KETIKA kita berasa bersyukur bahawa negara ini tidak berada dalam keadaan tenat dan kritikal, kita sepatutnya tidak berasa selesa bila kita mendapati di sebaliknya ada keadaan yang mencemaskan sedang berlaku di negara ini.

Kami cuba menyemak beberapa angka yang dilaporkan. Bagi mereka yang peka dan tahu apa erti negara yang berciri “baldatun taoyyibatun wa rabbur ghafur”, angka-angka di bawah ini tidak sepatutnya menjadi kita boleh lena dan tenang.

1. Cerai

Pendedahan seorang peguam syarie baru-baru ini betapa lima daripada perkahwinan berakhir dengan perceraian cukup merisaukan kita. Satu laporan pada akhir tahun lalu mendedahkan kadar perceraian di negara kita dianggarkan 156 pasangan satu hari atau enam pasangan dalam satu jam. Dan apa yang lebih menakutkan berdasarkan angka yang sedia ada diramalkan pada 2020 seramai 15 pasangan akan bercerai dalam satu jam menjadikan angka perceraian sehari di Malaysia berada pada kadar 360 pasangan sehari.

Mengesahkan lagi kerisauan ini, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) pada tahun lalu merekodkan 4,441 permohonan cerai dengan purata 12 pendaftaran pembubaran perkahwinan setiap hari.

Bagi tahun ini sehingga awal Ogos saja sudah ada 2,694 kes direkodkan membabitkan tuntutan perceraian, tuntutan pengesahan lafaz cerai, fasakh, pengesahan cerai taklik dan tuntutan khuluk/tebus talak. Di Kelantan pula dilaporkan sehingga Julai tahun ini sebanyak 2,657 kes perceraian direkodkan.

2. Buang bayi

Astro Awani pada 7 November 2017 melaporkan Selangor catat kes buang bayi tertinggi dalam tempoh dua tahun berturut-turut antara 2016 hingga Jun 2017 berbanding negeri lain. Pernah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika itu, Datuk Azizah Mohd berkata sehingga Jun 2017 Selangor merekodkan 16 kes pembuangan bayi manakala pada tahun 2016 sejumlah 23 kes. Menurutnya, berdasarkan rekod PDRM, pada 2016 sehingga Jun 2017, sebanyak 115 dan 59 kes pembuangan bayi telah dilaporkan.

3. Zina

Seramai 744 lelaki dan 756 wanita disabitkan kesalahan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat dan persetubuhan luar nikah sepanjang Januari hingga September tahun ini (2016).

Daripada jumlah itu, seramai 561 lelaki dan 548 wanita terbabit dalam kesalahan khalwat, manakala 183 lelaki dan 208 wanita melakukan kesalahan persetubuhan luar nikah, sekali gus kedua-dua perbuatan itu menjadi kesalahan jenayah syariah tertinggi di Johor.

Statistik jenayah syariah di Johor pada 2016 juga mencatatkan khalwat dan persetubuhan luar nikah adalah kes yang tinggi.

Sepanjang tahun lalu, seramai 851 lelaki dan 790 wanita disabitkan dengan kesalahan khalwat. Manakala bagi kesalahan persetubuhan luar nikah menyaksikan seramai 341 lelaki dan 380 wanita disabitkan kesalahan.

4. Pelacuran

Mengikut laporan, Malaysia berada di tangga ke lapan antara 10 negara di dunia yang mempunyai bilangan pekerja seks teramai untuk setiap 10,000 penduduk. Ini mengatasi Thailand yang mempunyai 45 pekerja seks setiap 10,000 penduduk.

Menurut laporan 2013 oleh portal liveandinvestoverseas.com mendapati setiap tahun sekitar 3 juta orang mengembara menggunakan khidmat pelancongan untuk tujuan seks dan angka ini terus meningkat. Malaysia menunjukkan angka 52 pekerja seks setiap 10,000 orang. Malaysia telah diletakkan oleh Amerika Syarikat dalam senarai hitam dalam kalangan negara yang mempunyai kes isu pemerdagangan manusia dan penyalahgunaan hak asasi manusia termasuk pelacuran kanak-kanak.

5. Minum arak

Dianggarkan pada 2016, sejumlah 2 bilion orang seluruh dunia yang minum minuman beralkohol dan 2.8 juta mati berkait dengan alkohol.

Mengikut angka Malaysia, konsumsi alkohol per kapita (liter per tahun) adalah merisaukan. Ia semakin meningkat dari 0.8 setahun pada 2005; 1.2 liter pada 2010; kepada 1.7 liter pada 2015. Pada 2011, Kuala Lumpur mempunyai peminum arak tertinggi sekitar 154,200 (19.3 peratus) dari seluruh populasi KL ; Sarawak, 440,000 (17.8 peratus); Sabah/Labuan, 526,440 (16.4 peratus ); dan Pulau Pinang, 221,520 (14.2 peratus).

Tambah lagi, mereka yang berpendapatan kurang dari RM3,000 (3.0 peratus) dan mereka yang tinggal di kawasan desa (284,160 daripada populasi) cenderung berbelanja lebih dari pendapatan mereka untuk minum arak berbanding penduduk bandar (681,790 ) pada 2016. Umumnya dari keseluruhan populasi yang minum arak, umur termuda yang dikesan ialah antara 13 ke 14 tahun.

Lebih mencemaskan kerana mereka yang berpendapatan kurang dari RM3,000 tergolong dalam B40. Tabiat minum arak dan merokok akan menjejaskan perbelanjaan ke atas makanan dan keperluan keluarga. Mengikut laporan 2016, rakyat Malaysia berbelanja RM2 bilion setahun untuk arak, bermakna 10 negara teratas peminum arak di dunia.

6. Keganasan domestik

Keganasan domestik sedang meningkat kepada 65% antara 2012 dan tahun yang lalu. Bekas Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti, Datin Paduka Chew Mei Fun menyatakan 5,796 kes dilaporkan pada 2016 berbanding 3,488 in 2012. Sejumlah 57,519 kes jenayah domestik terhadap wanita dilaporkan antara 2010 dan Mac 2016. Kanun Jenayah yang melibatkan wanita berkait dengan mencabul, sumbang muhrim dan rogol.

Dari kes yang dicatat, 40% atau 23,212 kes adalah keganasan domestik yang melibatkan wanita. Angka untuk kanak-kanak yang didera dan dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan antara 2010 dan tahun sebelum ini berjumlah 28,365, dengan  4,982 kes dilaporkan tahun lalu,  4,453 (2015), 4,295 (2014), 4,119 (2013), 3,831 (2012), 3,428 (2011) and 3,257 (2010).

7. Merokok

Dari populasi 29 juta, rakyat Malaysia yang merokok ialah 9 juta atau 23%. Bancian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2015 menunjukkan sekitar 5 juta atau 22.8% daripada populasi Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas adalah perokok. Statistik menunjukkan 50% perokok berumur 30 tahun ke atas, 40% berumur 19 tahun dan 10% di bawah 19.

Mengikut WHO, sekitar 6 juta dan 1.5 juta daripadanya adalah wanita yang mati disebabkan rokok setiap tahun. Angka ini dijangka meningkat 8 juta menjelang 2030 jika tidak disekat.

Di Malaysia satu perlima kematian adalah disebabkan oleh rokok setiap tahun dari 15% yang dimasukkan ke hospital adalah berkait dengan merokok.

8. Judi

Judi di Malaysia sangat mencemaskan. Lebih RM10 bilion (judi berlesen dan tidak berlesen) dibelanjakan oleh rakyat Malaysia setahun dalam pelbagai bentuk dan cara berjudi. Kemunculan judi atas talian sangat rumit untuk disekat. Terdapat sekitar 700,000 akaun palsu telefon bimbit prabayar yang diguna oleh sindiket perjudian. Kecanggihan sindiket beroperasi untuk sekelip mata menukar nombor IP bila diblok oleh MCMC membuat judi atas talian sukar dikawal. Judi “haram” ini sedang berleluasa untuk beroperasi sehingga mencapai pelanggan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Berdasar angka-angka ini sudah cukup menjadikan mereka yang peka dengan gejala sosial tidak dapat tidur. Ahli politik kerap berdebat di Parlimen mengenai isu-isu di atas, namun tidak dapat mencari penyelesaian.

Kami berpendapat, pembangunan negara tidak memberi perhatian yang kukuh untuk membina kualiti sumber manusia serta menyediakan sistem sosial yang boleh memelihara nilai hidup yang murni. Dengan berbilion ringgit dicurahkan untuk pelbagai projek pembangunan, namun yang jelas, negara semakin berdepan keruntuhan dan penghakisan jati diri rakyat.

* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu