“SYIAH! Syiah!” pekik Pak Din. Beberapa orang yang sedang makan tengah hari di kedai Pak Rahim Pantai Bersih memandang kami kehairanan. Pak Rahim yang sedang membuai cucu memanjangkan leher melihat siapa yang memekik itu.

“Apa yang Syiah?’’ tanya saya.

“Itu, ada pula yang kata malaikat buat silap,’’ pekik Pak Din lagi.

“Siapa kata?’’

“Tun.”

“Oh, bukan ke Tun cakap orang putih?’’ tanya saya.

“Tak kiralah cakap orang putih ke, orang Melayu ke, mana boleh kata malaikat buat silap. Mana ada malaikat buat silap,’’ jawab Pak Din tegas.

Lalu saya memberitahu Pak Din, “mengikut fahaman saya itu hanya perumpamaan, atau dipanggil kiasan sahaja dan kalau ikut bahasa orang putih ‘idiom’. Cakap-cakap berkias.”

“Huh, ‘idiom’? Apa benda tu? Tak faham aku,’’ kata Pak Din.

“Ala, perumpamaan, kiasan. Atau mungkin cakap berlapik. Orang Melayu memang pandai cakap berlapik. Boleh juga dikatakan perbandingan. Macam hiperbola, iaitu kiasan yang berlebih-lebihan atau dibesar-besarkan untuk memperoleh kesan-kesan tertentu. Dan kita tidak boleh pakai terjemah secara harfiah sahaja.

“Hiperbola? Apa tu? Kau cakap apa ni?’’ tanya Pak Din membulatkan mata memandang saya.

“La tak kan Pak Din tak tahu. Pak Din Bahasa Malaysia dapat berapa periksa?’’

“Aku tak sekolah tinggi. Tapi bukan aku sahaja cakap salah. Orang yang bijak pandai pun ada cakap salah. Ada tok guru lagi kata, salah dan kena bertaubat. Tak kan depa bodoh kot,’’ Pak Din sekali lagi meninggikan suara.

“Apa yang bising-bising tu? Cucu aku nak tidur ni,” tegur Pak Rahim pula.

Oh, saya memohon Dr Maszlee membuat sesuatu. Membuat perubahan besar dalam menangani kelemahan berfikir secara tersirat. Atau mungkin perlu mewajibkan pelajar menghafal simpulan bahasa, perumpamaan, peribahasa, bahasa dalam seperti menghafal sifir.

Bukan untuk Bahasa Melayu sahaja, tetapi juga untuk Bahasa Inggeris. Atau mungkin boleh juga ditambah dengan kiasan untuk Bahasa Tamil dan juga Mandarin.

Supaya berkurang atau pupus sama sekali orang berfikiran pembaris. Maka tidak adalah yang akan terus bersilat memberi kenyataan secara esktrem menyuruh bertaubat.

Apabila ada orang yang hanya berfikir sehala sahaja atau menafsir akan perkataan itu secara langsung maka terjadilah pendebatan seperti ini. Atau mungkin juga mereka faham, tetapi atas sebab tersirat yang lain, saja buat-buat tidak faham.

Sebenarnya orang Melayu sendiri mempunyai pelbagai kiasan dan juga perumpamaan. Ia merupakan adat budaya untuk menegur dalam keadaan berhikmah dan tidak terlalu keras.

Apabila Tun berkata tentang, “even angel make mistakes,’’ pada pemahaman saya sendiri ia adalah bermaksud, sebaik mana pun manusia, pasti membuat silap. Itu adalah lumrah manusia. Nah, apabila ia diterjemahkan secara terus, maka tercetuslah pendebatan.

Sedangkan maksudnya bukan berkenaan malaikat kejadian Tuhan yang dibicarakan, tetapi hanya perumpamaan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan atau membandingkan sesuatu secara berlebihan. Itu yang tercetus di fikiran saya ketika mendengar ucapan ini.

Perumpamaan orang Melayu sendiri tidak kurang hebatnya berbanding perumpamaan orang Inggeris. Seperti, semasa kecil-kecil dahulu saya pernah mendengar teguran begini, “jangan panjat pokok betik nanti buruk telur.’’ Mungkin 'pembaris' boleh terjemahkan maksud telur.

Manakala bahasa Inggeris juga mempunyai banyak perbandingan. Bercakap tentang ‘angel’, mempunyai pelbagai bentuk kiasan. Contoh kiasan orang-orang Belanda, ‘As if a small angel peed on your tongue’. Jika diterjemah secara pembaris adalah seperti ‘malaikat kencing atas lidah kamu.’ Manakala apa yang dimaksudkan ialah, ‘saya suka makanan ini, sungguh lazat.’

Perbandingan ini adalah sesuatu yang indah dalam bahasa percakapan atau penulisan. Ia boleh jadi sesuatu yang lembut, halus atau kasar jika kita faham akan maksud tersirat itu.

Dan ia juga akan menjadi sesuatu yang kontroversi apabila kita tidak memahami apa yang tersirat, jika membaca apa yang tersurat sahaja. Jadilah pemikiran pembaris mengikut kata orang-orang zaman sekarang.

“Faham tak Pak Din?’’

“Aku tak belajar tinggi. Bahasa Inggeris pun aku tak tahu. Tapi aku tahu maksud angel itu malaikat. Kau cerita banyak pun bukannya aku faham.”

“Tak faham kita belajarlah Pak Din. Jangan mudah terjemah secara terus sahaja. Pak Din tahu maksud, ‘piece of cake’?

“Oh itu aku tahulah. Maksudnya buat kerja, senang sahaja.’’

“Ha yang tu faham pula.’’

Pak Din tersengih-sengih sahaja. Kemudian Pak Din bertanya, “kau ingat tak dulu, aku pernah dengar, Tok Guru Nik Aziz kata, "Siapa yang nak tolong kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima sama ada DAP, MCA atau MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong Pas saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun saya terima."

"Itu perumpamaan juga ya?’’ tanya Pak Din.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, emel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com