mendakwa wujud pakej tawaran sangat lumayan buat saintis berketurunan Cina atau sering disebut sebagai ‘overseas Chinese scientist’ sekiranya mereka memutuskan untuk kembali ke republik tersebut.

Laporan CAST menyebut ganjaran gaji tahunan buat saintis dalam kategori tersebut adalah RM450,000 setahun, selain ditawarkan bonus RM600,000 sekiranya cemerlang dalam penyelidikan.

Xian Jiaotong University - sebuah universiti yang terletak di barat laut China adalah antara institusi pendidikan yang menawarkan pakej lumayan digelar program ‘Young Thousand Talents’. Program ini bertujuan membawa pulang seberapa ramai saintis yang memiliki darah keturunan Cina ke republik tersebut.

China melaksanakan program seumpama itu adalah untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan sebagai `naga’ terbesar di dunia selain Amerika Syarikat. Ketika ini, China memiliki antara saintis yang hebat di dunia, selain Amerika Syarikat, Jepun dan Rusia.

Justeru, penulis berasa sangat terkesan apabila membaca laporan ini dan terus teringat kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyeru rakyat Malaysia supaya sentiasa bekerja keras untuk membangunkan negara. Perdana Menteri juga telah mengingatkan rakyat bahawa tidak mustahil pada satu hari nanti Malaysia akan diatasi oleh negara seperti Vietnam atau Thailand sekiranya masih alpa dan tidak mahu bekerja keras.

Beliau menyatakan hanya dengan bekerja bersungguh-sungguh dan rajin, sesebuah negara dapat dimajukan serta rakyat dapat menikmati hasil daripada kerja keras tersebut. Sambil berseloroh beliau menyatakan bekerja keras tidak akan membunuh rakyat Malaysia. Tun Dr Mahathir juga dilaporkan sebagai berkata “Saya boleh sebut sekali lagi bahawa kita boleh! Malaysia Boleh! tapi kalau tak nak buat tak boleh lah.”

Paling menarik ialah Perdana Menteri meminta bekerja keras untuk mencapai kejayaan dan menolak amalan meminta ganjaran sebagai galang ganti kepada setiap titik peluh yang dikeluarkan. Sebenarnya, ALLAH SWT telah menyarankan semua umat-Nya supaya sentiasa berusaha keras. Ayat yang meminta umat Islam bekerja keras dan melaksanakan amalan baik telah disebut dalam al-Quran sebanyak 171 kali.

Antaranya, ALLAH menyebut bahawa kita tidak perlu bimbang tentang ganjaran diperoleh hasil dari usaha yang baik sebagaimana dalam Surah Al-Baqarah [2:112] maksudnya,

“Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada ALLAH (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

ALLAH turut menegaskan supaya kita jangan mengharapkan balasan dan ganjaran kerana kita mempunyai tugasan dan tanggungjawab masing-masing yang telah diamanahkan sebagaimana di dalam Surah An-Nisaa’ [4:32] yang maksudnya:

“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang ALLAH telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada ALLAH akan limpah kurnia-Nya. Sesungguhnya ALLAH sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Antara ayat yang menjadi panduan untuk terus berusaha membangun dan memajukan Malaysia ialah Surah Al-Baqarah [2:264] yang maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), ALLAH tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”

Bagi penulis, Tun Dr Mahathir telah meletakkan satu penanda aras yang sangat tinggi kerana sentiasa sanggup bekerja keras sekalipun sudah berusia 93 tahun. Kini, tiada alasan untuk tidak mampu bekerja keras kerana amalan mulia ini sebenarnya dituntut oleh ALLAH dan mendapat ganjaran di sisi Islam. Penulis juga berharap lebih ramai saintis dalam bidang kejuruteraan tampil melakukan lebih banyak penyelidikan berkualiti, di samping menghasilkan hasil kerja yang berkualiti.

Amaran Perdana Menteri bahawa Malaysia akan diatasi oleh Thailand dan Vietnam yang memiliki penduduk sentiasa mengutamakan produktiviti maksimum adalah satu permulaan kepada konsep Malaysia Baharu. Penduduk Malaysia mesti menitik beratkan amalan bekerja keras tanpa mengira masa sekiranya mahu kekal menjadi Tiger of Asia.

* Penulis ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)