KATA Tun Dr Mahathir, rakyat Malaysia terlalu bergantung kepada bantuan berbanding kerja keras. Bermaksud di sini, rakyat Malaysia lebih suka mencari jalan mudah untuk tingkatkan kemajuan diri. Kenyataan ini amat penting untuk dikaji. Ini kerana ia melibatkan sikap rakyat itu sendiri. Jika betul kenyataan Tun, maka seperti yang diberitahu oleh beliau lagi, negara lain akan memintas kita dalam pencapaian ekonomi.

Maka, suka saya memberitahu, sukar untuk diterima kenyataan begitu. Pada pendapat saya, rata-rata rakyat Malaysia sangat rajin bekerja. Dan mereka memang bekerja keras. Suka saya untuk membawa bukti atas kajian saya ini.

Setiap pagi saya menelusuri laluan pejalan kaki untuk ke stesen LRT. Di sepanjang laluan itu, ramai rakyat kita berniaga. Bermacam-macam makanan dan kuih untuk sarapan dan juga untuk dibuat bekal makan tengah hari. Harganya agak berpatutan juga walaupun ada yang seperti tidak patut.

Rakyat yang bekerja keras pertama saya temui ialah Kak Midah yang menyara tiga anak selepas kematian suami. Beliau menjual nasi lemak dan lauk-pauk. Kata rakan serumah saya nasi lemaknya sedap. Namun saya belum pernah membelinya lagi. Memang ramai orang membelinya. Oleh kerana Kak Midah seorang saja yang membungkusnya, maka perkhidmatannya agak lambat.

“Saya dah lama berniaga. Bangun awal setiap pagi. Selesai menjual dalam jam 11 pagi, berkemas dan terus bersiap untuk membeli bahan mentah untuk hari esok pula. Tidur pun sekejap saja sebab perlu bersiap untuk esok hari pula," kata Kak Midah

Berjalan ke hadapan sedikit akan berjumpa pula Ikram penjual sandwic. Ikram akan berdiri tanpa duduk untuk melayani pelanggannya. Beliau membuka meja pada jam 7 pagi dan biasanya jam 10 sudah habis sandwicnya.

Kata Ikram, “selepas jual sandwic ni aku nak buat kerja tambahan. Boleh tambah pendapatan. Aku bercadang nak bawa Grab. Ni aku tengah kumpul duit nak beli kereta. Kau rasa ok tak?"

Saya hanya angguk-angguk.

Seterusnya sampai ke hujung laluan pejalan kaki, akan terlihat pula sepasang suami isteri tua yang masih gagah melayani pelanggannya. Mereka menjual pelbagai makanan juga. Kata Haji Murad, “yalah, duduk goyang kaki di rumah boleh mengundang penyakit. Berniaga ni sedikit sebanyak boleh mengeluarkan peluh. Di samping itu boleh tambah pendapatan. Abang ingat nak pergi umrah nak bawa kakak sekali.”

Kemudian isteri Haji Murad menyampuk, “kau tak nak beli nasi lemak akak ke?” Akak tengok kau lalu saja tak pernah beli pun."

Saya angguk-angguk dan tersenyum lagi.

Kemudian ketika menghampiri stesen LRT, terlihat barisan panjang rakyat marhaen menunggu bas. Wajah-wajah mereka jika ditilik, memaparkan pelbagai emosi. Ada yang bersemangat, ada yang gembira, ada yang serius sahaja, ada yang seperti tidak cukup tidur dan ada juga yang tertidur sambil berdiri ketika beratur.

Tiba di stesen LRT pula, ramai lagi rakyat Malaysia yang menunggu ketibaan LRT. Mereka semua menuju ke satu destinasi, iaitu untuk mencari kecukupan yang diimpikan dapat memberi kebahagiaan.

Pernah sekali ketika saya turun di stesen LRT dikejar oleh seorang wanita berumur pertengahan tahun, memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan. Kata wanita itu sambil mengunjukkan kad perniagaan, “ini kerja sampingan sahaja untuk cukupkan keperluan keluarga. Kerja tetap dah ada. Tapi biasalah kena kerja keras sebab harga barang-barang yang makin mahal sekarang."

Tiba di pejabat, terlihat pula rakan saya Dira yang kelam-kabut mengejar masa. Sebelum ke pejabat perlu menghantar anak ke taska dahulu. “Jalan sesak teruk. Itu yang aku lewat sikit hari ini,” kata Dira yang sentiasa lewat ke pejabat.

Kata Dira lagi, “aku jual sambal bilis pedas. Resipi emak aku. Aku nak bagi semua orang rasa. Nanti kau jadi ejen aku boleh? Kau rasa dulu. Cuma sekarang aku tengah fikir nak letak nama apa sambal aku ni. Kau rasa nama apa yang ok?"

“Sambal aku ni adalah sambal segera. Kau boleh makan bila-bila masa. Contoh kau nak balik kampung, boleh makan dalam kereta. Kau rasa kalau aku bagi nama “Sambal Bilis ‘Highway’ ok tak?" tanya Dira lagi.

Saya tersenyum sahaja.

Itu adalah sebahagian kajian saya di sebuah kawasan yang sesak dengan rakyat Malaysia yang bekerja keras untuk menambah pendapatan sampingan. Saya belum lagi membuat kajian di tempat-tempat lain.

Hasil dapatan dari kajian saya di sini, dapat saya simpulkan yang rakyat Malaysia memang bekerja keras dan bukan bergantung kepada bantuan semata. Mungkin kenyataan yang ditimbulkan oleh Tun ini perlu dibuat kajian rapi lagi oleh ahli-ahli akademik, ahli politik, tok guru, ustaz dan aktivis.

Oleh itu untuk kajian selanjutnya, saya cadangkan tiga persoalan kajian iaitu, betul ke rakyat Malaysia malas bekerja keras? Yang kedua, betulkah rakyat Malaysia mahu bergantung kepada bantuan sahaja? Dan yang ketiga bagaimana untuk tingkatkan gaji minimum yang logik mengikut kesesuaian tahap hidup masa kini?

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com