TANGGAL 8 Disember 2018 kini menjadi satu tarikh bersejarah bagi Malaysia dan rakyatnya. Ia adalah bukti kebangkitan orang Melayu yang menolak sebarang usaha untuk menjejaskan Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Dokumen undang-undang tertinggi di dalam negara ini juga adalah acuan yang dibentuk oleh bapa-bapa pengasas kita yang mengimpikan sebuah negara berbilang bangsa yang aman, makmur dan maju.

#DaulatHimpunan812 yang dianjurkan pada Sabtu lepas di Dataran Merdeka merupakan titik tolak bahawa orang Melayu di negara ini boleh mengetepikan segala perbezaan dan menjalinkan kerjasama sepakat.

Kita boleh melihat bukti di mana perbezaan ideologi politik dan parti bukan halangan untuk ahli-ahli parti Umno dan Pas bersatu menentang mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kepentingan dan hak orang Melayu serta Bumiputera.

Jumlah peserta yang melebihi 300,000 itu jelas menjadikan demonstrasi-demonstrasi yang diadakan sebelum ini, atas apa jua sebab, tampak kerdil dan seharusnya menjadi mesej yang jelas kepada kerajaan bahawa rakyat sudah mula muak dan jelik.

Mesejnya jelas iaitu rakyat khususnya orang Melayu dan Anak Negeri Sabah dan Sarawak kini kian bimbang dengan pelbagai tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang semakin hari kian menghakis kedudukan Islam serta Kedudukan Istimewa orang Melayu dan Bumiputera seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sejak PH merampas Putrajaya, rakyat menyaksikan dasar dan polisi yang gelojoh seperti keinginan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), janji pilihan raya yang tidak ditepati, pengurangan bantuan kepada penduduk luar bandar yang majoritinya Melayu seperti penoreh getah, pekebun kecil dan nelayan serta penutupan agensi pembangunan masyarakat miskin seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Syabas dan tahniah diucapkan kepada rakan NGO-NGO Melayu dan parti-parti politik yang bertungkus-lumus untuk meletakkan himpunan ini sebagai model kepada himpunan-himpunan rakyat akan datang.

Berpaksikan semangat ukhuwah dan kekitaan, ramai boleh melihat dengan jelas bagaimana orang Melayu dan Islam boleh hidup secara rukun dan aman; berdisiplin serta penuh ketertiban.

Tiada kelihatan provokasi perkauman, kebencian agama mahupun perlakuan anarki seperti yang pernah disaksikan dalam siri-siri demonstrasi pembangkang pada era Reformasi dan Bersih.

Kita tidak melihat kemusnahan harta benda mahupun pertumpahan darah malah ia penuh dengan suasana mesra umpama menyambut pesta kesyukuran rakyat. Tidak kurang juga semua pihak turut bersama menjaga kebersihan dan melakukan pembersihan secara sukarela.

Selain itu, lautan manusia putih memenuhi Dataran Merdeka ketika itu juga, seolah-olah menzahirkan harapan agar kedua-dua parti terbesar umat Islam di Malaysia iaitu Umno dan Pas kembali bersatu untuk membentuk gabungan politik yang mantap seperti pembentukan bersejarah Barisan Nasional (BN) pada 10 Julai 1974.

Namun begitu, kerjasama ini tidak seharusnya dikhuatirkan oleh rakan-rakan parti komponen BN kerana hakikatnya ia mampu mengukuhkan lagi kedudukan blok pembangkang bagi menghadapi Pakatan Harapan menjelang pilihan raya umum akan datang seperti yang pernah berlaku pada tahun 1974.

Justeru, satu jawatankuasa khas bersama antara Umno dan Pas harus dibentuk bagi menzahirkan manifestasi rakyat menerusi #DaulatHimpunan812 ini dan memperhalusi segala agenda melibatkan kepentingan survival politik Islam dan Melayu.

Jawatankuasa ini juga boleh berperanan menangani apa juga isu berbangkit dalam mencari kesefahaman dan membina kerjasama konkrit bagi membentuk gabungan politik ampuh mewakili suara Islam dan Melayu.

Tuntas #DaulatHimpunan812 adalah permulaan kebangkitan rakyat khususnya Umat Melayu-Islam serta Bumiputera yang harus dibanggakan oleh semua untuk melawan kebobrokan pemerintah, menjamin keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan keharmonian rakyat berbilang agama dan bangsa yang kita nikmati sejak merdeka. Ingatlah, pepatah Melayu “Jangan dijolok sarang tebuan, kelak merana tubuh badan”.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia