KISAH keenakan pada sesuatu atau campuran benar tidak benar dipanggil ‘legenda’. Maka banyaklah legenda yang timbul dalam kehidupan kita.

Terdapat satu tragedi polis dipanggil Legenda Dato’ di kampung saya, Beserah, sebuah kampung yang pernah saya sebut di sini sebagai terkenal dalam sejarah kolonial British dan sejarah akademik Universiti Malaya di Singapura.

Akibat tugasannya pada zaman Jepun dalam Perang Dunia II, Dato’ telah dibunuh di pangkal pokok besar di sudut sebuah pusara oleh geng Bintang Tiga sebaik Jepun menyerah kalah.

Maka bolehlah disimpulkan bahawa geng Bintang Tiga amat marah kepadanya kerana berpihak kepada Jepun yang ganas kepada orang Cina.

Beliau dipanggil Dato’ sebagai seorang mata-mata (kini, polis) oleh orang kampung. Panggilan itu ialah tanda hormat masyarakat kepadanya. Anaknya yang bernama Awang dipanggil Awang Dato’.

Beliau kekal dengan nama itu sehingga beliau meninggal dunia. Kebanyakan anak Awang Dato’ ialah rakan persekolahan saya. Pastinya masing-masing sudah beranak cucu.

Sejak British kembali berkuasa, ketua rumah pasung (kini balai polis) adalah terdiri daripada sarjan atau korporal yang dipanggil Dato’. Tidak pernah pula dalam kalangan mereka yang terdiri daripada anak kampung sejati di situ meskipun beberapa anak muda yang ada sijil darjah enam pernah menyertai pasukan polis.

Daripada Legenda Dato’ itu, saya memilih untuk memperkatakan tentang Datuk Amar Singh, seorang Pesuruhjaya Polis selaku Pengarah CID atau Jabatan Siasatan Jenayah.

Beliau menjadi terkenal sejak enam bulan dulu kerana tindakannya mengangkut wang, tas tangan mahal dan intan berlian bernilai ratusan juta ringgit dari kediaman mewah di tengah ibu kota Kuala Lumpur yang dikatakan dimiliki bekas PM DS Najib Razak dan isterinya DS Rosmah Mansor.

Kehadiran Amar amat meyakinkan. Pengucapannya jelas dan profesional, apalagi dengan bangun badannya yang tegap.

Yang paling penting ialah kebolehan komunikasinya kepada rakyat luas apabila bercakap di TV dan Radio.

Sejak dulu saya dapati lidah orang Sikh amat dekat dengan lidah Melayu. Pelat mereka amat kurang. Jika ‘hadham’ susah disebut (ada yang menyebut ‘hatam’ atau ‘hadam’ dan ada pula tersalah ‘hantam’) tetapi lidah orang Sikh sering menyebutnya tepat, ’hadham’. Begitu juga ‘nya’; kebanyakan bukan Melayu menyebut ‘niye.

Justeru persaraan Amar Singh mengingatkan saya butir-butir kenit seperti itu. Untuk seorang Sikh, kenaikan pangkat setinggi itu adalah luar biasa.

Saya pernah menjadi inspektor polis dalam usia 19 tahun. Seangkatan dengan saya terdapat juga seorang Sikh, Nashatar Singh.

Beliau pernah menjadi Juara Sukan Asia Bangkok 1966 untuk lancar lembing. Entah macam mana beliau tidak mendaki pangkat setinggi Amar Singh.

Seangkatan juga ialah Tan Sri Zaman Khan dan Datuk Ismail Che Rose yang meningkat paling tinggi. Kemuncak Zaman ialah sebagai pesuruhjaya polis menjawat Ketua Keselamatan dan Ketenteraman Awam, sedangkan Ismail, juga pesuruhjaya polis, menjadi Ketua Polis Ibu Kota Kuala lumpur.

Sejak beberapa tahun lepas, perihal polis menjadi tajuk berita dan buah mulut masyarakat yang tidak semestinya positif. Ada yang dikatakan terlalu berpihak kepada ahli-ahli politik tertentu.

Ada yang menghadapi kes jenayah, termasuk rasuah. Ada yang dikatakan akan menghadapi kes mahkamah yang boleh menjejaskan diri dan nama baik polis... Wallahuaklam.

Keperihalan peribadi saya dengan polis adalah berwarna-warni, tetapi tidak pernah serius - sehinggalah akhir-akhir ini. Dengan pistol berlesen yang ada pada diri saya sejak menjadi ahli Kabinet kira-kira 30 tahun dulu, saya menghadapi kes polis sebab dilaporkan memegang pistol setelah pengejar saya mengancam saya.

Dia dengan kereta mewahnya menghalang kereta saya dua tiga kali. Saya dikejari, melampaui tiga lampu trafik sejauh lebih tiga kilometer. Sebab yang diberikan: saya menggesel keretanya.

Kesan pada kereta saya ialah calar-calar kecil di ‘mudguard’ belakang sebelah kanan, tidak kemik. Soalnya: kenapa polis bertindak seolah-olah saya menembak dia.

Pistol ialah untuk menjaga keselamatan diri dan harta benda saya. Dengan usia amat kanan, saya sudah tentu amat takut apabila dikejar oleh orang semuda anak saya dengan begitu agresif, apalagi beliau berkereta mewah berkuasa tinggi pula.

Dengan terus bertindak menurut siapa yang membuat laporan lebih dulu rasanya bukan satu tindakan yang kuat asasnya. Ramai orang seperti saya yang bersikap buat tidak tahu saja apabila kena gesel sikit-sikit; tegasnya tidak mahu menyusah hingga sanggup membuat laporan polis.

Lazimnya laporan begini adalah cerewet dan memakan banyak masa yang sepatutnya boleh digunakan untuk keperluan diri dan keluarga yang lebih penting.

Justeru keprihatinan dan kedalaman pertimbangan polis – bukan hanya persis menjalankan tugas - pastinya amat dihayati semua.

*Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet