HASIL pembentangan Seminar Antarabangsa Industri Kreatif anjuran Universiti Utara Malaysia dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) menunjukkan bahawa kemahiran kreativiti merupakan elemen ketiga penting dalam pencarian bakal pekerjaan menjelang tahun 2020.

Pihak majikan, industri dan organisasi bukan sahaja menilai kemahiran berdasarkan kelulusan semata-mata, tetapi bakal pekerja perlulah bersiap siaga dengan berkemahiran dalam kebolehan menyelesaikan masalah, pemikiran kritikal, kreativiti, pengurusan manusia, koordinasi dengan orang lain, kebijakan emosi, penjurian dan kemahiran membuat keputusan, kemahiran perundingan serta kemahiran kognitif.

Kalau tahun 2015, kemahiran kreativiti berada di tangga ke enam dalam senarai kemahiran yang diperlukan majikan, kini persoalan kreativiti amat dititikberatkan buat masa kini dan akan datang. Dengan kehadiran media sosial dalam kehidupan kita seharian, keperluan terhadap kemahiran kreativiti menuntut kita agar lebih kreatif dalam mengurus kehidupan.

Misalnya dalam dunia perniagaan dan periklanan sekarang, pelanggan agak 'pelik’ kerana mahukan sesuatu yang di luar jangka, luar biasa. Contohnya kisah 'hantu dan mistik', kini menjadi kegilaan dan kegemaran penonton hingga menjadi box-office. Iklan kini juga lebih kreatif dan menangkap minda penonton, semuanya kerana kreativiti.

Kreativiti bermaksud kemampuan atau kebolehan mencipta daya kreatif dan kekreatifan. Kreativiti juga bersangkut paut dengan instinct atau naluri semula jadi sejak lahir lagi yang dimiliki oleh individu. Ia merupakan keupayaan mencipta perlambangan dan idea baharu, bagi mengemaskini perlambangan atau simbol yang sedia ada.

Bagi Guilford pula melihat pemikiran kreatif sebagai pemikiran yang fleksibel dan lepas daripada belenggu pemikiran lama. Maka, kreativiti merupakan sesuatu yang berasaskan bakat, kebolehan yang dirancang secara bersepadu oleh individu atau kumpulan dengan mengambil kira nilai-nilai seni dan budaya tempatan serta penggunaan teknologi bagi menghasilkan produk berupa industri kreatif yang berkualiti bagi memenuhi pasaran.

Industri kreatif kini menjadi harapan negara bagi menampilkan lebih banyak produk dan perkhidmatan. Trend sekarang adalah “How people make money from ideas”. Bermakna untuk menghasilkan idea yang luar biasa, perlu kemahiran kreativiti yang tinggi agar nampak lain dari yang lain. berfikir di luar kotak kebiasaan. Mencipta suatu kelainan yang unik dan tersendiri.

Maka Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) merupakan salah satu pemangkin yang seiringan dengan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk muncul sebagai sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020. Dengan adanya DIKN, ia membuka ruang dan peluang kepada kelompok masyarakat yang berbakat terutama generasi muda untuk berkarya, seterusnya mendapat pasaran di dalam dan di luar negara.

DIKN yang berpaksikan tiga skop utama iaitu, Multimedia, Seni Budaya dan Warisan Budaya ini digubal bagi memenuhi keperluan industri dan menyokong pembangunan dan kemajuan setiap industri di bawahnya. Antara industri di bawah kategori ini adalah: (i) Penerbitan Filem dan TV; (ii) Pengiklanan; (iii) Seni Reka; dan (iv) Animasi dan Kandungan Digital.

Sememangnya wujud kelembapan industri kreatif negara pada masa ini didorong oleh beberapa faktor seperti struktur industri kreatif yang tidak tersusun dan terancang. Malah ketiadaan integrasi yang menyeluruh dan hala tuju yang jelas. Selain itu, kekurangan tenaga kerja mahir, saiz industri yang kecil serta tidak kompetitif dan persepsi masyarakat yang beranggapan industri ini tidak menjamin pendapatan tetap.

Namun adakah untuk menghasilkan produk kreatif mesti mempunyai kelulusan dalam bidang kreatif? Kajian menunjukkan taiko dan produksi serta pengarah perfileman yang tersohor bukannya berkelulusan dalam bidang perfileman. Begitu juga pemilik animasi dan kandungan digital, berkelulusan bidang kejuruteraan. Kadang-kadang pengalaman dan 'passion' lebih berjaya berbanding sekeping ijazah, jika kita kreatif.

Namun dengan adanya DIKN ini, industri kreatif multimedia, fesyen dan tekstil, kraf serta lain-lain dapat diperkasa dan diperluaskan pasarannya di peringkat dalam dan luar negara. DIKN ini diharap dapat menjadi panduan yang jelas bagi penggiat industri, para pemimpin dan rakyat dalam usaha mencapai matlamat utama kerajaan seiring memartabatkan seni budaya dan warisan negara.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM