SECARA prinsipnya kita harus berbudi tanpa syarat. Sebagai manusia biasa, secara realitinya kita akan rasa kecewa jika kita sahaja yang bersungguh-sungguh untuk berbudi, namun mereka yang menerima budi tersebut bukan sahaja payah untuk mengenang budi tetapi tidak sedikit pun mengambil semangat untuk berbudi walaupun hanya secebis kebaikan.

Pucuk pangkalnya adalah kegagalan mendidik diri sendiri untuk menjadi pemberi dan cukup selesa untuk menjadi penerima. Benarlah pendeta Za’ba sebelum ini pernah menulis panjang lebar hal ini dalam bukunya yang bertajuk ‘Perangai bergantung kepada diri sendiri’.

Ahli bijaksana pernah berkata, “Cukuplah kita menanam pokok di halaman orang, jika untuk menyiram pun payah”. Kata-kata tersebut bukanlah menggambarkan bahawa kita perlu kecewa dengan kebaikan dilakukan, tetapi meletakkan batas-batas kebaikan yang perlu kita lakukan bagi mereka yang tidak menghargai kebaikan tersebut.

Jika kita meneliti dengan mendalam, frasa ini amat tepat dengan gambaran masyarakat hari ini yang banyak mengharapkan bantuan dan pertolongan orang lain seratus peratus. Namun gagal untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

Sebagai contoh dalam aktiviti gotong-royong membersihkan sampah-sarap, kebanyakan yang datang memurnikan aktiviti berkenaan adalah daripada agensi-agensi luar dan amat kurang sekali penduduk tempatan terlibat. Apa yang memualkan, sewaktu gotong-royong tersebut masih ada yang sanggup melontar sampah keluar daripada tingkap rumahnya agar dikutip oleh mereka yang menyertai gotong-royong tersebut. Sikap sebegini amatlah memalukan bagi kita namun tidak bagi mereka.

Selain itu, masih terdapat kelompok masyarakat yang tidak menghargai pelbagai kemudahan yang disediakan. Bukan suruh buat pun, minta tolong pakat jaga saja. Itu pun amat sukar dilakukan. Jika kita perhatikan di taman-taman permainan, banyak kemudahan telah dirosakkan. Begitu juga tandas-tandas awam, untuk membersihkan tinggalan najis mereka pun mengharapkan orang lain.

Kalau diikutkan perasaan, rasanya tidak perlu lagi diberikan kemudahan untuk mereka jika balasan yang sedemikian diberikan. Inilah yang dikatakan ‘fasiliti kelas pertama, namun minda kelas ketiga’. Pun begitu, memandangkan masih ramai lagi yang berjiwa besar kemudahan tersebut tetap disediakan untuk masyarakat.

Di samping itu, berbudi kepada seseorang juga penuh dengan cabaran yang berbeza. Kita bukannya meminta balasan dengan setiap budi yang kita lakukan, namun sekurang-kurangnya adalah juga pertimbangan daripada pihak mereka.

Sebagai contoh, kita hadir untuk membantu mereka dalam majlis kenduri. Apa yang menjadi kekhilafan, kita pula dianggap sebagai pekerja mereka dengan memberikan pelbagai arahan. Tambah memilukan, sempat lagi untuk memarahi kawan-kawan yang datang membantu mereka dengan kesilapan kecil yang dilakukan. Akhirnya, urusan yang baik menjadi mudarat pula.

Berkaitan hal ini teringat saya suatu kisah seekor gajah dengan sekumpulan babi. Pada suatu hari ada seekor gajah yang baru keluar membersihkan diri dari sungai telah bertembung dengan sekumpulan babi yang baru keluar berendam dari lumpur. Gajah tersebut mengambil keputusan untuk beralih ke seberang jalan dan memberikan laluan kepada sekumpulan babi berkenaan.

Melihat keadaan tersebut, ketua kumpulan babi tersebut pun berkata, “Cuba kau tengok betapa hebatnya kita, gajah pun takut untuk bertembung dengan kita”. Cerita tersebut telah tersebar dalam kalangan binatang yang lain. Maka gajah tadi telah pun ditanya oleh rakannya, “Mengapa kamu takut sangat kepada sekumpulan babi tersebut?. Kita kan lebih besar dan kuat daripada mereka”.

Gajah tersebut hanya tersenyum dan memberikan jawapan balas. “Ya, memang aku lebih besar dan kuat daripada mereka. Aku bukan takut tapi mengelak. Tahukah kamu bahawa mereka baru sahaja keluar berendam dari lumpur dan amat kotor sekali. Jika aku pijak mereka, tentunya kekotoran tersebut tetap melekat kepada kaki dan badan aku. Maka lebih baik aku mengelak daripada terpalit dengan kekotoran mereka."

Sebetulnya, cerita tersebut banyak memberikan pengajaran kepada kita semua. Perkara yang paling utama, kita harus mengelak untuk berkawan dengan mereka yang ‘pengotor’ jiwa, minda dan sikap. Bagi mereka yang bersikap ‘pengotor’ ini, hanya diri mereka sahaja yang betul dan begitu angkuh dengan apa yang dilakukannya walaupun terbukti salah.

Kita tidak perlu terpalit dengan mereka. Walaupun kita lebih berkuasa dan hebat daripada mereka, kita tidak perlu bertindak balas atas kegelojohan mereka. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Kita tidak perlu rasa amat kecewa dengan sikap segelintir mereka walaupun kadangkala mencabar kesabaran kita.

Biasanya golongan ini amat sukar ditegur. Berdoalah kebaikan untuk mereka walaupun perit. Ini kerana ganjaran yang kita nikmati nanti tidak terurai dengan kata-kata. Teruslah berbudi namun perlu ada batasnya.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Unimap