KALAU mengikut logik akal, hidup saya akan menjadi lebih selesa dalam masa dua minggu lagi. Sebaliknya, hidup rakan saya akan lebih menderita, terseksa. Sebab: rakan saya seorang perokok tegar; sedangkan saya bukan perokok!

Seperti yang diumumkan, mulai 1 Januari 2019 semua premis makanan – restoran besar dan warung di kaki lima – akan menjadi kawasan larangan merokok.

Sudah pasti rakan saya akan men­dapati ruang untuk dia men­ye-dut dan hembus asap tembakau menjadi lebih terhad. Dia tidak boleh lagi berlagak samseng hembus asap yang hangit itu ketika orang lain menikmati hidangan. Sekarang baru padan muka dia.

Bukan untuk kepentingan peri­badi, langkah kerajaan me­lebarkan lagi kawasan larangan merokok ialah demi kesejahteraan awam. Selama ini mereka yang bukan pe­rokok sentiasa menjadi mangsa pencandu tembakau. Walaupun ada kenyataan ‘Dilarang Merokok’ pen­candu tidak ­hirau amaran tersebut.

Tahun baharu nanti perokok tidak boleh mengganggu keten-teraman umum di tempat makan. Secara lojiknya semua akan lebih tenteram. Tetapi percayalah – dan saya yakin – dalam hal rokok, yang lojik boleh menjadi tidak lojik.

Saya mungkin tidak lagi digang-gu asap ketika menghirup teh tarik atau mengunyah roti canai di restoran. Tetapi itu tidak bererti perokok akan bertaubat dan mem­buang semua produk tembakau ke dalam loji najis.

Hakikatnya ialah rokok seperti ‘pantang’ atau ‘tabo’ – semakin cuba disekat, semakin orang terpikat. Sebab itu dulu, kini dan selamanya, kita tidak pernah berjaya memujuk orang berhenti merokok.

Apa sahaja yang kita tidak buat dalam kempen antirokok? Sudah lama kotak rokok kita ada ‘Amaran dari Kerajaan Malaysia: Merokok Membahayakan Kesihatan!’

Kotak rokok kita juga ada gambar menunjukkan jantung dan paru-paru hitam legam kerana nikotin. Dari semasa ke semasa rokok diisytiharkan sebagai pen­yebab utama penyakit kronik. Dan dikhabarkan bahawa kerajaan dijangka menanggung kos rawatan penyakit utama akibat merokok seperti kanser paru-paru dan masalah jantung berjumlah RM7.4 bilion menjelang 2025.

Dalam pada itu harga rokok naik dari semasa ke semasa. Kawasan larangan merokok terus diperluas. Di kebanyakan pejabat rokok diharamkan.

Pendek kata dengan segala kem­pen, kenaikan harga, dan sekatan, kalau mengikut lojik orang tidak lagi merokok, kilang rokok tutup, dan kita bebas dari asap rokok sepanjang 24 jam, di mana juga.

Tetapi seperti yang dikata, rokok tidak pakai lojik. Betapa hendak disekat, perokok terus meningkat, syarikat rokok untung seperti biasa.

Dan seperti yang dilaporkan rokok haram terus diseludup dengan nilai cukai berjumlah RM berbilion. Sukar untuk dibezakan yang mana asap haram yang mana asap halal. Apa yang pasti udara kita semakin tercemar.

Seperti dilaporkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 menunjukkan 22.8 peratus yang bersamaan lima juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok, dengan majoritinya adalah lelaki iaitu 43 peratus.

Bayangkan lima juta rakyat kita adalah perokok, berapa banyak duit yang dibakar, berapa banyak jantung dan paru-paru yang menjadi hitam legam, berapa ramai akan mati kerana penyakit berpunca rokok?

Tetapi siapa peduli? Nampaknya perokok tidak takut, dan tidak pernah terasa rugi membakar duit setiap hari.

Lagi pula Malaysia bukanlah bersendirian dalam isu rokok kerana ia turut menjadi polemik di seluruh dunia khususnya di rantau Asia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan jumlah perokok di seluruh dunia melebihi 1 bilion menjelang 2025, dan Asia memiliki angka perokok tertinggi dengan Indonesia sahaja memiliki 50 juta perokok.

Seperti dilaporkan, China paling terbesar jumlah perokok dan peng-guna tembakau iaitu kira-kira 307 juta, diikuti India 106 juta dan Filipina, 16 juta.

Pendek kata sekat macam mana pun, dimomokkan macam mana pun, orang tetap merokok. Pada hemat saya jika harga rokok dinaik-kan setiap bulan pun orang tidak akan berhenti merokok.

Sebaliknya, lagi tinggi harga rokok, lagi banyak rokok diseludup, lagi RM berbilion kita rugi dari segi cukai. Telah terbukti kita gagal menyekat kemasukan rokok haram.

Rokok boleh disekat, tetapi lebih baik lagi sekiranya kita dapat me­mikirkan bagaimana me­wujudkan rokok gantian yang lebih sihat yang tidak mengotorkan alam. Ada sesiapa hendak berkongsi idea?