SAYA ingin memanjangkan mesej daripada rakan kumpulan WhatsApp bernama Balasupramaniam seorang pegawai Jabatan Penerangan, mengingatkan agar cakna dan kaji sebelum mempercayai sesuatu maklumat yang diterima melalui media sosial.

Walaupun ringkas tetapi saya anggap berguna untuk manfaat kita semua. Kita sering menerima dan menghantar mesej melalui media sosial atau apa juga bentuk maklumat kepada individu lain.

Sememangnya sentiasa hangat atau kadang-kadang ‘panas’ dalam perbincangan kumpulan. Kadang-kadang kita akan terhibur dengan pelbagai gelagat ataupun maklumat melalui video yang menjadi teman ketika kesunyian. Malah ramai yang tersenyum dan gelak bersendirian.

Dengan adanya media sosial jugalah kita dapat menjejaki kawan atau saudara yang sekian lama tidak berjumpa. Semuanya dengan menggunakan perantara maya ini. Memang benar mengakui ramai pengguna media sosial sebagai perantara sosial dan menjadi jambatan kasih sayang.

Malah ramai yang dapat dihimpunkan semula dalam alam maya seperti ahli keluarga, alumni sekolah, kolej atau universiti. Persatuan pencen atau rakan sekampung, semuanya ditemukan dalam kumpulan WhatsApp atau Instagram dan sebagainya.

Namun ramai juga yang terluka, memendam rasa dengan beberapa individu yang “terlampau” hingga menyampaikan maklumat menggores hati atau sarat dengan mesej yang sensitif. Ada juga yang tak tahu menilai masa, menghantar mesej 24 jam tanpa memikirkan hak waktu rehat orang lain dalam kumpulan. Kadang-kadang dek terlalu obses atau taasub dengan mana-mana parti politik sehingga menyebabkan orang lain “geram”.

Ramai pula berlagak bagai wakil rakyat atau tokoh politik yang tidak henti-henti menyalurkan maklumat politik walaupun pilihan raya umum telah berlalu. Malahan sengaja menjadikan perbincangan dalam alam maya sebagai saluran propaganda. Orang seperti ini sering digelar sebagai “racun demokrasi” menyebabkan yang lain mengundur diri.

Sebenarnya apa yang dipaparkan dalam internet ataupun media sosial tidak semestinya benar belaka. Oleh itu, pengguna internet perlulah bijak menilai dan menganalisis sesuatu maklumat yang diterima, celik fakta serta menentukan sahnya dengan sumber rasmi terlebih dahulu.

Sesetengah pihak menyalahgunakan kebebasan bersuara di media sosial sehingga mencetuskan isu berkaitan perkauman dan agama. Penularan pelbagai berita palsu dalam pelbagai bentuk dan platform yang bertujuan memanipulasi sesuatu isu.

Pemerhatian saya menunjukkan beberapa individu langsung tidak menghiraukan etika atau tatasusila berkumpulan. Melanggar beberapa amaran “admin” hingga terpaksa dikeluarkan daripada ahli WhatsApp.

Atau ramai juga yang kecewa, tetapi malas untuk bersuara hingga “left” dengan sendirinya. Sedangkan matlamat mewujudkan perbicangan kumpulan dalam media sosial atau apa jua aplikasi untuk merapatkan silaturahim, dan media untuk pengurusan atau operasi.

Menurut Buku Falsafah Thirukural - tulisan 3,000 tahun dahulu telah menjelaskan tentang kriteria mempercayai sesuatu berita atau kaedah menjatuhkan hukuman terhadap seseorang atau sesuatu kesalahan. "Though things diverse from divers sages' lips we learn, 'This wisdom's part in each the true thing to discern. Couplet Explanation: To discern the truth in every thing, by whomsoever spoken, is wisdom".

Bermaksud, apa yang kita nampak, apa yang kita dengar boleh jadi ilusi mata-telinga; boleh terpedaya jika mempercayai bulat-bulat apa yang telah disampaikan kepada kita. Oleh itu, adalah terbaik untuk setiap individu mengkaji dan menyelidik sebelum mempercayai sesuatu.

Ia selaras dengan kempen Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) “tidak pasti, jangan kongsi”. Menangani ancaman berita palsu dan melindungi kepentingan masyarakat, pihak MCMC telah mengambil pendekatan advokasi, pemantauan dan penguatkuasaan.

Antaranya, pelancaran portal dan app sebenarnya.my yang kini menjadi sumber rujukan utama dalam kalangan masyarakat dan agensi kerajaan untuk menentusahkan berita-berita yang tular.

Kerjasama strategik turut dijalinkan dengan agensi-agensi kerajaan, NGO, institusi pendidikan dan media bagi memastikan mesej utama iaitu berita palsu musuh negara dan tidak pasti, jangan kongsi sampai kepada semua lapisan masyarakat.

Dari aspek penguatkuasaan pula, MCMC turut memantau dan menyiasat akaun-akaun media sosial yang diwujudkan untuk menyebar kandungan bersifat lucah, sumbang, palsu, jelik dan mengancam selepas menerima aduan daripada orang ramai.

Apa lebih penting adalah kita sebagai penguna media sosial perlu mengawal selia diri sendiri agar mesej atau maklumat yang disampaikan melambangkan cerminan dan maruah diri, bangsa dan agama.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM