PERSOALAN yang bermain di minda sekarang ini, adakah Pe­ngerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan seorang psiko? Pada 5 Disember yang lalu, Wan Saiful telah membuat pengumuman berkenaan pelaksanaan potongan gaji bulanan (PGB) antara 2 hingga 15 peratus daripada gaji bulanan peminjam PTPTN.

Menariknya, sesiapa yang bergaji RM8,000 ke atas akan dikenakan PGB sebanyak 15%, bermaksud sekurang-kurangnya RM1,200 sebulan.

Ini kerja gila! Sudahkah PTPTN mengambil kira potongan bulanan wajib peminjam seperti caruman KWSP, Socso, dan potongan cukai bulanan? Ini belum lagi dikira komitmen / keperluan lain seperti ansuran kereta, insurans kesihatan, ansuran/sewa rumah, utiliti rumah, pengangkutan, pendidikan anak, belanja dapur dan sebagainya?

Jika dikira secara kasar, poto­ngan cukai bulanan seorang peminjam bergaji RM8,000 sahaja sudah sekitar RM575, manakala potongan KWSP pula RM880. Selepas ditolak semua komitmen wajib, gaji bersih yang akan diterima adalah sekitar RM6,500.

Dari gaji bersih RM6,500 ini pula peminjam perlu membayar kereta (contoh, Honda Civic RM1,350), ansuran rumah (antara RM1,200 hingga RM2,200), insurans kesihatan (sekitar RM250), bil-bil utiliti bulanan (seperti bil-bil elektrik, air, telefon dan internet), pendidikan anak dan sebagainya.

Komitmen-komitmen ini sahaja sudah menelan belanja beribu ringgit, dan setelah ditolak PGB sebanyak RM1,200, akhirnya gaji peminjam hanya tinggal baki beberapa ratus ringgit untuk perbelanjaan harian dan seisi keluarga. Ini belum lagi dikira dengan alokasi simpanan bulanan untuk digunakan pada saat kecemasan atau memerlukan.

Semua ini hanya sekadar kiraan kasar. Kiraannya boleh jadi lebih tinggi atau boleh jadi lebih rendah. Pokoknya di sini, kita berusaha belajar untuk mendapatkan kelulusan ijazah, kemudiannya berusaha untuk mendapatkan pendapatan yang tinggi demi keselesaan hidup, akhirnya terganggu dengan sistem pembayaran balik PTPTN yang tidak masuk akal.

Bukanlah kita berniat tidak mahu membayar semula pinjaman PTPTN tersebut kerana hutang tetap hutang. Tetapi, komitmen pemba­yaran balik yang sangat melampau tingginya ini adalah mengarut! Sudahlah Wan Saiful yang menulis manifesto PH dan menjanjikan pembayaran balik setelah gaji mencapai RM4,000, ironinya beliau juga yang melanggar janji tersebut hari ini.

Nampaknya, PTPTN pada zaman BN lebih berperikemanusiaan berbanding zaman PH hari ini? Sekurang-kurangnya pembayaran balik PTPTN zaman BN lebih bersifat fleksibel berbanding dengan cara tegar (rigid) yang diperkenalkan oleh Wan Saiful.

Amat kurang pasti kenapa Wan Saiful tidak bercadang untuk me­ngenakan gandaan RM40 untuk setiap RM2,000. Contohnya jika gaji RM8,000, maka pembayaran semula adalah RM40 x 4 = RM160. Ini sekadar contoh. Jika begini caranya, mungkin rakyat tidak akan begitu resah dan amarah dengan pemba­yaran balik PTPTN ini.

Wan Saiful sendiri pernah menetap di UK bertahun-tahun lamanya. Sudah tentu beliau lebih arif bagaimana UK mengamalkan sistem bayaran balik pinjaman pelajaran di sana? Satu lagi persoalan, kita ini sebenarnya pinjam wang dengan kerajaan atau kapitalis Yahudi?

Isunya di sini, kita rasa tidak munasabah melihatkan kepada kadar potongan PGB itu. Sepatutnya PTPTN juga perlu melihat aspek komitmen yang ditanggung oleh peminjam. PTPTN ditubuhkan bukan bersifat untuk mengaut keuntungan.

PTPTN bukannya sebuah syarikat kapitalis Yahudi yang cuba mengaut keuntungan tinggi dan segera. Wan Saiful perlu hayati prinsip di sebalik kenapa PTPTN ditubuhkan sebagai sebuah perbadanan dan bukannya sebagai sebuah syarikat perniagaan.

Cubaan Datuk Seri Anwar untuk menjadi hero dalam isu ini wajar kita sambut baik. Dengan pengaruh yang beliau miliki, diharapkan mampu untuk merubah keputusan yang dibuat oleh Wan Saiful dan Menteri Pendidikan.

Semoga kerajaan PH tidak terus menerus membuat pelbagai keputusan caca marba yang kemudiannya menimbulkan resah dan amarah rakyat. Semoga mekanisme PGB ini digantikan dengan mekanisme yang lebih berjiwa rakyat, agar kena de­ngan cogan kata manifesto PH, “membina negara, memenuhi harapan”.

Kita sudah banyak kali putus harapan dengan kegagalan PH me­nunaikan janji-janji manifesto mereka, dan percayalah mekanisme PGB pembayaran balik PTPTN ini bukan apa yang rakyat harapkan.

* Penulis ialah pemerhati senario politik Negaraku dan peminjam PTPTN