TAJUK ruangan ini berdenting dengan seruan JANGAN LARI! Ini dengan sendirinya mengingatkan kita kepada Yang di-Pertuan Agong ketika membuka Parlimen tidak berapa lama dulu.

Suara Baginda bertegas dengan dua patah perkataan itu sebelum bertitah kepada MP dan Senator, sebagai rujukan kepada insiden MP keluar Dewan atas perkara pelantikan Speaker sebelumnya.

Sempena seruan dari lambang tertinggi negara itu, JANGAN LARI di sini merujuk kepada sesiapa saja yang menidakkan dirinya terlibat dalam sesuatu tindakan, dan penidakan itu menjadi sesuatu yang entah berentah: mungkin benar mungkin palsu, tanpa langkah mutlak. Justeru ia tidak adil bagi pihak yang berkenaan.

Kini kita hidup dalam dunia media sosial, satu gejala yang berkembang rancak sejak awal abad ke-21 ini. Ia meletakkan maklumat maha luas di tangan kita dalam bentuk telefon bimbit yang berada dalam tangan majoriti penduduk. Tekan saja butang, cerita lama cerita baharu dan 360 darjah perihal bumi serta makhluk mampu kita mengetahui.

Bagi sesetengah pihak, maklumat begitu tidak disukai dan perlu dielakkan. Ini kerana mahu mengelakkan ‘luka lama berdarah kembali’. Pihak yang tidak pernah tahu kelukaan pernah berlaku mahu tahu apa yang sebenarnya pernah berlaku.

Salah satu media yang popular ialah Youtube. Akhir-akhir ini apabila saya mahu mencari maklumat relevan, tup mendadak keluar video yang pernah saya lihat lama dulu yang sudah saya lupa. Video yang ‘kononnya’ Anwar Ibrahim yang kini dianggap sebagai bakal perdana menteri kita itu hidup-hidup tertayang di skrin mini telefon bimbit saya, samalah agaknya seperti yang dilihat oleh orang lain.

Cetusan pertama ialah, musuh Anwar yang melakukannya. Ini bukan luar biasa kerana politik ialah gelanggang perseteruan untuk merebut kuasa: yang tinggi di peringkat tinggi, yang rendah di peringkat rendah. Masih segar dalam ingatan bagaimana Tan Sri Rahim Tambi Chik dan Datuk Shuib Lazim dikaitkan dengan pendedahan video itu dan mereka dikenakan denda sebelum kes itu berlalu begitu saja.

Di satu pihak, mereka berkata bahawa video itu benar. Di pihak lain, Anwar dan penyokong-penyokongnya berkeras, itu palsu. Salah seorang mengatakan itu hanya teknik kamera yang hanya boleh menunjukkan ‘glimpse’ atau bayang-bayangan Anwar. Ada juga mengatakan perut Anwar sebenar tidak segemuk yang di dalam video itu. Suara yang kedengaran pun bukan suara Anwar.

Namun yang paling intriging ialah tiada inisiatif mutlak daripada mana-mana pihak untuk membersihkan Anwar dalam perkara itu. Demi waktu dan kebenaran, teknologi pengenalan diri selain daripada cap jari ialah ciri-ciri gambar dan suara. Jika dulu hanya filem ‘celluloid’ yang boleh ditayangkan untuk memuatkan imej dan suara, seperti filem lama P. Ramlee dan Marlon Brando, kini ia berbentuk ‘digital’ atau himpunan titik-titik halus; lagi padat lagi jelas dan lagi tajam.

Bukan itu saja, imej kita dalam digital itu boleh diterjemahkan kepada garis-garis halus seperti garis-garis pada cap jari yang dipanggil ciri-ciri diri. Ini bererti jika kita hendak tahu wajah sebenar dalam sesuatu video ia hanya perlu dibandingkan dengan ciri-ciri wajah itu di imej-imej wajah berkenaan dalam situasi lain.

Ciri-ciri imej ketika mencuri buah mangga di pasar dibandingkan dengan ciri-ciri ketika hadir majlis kahwin dan ketika berucap di hadapan khalayak ramai akan menghasilkan pengenalan diri. Teknologi ini sudah lama ada.

Berkenaan suara pula, dunia mengetahui bahawa menjelang Perang 6 Hari antara Mesir dan Israel pada tahun 1967, Israel mengutip suara Presiden Nasser yang hendak menyerang Israel secara mengejut. Itulah sebabnya Israel memintas menyerang dulu. Apabila Mesir menafikannya, Israel mempamerkan teknologi cap suara: garis-garis halus berciri-ciri yang mutlak suara Nasser.

Soal keadilan kepada Anwar berlegar pada hakikat benar tetap benar. Kekononan video lucah tentang Anwar itu, demi prospek beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia dalam masa terdekat, boleh disahkan sebaik-baiknya dengan menggunakan teknologi pengenalan gambar dan suara yang sudah lama tercipta itu.

Perihal beliau dipenjarakan begitu lama dan pengampunan YDP Agong sudah diketahui oleh semua. Ulangannya tidak diperlui lagi.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet