SEWAKTU saya hadir di Seminar Kesedaran Kesihatan Mental pada tahun lepas, ada seorang peserta bertanya satu soalan yang cukup menarik kepada salah seorang panel penceramah iaitu seorang pakar psikiatri.

Beliau bertanya; “Adakah doktor rasa tertekan dengan pelbagai kerenah pesakit mental yang perlu dihadapi setiap hari?”

Doktor pakar psikiatri menjawab dengan cukup selamba; “Saya secara umumnya tidaklah tertekan sangat kerana saya tahu mereka sakit dan perlukan bantuan, namun apa yang menyebabkan saya lebih tertekan apabila berurusan dengan staf saya yang normal ini.

Pelbagai kerenah yang perlu saya tangani,” ujarnya.

Setiap hari kita akan berhadapan pelbagai kerenah manusia, baik di rumah, pejabat, jalan raya, tempat beli-belah, dalam pengangkutan awam dan pelbagai tempat lagi.

Ada kalanya kita rasa amat marah apabila ada yang merokok di restoran, sedangkan kita ada sakit lelah dan batuk. Malah ada ketikanya kita cukup cuak dengan pengguna jalan raya yang hanya memikirkan dirinya tanpa mempedulikan keselamatan orang lain.

Pendek kata, sukar sungguh apabila kita berhadapan dengan kerenah sebegini.

Apabila ditegur, dimarahi kita balik. Malah ada pula yang memaki kita di khalayak dengan teguran kita tadi. Sebab itulah ramai yang berpendirian buat tak tahu dan biarkan sahaja.

Penyakit pelbagai kerenah yang menyusahkan ini melibatkan semua peringkat manusia, sama ada lelaki atau perempuan, kaya atau miskin dan berpelajaran atau tidak.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud; “Dan demi sesungguhnya kami telah huraikan dengan pelbagai cara dalam al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh bandingan, dan sememangnya manusia itu sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.” (Al-Kahfi 18:54)

Sebetulnya kerenah manusia ini akan bertambah teruk lagi apabila kita memberikan tindak balas terhadap setiap perilakunya.

Apabila disebut perkataan ‘bertindak balas’, teringat saya pada pengalaman pertama mengerjakan umrah 16 tahun lalu.

Saya pernah mengalami konflik perasaan menerusi ibadat tawaf saya. Selesai tawaf, saya tidak merasai perasaan yang cukup mendalam serta kelazatan dengan ibadat tersebut. Saya cuba sekali lagi pada keesokan harinya, namun perasaan yang sama juga muncul.

Akhirnya saya menadah tangan dan berdoa kepada ALLAH agar memberikan petunjuk kepada saya.

Akhirnya doa saya terjawab dengan petunjuk yang diberikan ALLAH menerusi pemerhatian saya terhadap gelagat para jemaah yang sedang bertawaf.

Rupanya ramai yang memberikan tindak balas semasa tawaf menyebabkan perasaan tidak khusyuk mula timbul.

Setelah mendapat petunjuk tersebut, saya tidak menunggu lama dan terus mengerjakan tawaf sunat.

Rupanya cabaran lebih besar menguji saya berbanding sebelum ini. Sepanjang tempoh hendak menyudahkan tujuh keliling tawaf, pelbagai bentuk ujian yang datang daripada para jemaah.

Ada ketikanya saya dimarahi kerana dianggap menolak sedangkan orang lain yang menolak belakang saya.

Namun, saya tetap tidak bertindak balas sebaliknya hanya berdiam diri dan berzikir. Usai tawaf tersebut, saya menangis teresak-esak kerana berjaya menahan emosi supaya tidak bertindak balas dan secara langsung perasaan kelazatan beribadat itu terus menyerap ke dalam lubuk hati saya.

Sebetulnya kerenah manusia yang negatif ini banyak mencabar kesabaran kita. Banyak provokasi dilakukan supaya kita bertindak balas dan marah pada mereka. Apabila kita bertindak balas pelbagai tuduhan baru akan dikenakan pula kepada kita.

Tambahan pula apabila mereka sudah merancang untuk merakamkan tindak balas kita.

Pada saya, situasi sebegini umpama orang ajak kita bermain badminton. Kita bermain untuk niat berpeluh tetapi mereka bermain untuk niat menang dan suka menggasak dengan smash bertubi-tubi. Bagi menangani keadaan ini, kita jangan angkat smash tersebut. Biarkan bulu tangkis menjunam begitu sahaja.

Lama-kelamaan bila mana kita tidak memberikan tindak balas terhadap smash tersebut, sudah tentu mereka akan berhenti bermain dengan kita. Akhirnya kita masih keluar peluh, namun dia pula yang kecewa.

Golongan seperti ini tidak perlu dilayan kerenah mereka. Biarkan mereka ‘terjun dengan labu-labunya’. Biar mereka sahaja memalu gendang. Kita jangan ikut menari dengan alunan gendang mereka.

Biarkan mereka dengan cara tidak berkesudahan cuba untuk mengeruhkan yang jernih. Kita tidak selayaknya untuk memberikan pembalasan kepada mereka. Terserahlah kepada ALLAH untuk menentukan nasib mereka. Apa yang penting kita perlu sentiasa tenang dan jangan bertindak balas.