BERAPA hari lagi tahun 2019 bakal menjengah kehidupan kita. Setahun menjelang 2020 iaitu tahun yang disasarkan untuk menobatkan Malaysia sebagai negara maju, kita sebenarnya berdepan isu yang perlu difikirkan secara serius.

Secara harfiahnya, kita berdepan dengan menu kehidupan yang baharu. Cuba lihat sekeliling. Menu kehidupan kita tidak lagi sama seperti 10 atau 15 tahun yang lalu.

Tidak sampai 10 tahun yang lalu, kita masih mampu berkomunikasi menerusi sistem pesanan ringkas (sms). Kita juga masih mampu keluar makan bersama dan saling tertawa apabila mendengar cerita lucu rakan taulan.

Namun, menu kehidupan kita sudah jauh berbeza sekarang. Survei mendapati seseorang mampu untuk tidak bercakap dengan sesiapa dalam tempoh 24 jam sejurus selepas keluar dari rumah dan kembali semula selepas waktu pejabat.

Secara jujur, menu kehidupan kita kini harus ada elemen artificial intelligent (kepintaran buatan) atau Internet of things (IoT). Setiap detik kini, kita diancam dengan satu perkataan yang begitu `menyakitkan’ iaitu VSS (voluntarily separation scheme). Kita tidak lagi berasa selesa dengan keadaan di tempat kerja.

Kehadiran elemen baharu seperti AI dan IoT telah menyebabkan banyak industri menukar rupa bentuk operasi seharian. Cara berfikir turut berubah dan keputusan kini ditentukan oleh landskap kehidupan yang jauh berbeza bukan lagi seperti dahulu. Selamat datang alam kehidupan yang baharu.

Penulis mahu menjentik kotak pemikiran kita semua selepas membaca sebuah berita disiarkan AFP baru-baru ini. Menurut AFP, perusahaan layanan kebersihan atau cleaning service terbesar di dunia dari Denmark, ISS A/S mahu menamatkan perkhidmatan 100,000 pekerjanya.

Angka tersebut mencakupi satu perlima daripada jumlah keseluruhan pekerjanya. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISS A/S, Jeff Gravenhorst telah pun mengesahkan perkara tersebut dan sedikit sebanyak ia terkait dengan era kebangkitan Ai dan IoT.

Sekiranya VSS tersebut dilaksanakan, ISS A/S bakal menamatkan operasinya di Thailand, Filipina, Malaysia, Brunei, Brasil, Chile, Israel, Estonia; Republik Czech, Hungary, Slovakia, Slovenia dan Romania.

Sekali lagi VSS menghantui segelintir pekerja di negara ini yang bakal memasuki tahun 2019 dengan hakikat tidak lagi mempunyai pekerjaan tetap. Secara purata, ramai semua syarikat di dunia kini berura-ura untuk melaksanakan VSS rentetan operasi yang tidak menguntungkan.

VSS, AI dan IoT kini memberi konotasi yang amat mendalam kepada sistem dan peraturan sesebuah organisasi. Pengurusan tertinggi dan pekerja kini harus mengubah menu kehidupan mereka. Manusia kini berbicara tidak lagi secara bersemuka.

Mereka berbicara menerusi video conference atau video call. Keputusan ditentukan menerusi cara yang jauh berbeza tidak lagi seperti dahulu. Namun, apakah cara terbaik menguruskan kesakitan yang dialami akibat semua perubahan menu kehidupan ini?

ALLAH SWT sebenarnya telah memberi peringatan kepada manusia tentang komunikasi era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Manusia dijadikan ALLAH dengan sebaik-baik kejadian yang dijanjikan kegemilangannya selagi berada pada landasan yang benar. Namun, manusia mudah terpesona dengan kemungkaran.

ALLAH telah menyatakan di dalam al-Quran Surah Ali 'Imran [3:110] bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada ALLAH. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

ALLAH juga telah mendidik manusia cara berkomunikasi berhemah sesama mereka sebagaimana disebut dalam Surah An-Nahl [16:125] bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Dalam surah yang lain ALLAH menyarankan dengan tegas supaya manusia berkomunikasi kepada kebenaran sebagaimana di dalam Surah Al-Ahzab [33:70] bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada ALLAH, dan katakanlah perkataan yang tepat dan benar (dalam segala perkara).”

Begitu juga dalam Surah Ali ‘Imran [3:159] tegas, ALLAH memberi tunjuk ajar cara berkomunikasi berkesan yang maksudnya:

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari ALLAH (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu, kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Kemajuan teknologi telah memberikan kemudahan dan kesejahteraan bagi kehidupan manusia sekaligus kesempurnaan manusia sebagai hamba ALLAH dan khalifah-Nya. ALLAH telah mengurniakan anugerah kenikmatan kepada manusia yang bersifat saling melengkapi iaitu anugerah agama dan kenikmatan teknologi. Salah satu yang tersirat daripada firman ALLAH dalam Surah Ar-Rahman [2:33] yang maksudnya:

“Hai jemaah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya melainkan dengan kekuatan.”

Kesimpulannya zaman telah berubah. Menu kehidupan juga telah berubah. Manusia kita berada dalam zaman AI dan IoT yang banyak mengubah lanskap kehidupan manusia. Apakah kita harus tewas dengan kebangkitan era zaman digital. Jawabannya ialah manusia mesti merujuk kepada peringatan ALLAH yang telah disebut dalam al-Quran.

* Penulis adalah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)