PERKEMBANGAN terkini politik negara beberapa minggu ni menyaksikan ramai ahli Parlimen dari Umno keluar parti untuk menjadi ahli Parlimen bebas.

perkembangan ini suatu yang mengejutkan kerana selepas berakhirnya PRU14, Umno mempunyai jumlah ahli Parlimen teramai di Dewan Rakyat, bahkan melebihi jumlah ahli Parlimen yang dimiliki oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan jika tidak digabungkan dalam satu parti yang besar.

Namun, persaingan dan pertembungan klasik dua tokoh gergasi politik negara menyebabkan ahli Parlimen Umno menjadi pilihan dan tumpuan mereka untuk menguatkan kedudukan dan kesinambungan politik masing-masing. 

Biarpun belum kelihatan jelas, namun riak-riak yang berlaku menunjukkan satu bom jangka hanya menunggu masa untuk meletup.

Dalam sistem politik Malaysia, seseorang ahli Parlimen yang memenangi kawasannya melalui proses pilihan raya tidak dihalang oleh peraturan dan perlembagaan untuk keluar dari parti yang diwakilinya dan bebas untuk menyertai mana-mana parti yang sukainya. Inilah fenomena yang berlaku di Malaysia sekarang.

Bagi Umno, fenomena dan perkembangan ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas dan positif. Mereka yang keluar dari parti adalah kalangan tiada lagi keyakinan kepada Umno atas pelbagai alasan yang utuh mahupun yang rapuh.

Yang jelas semua ini berlaku kerana faktor Umno tidak lagi berkuasa sebagai kerajaan. Saya yakin dan percaya seandainya Umno masih berkuasa, keadaan seperti tidak akan berlaku.

Mereka yang keluar boleh dikatakan tiada ketahanan dan kekuatan untuk melakukan pengislahan parti dari dalam. Umno baru kehilangan kuasa tidak sampai setahun, tetapi para juragan dan nakhodanya sudah bertelingkah sesama sendiri umpama tidak tahu arah mana bahtera ini mahu dituju.

Nakhodanya seolah-olah hilang pedoman, namun para juragannya tidak boleh drastik terjun meninggalkan bahtera hanya kerana tidak gemar dengan nakhodanya yang seolah-olah hilang pertimbangan.

Paling mengesankan ialah ramai anak kapal iaitu anggota Umno di cawangan dan bahagian masih setia kepada bahtera Umno. Para pemimpin Umno yang keluar parti tidak boleh dipaksa untuk terus kekal dalam Umno. Mereka punyai pilihan dan bebas untuk melakukannya tanpa sebarang sekatan.

Namun di sebalik segala yang berlaku, Pergerakan Pemuda Umno akan terus kekal setia kepada bahtera perjuangan Umno. Apa pun yang berlaku, parti ini perlu bangkit. Segala yang berlaku ini adalah permulaan kepada proses peremajaan Umno.

Pergerakan Pemuda bersedia untuk mengambil alih lapisan kepemimpinan parti yang ditinggalkan oleh mereka yang telah pergi. Saya yakin dengan perkembangan ini parti akan melalui proses peremajaan iaitu pengkaderan dan penyertaan golongan muda yang lebih segar dengan lebih cepat.

Dengan itu proses pengislahan untuk membaik pulih budaya dan pemikiran politik dalam Umno akan lebih mudah. Saya juga pasti anggota Umno pada setiap peringkat di cawangan dan bahagian serta golongan veteran parti akan terus setia dengan perjuangan ini. Rakyat telah menghukum Umno pada PRU14 yang lalu.

Sekarang rakyat mahu melihat Umno bangkit sebagai pembangkang yang bermaruah dan kuat.

Umno terlalu berjasa untuk rakyat dan negara ini. Memandang ke hadapan, sememangnya kita tidak boleh hidup dengan nostalgia masa lalu, tetapi kita harus sedar dan insaf bahawa bahtera ini perlukan pembaikan dan pengislahan segera supaya dapat terus berjuang mempertahankan asas-asas perlembagaan yang ada dan kembali menjadi teras politik negara.

Insya-Allah, Pergerakan Pemuda akan terus kekal bersama parti keramat ini.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia