PEMIKIR strategi terkemuka China Sun Tzu pernah memberi petua dalam ‘Thirty-six Stratagems’ beliau iaitu dalam peperangan, sesebuah pihak yang ingin mencapai kejayaan mesti mengambil kesempatan ‘merompak rumah yang sedang terbakar’.

Dalam erti kata yang lebih mudah, ambil kesempatan pada saat pihak lawan sedang berada dalam keadaan yang lemah, tidak teratur, atau berpecah-belah. Petua Sun Tzu ini menjadi panduan dalam kebanyakan strategi perniagaan orang Cina – dan semestinya ia turut secara tidak langsung menjadi panduan dalam hidup bernegara dan berdiplomasi.

Perkembangan terkini men­yaksikan Singapura bertindak me­lampaui batas apabila melakukan provokasi ke atas kapal milik Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia dan Jabatan Laut negara di perairan yang jelas sekali milik kita. Fakta jelas menunjukkan bahawa keberadaan kapal-kapal milik Malaysia di perairan berkenaan adalah sah.

Pada 25 Oktober lalu, had Pelabuhan Johor Bahru telah dilanjutkan dan Singapura tidak berhak sama sekali untuk menuduh bahawa kapal Malaysia melakukan 14 pencerobohan di perairan berkenaan.

Sebaliknya, kesemua peristiwa ini adalah berpunca daripada sikap Singapura yang selama ini rakus menjalankan aktiviti tebus guna tanah hingga hampir melepasi had luar sempadan laut Singapura. Maka, apabila Malaysia ber­tindak menegaskan sempadan milik negara, Singapura pula yang ‘berdrama’ seolah-olah Malaysia men­cerobohi sempadan ‘imaginasi’ mereka.

Keberadaan kapal Malaysia – khususnya MV Polaris – di perairan berkenaan sememangnya adalah untuk meletakkan buoy bagi me­nandakan sempadan milik negara. Sebaliknya, Singapura bertindak melampau dengan mengisytiharkan Singapore Armed Forces Open Mobilisation – isyarat kerahan tentera daripada segenap angkatan tentera mereka termasuklah rakyat mereka yang menjalani Khidmat Negara Singapura.

Tidak cukup dengan men­gepung kapal Malaysia dan kerahan anggota tentera SAF, para Menteri Singapura juga begitu bersatu-padu dan agresif sekali dalam mengasak kita. Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berikrar akan mengambil ‘tindakan keras’ ke atas Malaysia.

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Chan Chun Sing memberi amaran ‘jangan pandang rendah’ dengan krisis ini. Malah Menteri Kewangan yang juga bakal Perdana Menteri Singapura Heng Swee Keat mengumumkan bahawa Singapura ‘tidak teragak-agak’ untuk bertindak tegas ke atas ‘pencerobohan Malaysia’.

Singapura turut bertindak me­malukan Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah apabila menolak keras cadangan beliau agar kedua-dua negara mengendurkan situasi dengan tidak menghantar aset di kawasan ber­kenaan. Kesemua peristiwa ini adalah rentetan daripada tindakan Malaysia melaksanakan pengambilan balik ruang udara di selatan Johor secara berperingkat mulai penghujung 2019 dan 2023.

Apa yang menarik ialah kenya-taan YB Anthony Loke tentang hal ini dibuat ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH PKR-Pasir Gudang) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, mengenai pem­bangunan di Pasir Gudang yang dijangka tergugat susulan hasrat Singapura meran-cakkan operasi pener­bangan komersial di Lapangan Terbang Seletar yang terletak hanya dua kilometer dari sempadan negara.

Tidak sampai beberapa jam sahaja selepas Menteri Pen­gangkutan Malaysia mengeluarkan kenyataan membantah rancangan Singapura untuk menggunakan ruang udara Johor Bahru bagi operasi Lapangan Terbang Seletar ini pada 4 Disember lalu, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan terus menyeru agar langkah ‘menang-menang’ dirunding­kan dengan baik.

Lalu mengapa Singapura berubah 180 darjah apabila secara tiba-tiba mereka menuduh Malaysia menceroboh kawasan perairan mereka sedangkan pelanjutan had Pelabuhan Johor Bahru telah diputuskan oleh kerajaan Malaysia sejak 25 Oktober lalu?

Jawapannya mungkin kerana Singapura cuba mem­praktikkan ‘stratagem Sun Tzu’ di atas iaitu cuba ‘merompak rumah yang sedang terbakar’. Tentulah ketika majoriti rakyat Malaysia jelas menentang cadangan pihak tertentu yang terpana dengan ideal ICERD, kerajaan Pakatan Harapan boleh dikatakan ibarat ‘rumah yang terbakar’.

Himpunan Aman Membantah ICERD pada 8 Disember lalu jelas merupakan antara himpunan yang terbesar dalam sejarah politik tanah air. Maka tidak mustahil negara pulau berkenaan cuba untuk menangguk di air keruh. Kita perlu memberi isyarat yang jelas kepada mereka: hentikan segera lagak ibarat Zionis 2.0 di Asia Tenggara ini.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)