PERLEMBAGAAN negara kita adalah unik kerana ia dihasilkan melalui perjuangan dan perjanjian, iaitu perjuangan orang Melayu menolak Malayan Union, dan perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan. Penolakan Malayan Union melahirkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan perjuangan kemerdekaan menghasilkan Perjanjian Kemerdekaan 1957.

Ia bukan sekadar sebuah dokumen mengenai peraturan dan cara pengendalian sebuah negara, tetapi yang lebih penting lagi ia merupakan asas kontrak sosial antara pelbagai komponen yang saling berkaitan dalam negara kita. Kontrak sosial itu ialah antara orang Melayu sebagai kaum pribumi dengan kaum migran, antara raja dan rakyatnya dan antara negeri-negeri yang berdaulat dengan Persekutuan.

Masing-masing diberikan jaminan haknya sebagai timbal balas kepada kerelaan mereka melepaskan sebahagian daripada haknya yang lain. Orang Melayu mendapat hak keistimewaan orang Melayu, jaminan kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, tanah rizab Melayu dan hak-hak yang lain.

Orang bukan Melayu mendapat jaminan hak mengamalkan adat resam, bahasa dan agama masing-masing, di samping hak mereka yang terpenting sekali iaitu hak kewarganegaraan untuk berkongsi hidup sebagai rakyat di bumi bertuah ini. Negeri-negeri Melayu yang menyertai Persekutuan juga dijamin kedudukannya dalam Persekutuan.

Manakala raja-raja Melayu pula dijamin kedaulatan dan hak-hak kedaulatan atas dirinya sebagai tanda terima kasih rakyat atas perkenan baginda-baginda melepaskan banyak hak-haknya yang lain dalam Sistem Raja Berperlembagaan.

Rakyat menerima raja yang berdaulat sebagai payung keadilan, ketua agama Islam, pendukung adat istiadat orang Melayu, simbol ketuanan Melayu dan pemelihara keadilan bagi masyarakat berbilang kaum.

Perihal pentingnya kedudukan kedaulatan raja-raja Melayu ini dicerminkan melalui susunan Perlembagaan itu sendiri. Perkara 181(1) dan 181(2) yang berada di bawah klausa, "saving for rulers' sovereigny, etc." adalah terletak di bahagian paling terakhir Perlembagaan kita.

Inilah klausa penamat yang menjadi kesimpulan kepada keseluruhan isi kandungan karya besar yang bernama "Perlembagaan Malaysia" ini. Perkara 181(2) mengenai imuniti raja-raja adalah manifestasi terpenting kepada Konsep Kedaulatan Institusi itu.

Konsep Kedaulatan Institusi itulah yang menjadi tiang seri kepada kekukuhan Perlembagaan negara ini. Keharmonian antara berbagai pihak di negara ini akan terus kukuh selagi rakyatnya rela bertolak ansur. Berakomodasi dan saling menghormati perjanjian yang dibuat oleh mereka yang terdahulu.

Sebab itulah sehingga kini, kita boleh berbangga Malaysia, walaupun masyarakatnya yang berbagai keturunan dan agama, kita boleh terus hidup dalam rukun dan damai.

Sejarah keharmonian ini pernah dicacatkan oleh tragedi 13 Mei 1969 iaitu 21 tahun setelah Perjanjian 1948. Perbezaan taraf ekonomi antara kaum mencetuskan perasaan marah hingga ada yang mengungkit perjanjian terdahulu. Ini termasuk membangkitkan soal kewarganegaraan, mencaci raja-raja Melayu dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

Maka selepas tragedi hitam itu, rakyat terpaksa diingatkan kembali perjanjian asal tadi dan diberi amaran demi kestabilan kemakmuran negara, jangan sesiapa pun membangkitkan lagi soal hak keistimewaan orang Melayu, soal kedudukan bahasa Melayu dan soal kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu bahkan kepada orang Melayu sendiri. Mereka diingatkan jangan sama sekali membangkitkan soal hak kerakyatan kaum bukan Melayu.

Ini adalah persetujuan asal yang tidak boleh dibangkitkan lagi. Kebebasan bersuara yang terjamin dalam Perlembagaan bukannya untuk memaki hamun sesiapa sahaja tanpa mengambil kira soal sensitiviti perasaan rakyat yang berbilang kaum.

Sebab itulah dalam tahun 1971, Perlembagaan Persekutuan dipinda dan dimasukkan ke Perkara 63(2) yang melarang sesiapa sahaja, membangkitkan perkara-perkara yang disifatkan sensitif oleh Akta Hasutan.

Ini termasuklah soal yang menyentuh kedudukan dan kemuliaan martabat raja-raja Melayu. Bagi mengelakkan peristiwa pahit tadi berulang lagi, kita memberi kunci amanah kestabilan negara kepada Institusi Raja-Raja Melayu. Kita memberi kunci amanah kestabilan negara kepada Institusi Raja-Raja Melayu yang berdaulat untuk menyimpan bukan kepada ahli-ahli politik.

Amanah itu ialah Perkara 159(5), Perlembagaan Persekutuan. Antara lainnya, Perkara 159(5) ini menyatakan: "Bahagian III, Perlembagaan kita mengenai hak kewarganegaraan. Perkara 38 mengenai kedudukan raja-raja Melayu. Pekara 152 mengenai kedudukan bahasa Melayu dan Perkara 153 mengenai hak keistimewaan orang Melayu tidak boleh dipinda melainkan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu".

Inilah amanah besar keharmonian negara yang tidak boleh diubah oleh kuasa majoriti 2/3 di Dewan Rakyat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu. Maka inilah peranan paling unik dan terbesar yang diamanahkan kepada Institusi Raja-Raja Melayu kita.

la bukannya sekadar simbol kepada sejarah peradaban bangsa kita tetapi sebagai pemegang amanah kepada masa depan kestabilan negara yang dicintai ini.

Jangan melihat raja-raja Melayu dari segi individunya. Benar sembilan orang individu yang bergelar "raja" mungkin tidak banyak menentukan masa depan kita. Tetapi sebuah institusi besar yang mengandungi 9 buah Institusi Raja-Raja Melayu tetap besar maknanya dalam melindungi amanah tadi.

Malangnya, sekali lagi, walaupun kita bersetuju dengan peraturan-peraturan tadi, nampaknya, sejarah mula dilupakan. Rakyat secara terbuka memaki hamun sesuka hati terutamanya dalam media sosial. Insiden demi insiden yang berlaku mutakhir ini jika tidak dibendung boleh mengancam keselamtan negara.

Kita perlu diingatkan kembali kontrak sosial yang menjadi resipi perpaduan di Malaysia. Kita bimbang kalau kita tidak dapat mengawal emosi maka luka sejarah pahit tahun 1969 akan terbuka kembali. Namun, sebagai manusia bertamadun, kita juga mesti mempertahankan perjanjian yang telah kita buat. Kita tidak boleh mengubah apa-apa perjanjian menurut selera kita. (Diubah suai berdasarkan Hansard Parlimen).

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM