RABU lalu, seperti biasa dua minggu sekali saya hadir ke kelas pengucapan awam untuk berlatih berucap. Walaupun pada mulanya agak berat hati untuk hadir disebabkan dua perkara iaitu hujan dan juga perlawanan bola sepak separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki Cup 2018.

Namun saya gagahi juga untuk hadir memandangkan atas niat untuk bersama kawan-kawan berlatih. Ketika sampai, masih kelihatan gerimis halus membasahi laluan sepanjang ke kelas.

Sebelum kelas bermula kami sempat menonton perlawanan bola sepak atas talian. Maklumlah ia adalah perlawanan bola sepak di peringkat antarabangsa, yang boleh dikatakan gah juga di peringkat Asean ini.

Banyak perkara menarik sebenarnya dalam perlawanan ini. Kami disuguhkan dengan perasaan bercampur baur. Sedih, berdebar, gembira dan perasaan yang tidak dapat di gambar dengan tepat menggunakan kata-kata.

Gol pertama dari Thailand yang terkena pemain Malaysia sendiri menyebabkan kami terkejut. Dan ia berlaku sepantas minit ke-21. Ah, kami masih menaruh harapan agar ada peluang untuk Malaysia menya­makan kedudukan.

Berbanding dengan perlawanan pertama, yang kedua ini banyak dikuasai oleh Thailand. Masakan tidak bila bermain di tempat sendiri. Begitu juga Malaysia ketika di tempat sendiri, banyak menguasai bola namun tiada penyudahan yang sempurna.

Dapat dilihat Malaysia mengawal permainan dengan tenang. Tidak terlalu gopoh, hantaran pula tepat kepada rakan pasukan. Kami dapat merasakan peluang gol penya­maan akan hadir tidak lama lagi.

Nah, tepat pada minit ke-28 Malaysia menyamakan kedudukan. Perasaan gembira terpamer lagi di wajah kami, juga dalam kalangan penyokong yang berada di stadium, bahkan di seluruh Malaysia yang menonton perlawanan ini.

Pada masa ini perasaan seronok dan teruja mengalir deras malah dapat dirasakan oleh seluruh rakyat Malaysia. Ia suatu perasaan kenegaraan yang sejati. Kami bersorak di dalam kelas ketika gol penyamaan ini hadir. Ini menguatkan lagi keyakinan saya Malaysia akan layak ke peringkat seterusnya. Lagipun Malaysia perlu seri sahaja.

Ketika berehat di separuh masa kedua, kami menyambung kelas pengucapan awam. Rasa teruja de­ngan keputusan itu membangkitkan semangat kami untuk berlatih. Entah kenapa satu perasaan yang sukar digambarkan ini hadir untuk melupakan perkara sukar yang berlaku sekitar negara ketika ini.

Separuh masa kedua, bermula. Kami menanti dengan penuh debaran. Perjuangan masih belum selesai. Harimau Malaya sedang berjuang sepenuh hati untuk membawa Malaysia ke peringkat seterusnya.

Ah, pada minit ke-64, Thailand pula berjaya mendahului dengan gol kedua. Kami tersentak lagi. Peluh dingin membasahi tubuh walaupun di bilik berhawa dingin. Pantas berdoa agar Malaysia dapat menyamakan kedudukan. Kami berharap gol penyamaan, hadir secepat mungkin.

Nah, pada minit ke-71, kami bersorak keriangan lagi, bergema di sekitar kelas, dan pasti bergema laungan rakyat Malaysia kegembiraan di Stadium Rajamangala. Mungkin juga di Malaysia sendiri, di hadapan televisyen dan di kedai-kedai mamak, pasti gegar bersorak.

Perasaan gembira ini meruntun perasaan bangga saya kepada pasukan negara. Walaupun begitu, pasukan Thailand masih tidak berputus asa. Mereka perlu menang untuk mara. Seri akan buatkan mereka kecewa.

Akhirnya saat yang mendebarkan hadir apabila Thailand diha­diahkan sepakan penalti. Pada minit keempat pada masa kecederaan. Ini bermakna gol ini akan menyebabkan Malaysia akan kecundang dan Thailand akan mara ke peringkat akhir.

Sekali lagi kami resah. Begitu jua sekalian rakyat Malaysia, menunggu dengan gementar. Adakah kegembiraan atau kesedihan akan menyusul?

Adisak Kraisorn yang meru­pakan pemain yang menjaring gol terbanyak untuk Piala AFF Suzuki Cup 2018 dipertanggungjawabkan untuk mengambil sepakan penalti ini. Sepakan yang akan menjulang beliau sebagai hero Thailand.

Keadaan mula sunyi sepi. Hanya terdengar helaan nafas berharap suatu keajaiban akan berlaku. Mata kami terpaku kepada Adisak dan bola. Sesekali melihat penjaga gol Malaysia dengan penuh harapan.

Tepat minit ke-95, sorakan rak­yat Malaysia sekali lagi bergema di segenap pelosok negara. Kegembiraan yang ditunggu telah tiba. Keajaiban yang dipinta telah berlaku. Sesuatu yang agak mustahil pada mulanya namun tiada siapa yang pasti.

Tendangan Adisak melambung melepasi palang, dan Harimau Malaya melangkah dengan membawa semangat rakyat Malaysia ke peringkat akhir untuk perhitungan habis-habisan sebelum dinobatkan juara.

Kami menghela nafas lega. Perasaan gembira tidak terucap de­ngan kata-kata. Hanya terpancar di riak muka. Tiada apa yang pasti dalam kehidupan ini sebelum sampai saat akhir. Dan sebelum yang pasti itu datang usaha hendaklah diteruskan. Sebagai rakyat Malaysia, kegembiraan ini dikongsi bersama di setiap lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Perasaan begini bukan hadir sentiasa. Apabila ia hadir diharapkan dapat dirasai berterusan sehingga akhir hayat kita demi kegemilangan negara. Dan buat Adisak, seperti yang diucapkan oleh bintang bola sepak Thailand Chanatip,

“Bro, ini adalah bola sepak, kadang-kadang kita hero dan kadang-kadang tidak. Tetapi yang yang paling penting adalah untuk sentiasa bangkit setelah rebah walau apa pun yang terjadi.”

Untuk Harimau Malaya, syabas. Untuk rakyat Malaysia, ayuh bangkit bersatu untuk menyokong negara tercinta.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com