ANGKA 13:11 adalah surah al-Quran  yang ke-13 ayat 11, mengenai nasib suatu kaum hanya akan berubah jika perubahan bermula dari apa yang ada pada diri mereka sendiri.

Angka 153 adalah Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang mencatat tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memberi kedudukan istimewa kepada bangsa Melayu dan penduduk asal di Sabah dan Sarawak yang kedua-duanya disebut Bumiputera. Ini disebut kontrak sosial antara kaum dalam pembentukan tanah air Malaysia yang merdeka.

Bagi seorang Muslim Melayu, tidak mungkin ada yang berani mempertikaikan al-Quran mengatasi Perlembagan. Al-Quran adalah suci dan mutlak daripada ALLAH SWT, manakala Perlembagaan Persekutuan adalah digubal manusia, boleh berubah dengan dua pertiga undian di Parlimen.

Akan tetapi yang sangat panas diungkap dan dijadi laungan pemersatu bangsa dewasa ini ialah mempertahankan Perkara 153 dan atas semangat itu, dikumandangkan slogan "Ketuanan Melayu". Perkara 153 dianggap perisai bangsa Melayu yang tidak boleh dipertikaikan.

Sesiapa yang berani mencabar atau dilihat berimplikasi mencabar klausa 153, bangsa Melayu sanggup mengamuk atau didorong untuk mengamuk. Andaian yang diuar-uarkan masa kini ialah ada percubaan pihak tertentu untuk meminda Perkara 153 dan sebahagian Melayu sanggup berdemonstrasi untuk menyatakan perlu ada kebangkitan bangsa.

Rasa jengkel terhadap perkembangan terkini bila ada tanda kedudukan istimewa bangsa Melayu dan Islam dicabar, diperkecil, dihina, maka muncul reaksi bahawa Melayu Islam yang majoriti di tanah air ini tidak boleh berdiam diri.

Yang didiskriminasi sebenarnya bukan kaum lain tetapi kaum Melayu itu sendiri. Komposisi dan dominasi kuasa dalam kalangan orang Melayu Islam dilihat semakin terhakis. Lalu respons yang segera oleh sebahagian aktivis Melayu ialah mengadakan perhimpunan.

Bangsa Melayu akhir-akhir ini nampaknya sangat mudah berasa tercabar. Memang sensitiviti hak dan status kaum Melayu, sering cepat mendapat perhatian mereka yang sangat tebal bermentaliti Ketuanan Melayu. Apatah lagi golongan politik Melayu, bangkit mempertahan kedudukan istimewa Melayu sangat cepat disambar untuk meraih sokongan.

Namun harus diingat, intisari dari keprihatinan kepada Perkara 153 juga tidak boleh dinafikan bahawa dalam peruntukan itu, kepentingan kaum lain juga terpelihara dan dilindungi dalam klausa Perlembagaan. Kaum bukan Melayu tidak boleh berasa mereka selama ini terpinggir kerana segala keistimewaan yang ada di negara ini juga diperoleh oleh mereka.

Yang menjaga keamanan dan kestabilan yang memungkinkan kaum bukan Melayu mendapat keistimewaan berniaga dan menguasai ekonomi, mewujudkan sekolah hingga ke universti, adalah dalam kalangan pihak keselamatan yang majoritinya adalah orang Melayu. Jadi kenapa pula ada suara yang mengatakan kaum bukan Melayu di negara ini dinafikan hak dan dipinggirkan.

Kedudukan istimewa Melayu telah memungkinkan beberapa hal dirizabkan untuk orang Melayu: perkhidmatan awam, biasiswa, tempat di universiti dan lesen perniagaan. Hal ini sebagai jaminan supaya bangsa Melayu tidak ketinggalan jauh di belangkang. Inilah intisari diwujudkan DEB. Sayangnya DEB tidak memberi hasil yang sepatutnya.

Jika Perkara 153 dihapuskan atas alasan diskriminasi kaum, maka  kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara Malaysia akan terungkai.

"Peruntukan 13:11" dalam al-Quran memberi isyarat jelas. ALLAH sebagai Pencipta yang Maha Berkuasa boleh sahaja mengubah nasib sebuah kaum mengikut KehendakNya, akan tetapi jaminan itu tidak diberi. Nasib yang baik atau buruk bagi sesuatu kaum bersyaratkan perubahan yang mesti bermula dari ikhtiar untuk merubah apa yang ada pada kaum itu sendiri.

Ertinya tidak ada keistimewaan yang dijamin kepada mana-mana kaum, akan tetapi yang ditegaskan ialah syarat untuk mengubah sendiri nasib kaum. Kaedahnya nyata dan mudah difaham. Jika ALLAH menafikan bangsa boleh diubah dengan hanya berpeluk tubuh dan pasrah kepada nasib, maka ia menyalahi sunnatullah.

Setelah mendewasa kepada umur 61 tahun, negara ini telah melangkah untuk menjadi sebuah qaryah atau balad yang berdiri sendiri, mentadbir sendiri, membangun sendiri, maju sendiri dan berusaha menentukan masa depan sendiri. Di sinilah cabaran sebenar bangsa yang diiktiraf sebagai Pribumi yang merasakan bumi ini miliknya.

Mewariskan sebuah tanah air yang ditadbir sendiri untuk generasi mendatang sangat genting dan penting. Tetapi status istimewa sebagai Pribumi bukan jaminan. Jika bangsa tidak memiliki kualiti Rabbani yang kukuh, maka nasib bangsa boleh saja dikuasai kaum lain. Apatah lagi bangsa itu sendiri gagal menterjemahkan isyarat 13:11.

Kualiti generasi bangsa Rabbani ialah sifat bangsa yang memiliki kesedaran mendalam terhadap kehadiran Pencipta yang menentukan segala peraturan hidup dan tanggungjawab setiap insan adalah menjunjung perintahNya. Kualiti inilah yang melayakkan keistimewaan bangsa diberi. Keistimewaan yang melayakkan kepimpinan dimandatkan.

Persoalannya adalah, ketika bangsa ini bergelut dengan memberi respons kepada apa yang disebut status istimewa orang Melayu sedang dicabar, bangsa lain merasakan tumpuan mereka harus untuk meneruskan penguasaan dalam pelbagai sektor.

Keistimewaan bangsa lain ialah pada ikhtiar dan disiplin dalam mengurus aset mereka. Mereka tidak perlu mendemonstrasikan tuntutan mereka kerana aset negara sedang berada dalam penguasaan mereka.

Manakala aset yang berada di tangan orang Melayu menguncup sedikit demi sedikit akibat salah tadbir, ketirisan, penyelewengan dan pecah amanah. Istimewa orang Melayu sebenarnya bukan kerana hebatnya, tetapi kerana ia masih lemah, oleh itu perlu diberi layanan bagi memungkinkan ia bangkit agar setaraf dengan bangsa lain.

Kini kita harus insaf dan sedar, terlalu banyak yang perlu diubah "apa yang ada pada diri bangsa itu sendiri" ( ma bi anfusihim ): kejahilan, tidak berdisiplin, lemah jati diri, kebejatan akhlak, tidak amanah, rasuah, membazir, kebergantungan, gejala sosial, budaya hidup mewah, perpecahan dan konflik antara sesama sendiri dan gila jawatan.

Semua ini adalah sebahagian dari asbab kenapa bangsa ini perlu lebih mengutamakan dan menterjemahkan 13:11. Maknanya jaminan oleh Perkara 153 kepada bangsa ini adalah rapuh, kecuali syarat 13:11 dipenuhi.

Kita memang perlu bersuara bila ada gugatan terhadap kedudukan orang Melayu yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum. Menegaskan kontrak sosial yang tertera dalam Perlembagaan adalah perlu.

Akan tetapi, perbahasan isu status istimewa bangsa hendaklah dibicara dalam konteks dan syarat merubah diri bangsa itu sendiri. Tanpanya, segala slogan dan retorik Ketuanan Melayu akan menjadi hampa dan sia-sia.

* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu