SEMALAM pada 8 Disember 2018 adalah suatu hari yang bersejarah di Malaysia. Beratus ribu rakyat berhimpun dan berdemonstrasi di jalanan di tengah-tengah Kuala Lumpur sekitar Dataran Merdeka.

Perhimpunan ini adalah sepatutnya satu demonstrasi untuk membantah cadangan ratifikasi ICERD oleh kerajaan. Namun pada minggu lepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir telahpun menarik balik keputusan untuk meratifikasi ICERD. Oleh itu, mengapakah beratus ribu rakyat masih turun ke jalanan untuk berdemonstrasi?

Terdapat sekurang-kurangnya tiga sebab utama:

Pertama, setelah pemimpin-pemimpin kerajaan membuat pelbagai u-turn dalam keputusan-keputusan mereka dalam tempoh 7 bulan kebelakangan ini dan mungkir janji dalam menunaikan manifesto pilihan raya mereka, kebanyakan rakyat Malaysia menunjukkan bahawa mereka tidak percaya yang kerajaan dan Perdana Menteri akan mengekalkan keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD. Kerajaan mungkin akan u-turn lagi jika demonstrasi dibatalkan.

Melalui ucapan-ucapan di himpunan semalam dan reaksi di media sosial, penyokong-penyokong anti-ICERD yang merupakan sebahagian besar daripada rakyat Malaysia, berasa bahawa ICERD akan menyisihkan mereka dan bukan sebaliknya. Dalam hal ini mereka sebenarnya tidak salah untuk beranggapan sedemikian. Paradoksnya, sekiranya kerajaan meratifikasi ICERD di Malaysia, ia akan menerukkan lagi masalah diskriminasi di Malaysia dan bukannya sebaliknya (baca buku berkenaan ICERD di Malaysia di sini: ICERD dan mengapa semua kaum di Malaysia perlu menolaknya.

 ICERD ini adalah seperti Malayan Union 2.0 kata mereka.

Kedua, himpunan besar ini adalah suatu signal penolakan daripada rakyat kepada kerajaan PH yang memerintah kerana tidak menunaikan janji-janji pilihan raya mereka. Kebanyakan daripada agenda utama PH dalam manifesto pilihan raya mereka tidak ditunaikan malah mereka membuat u-turn 180 darjah pula berkenaannya selepas mereka menang pilihan raya pada bulan Mei yang lepas.

Mereka (PH) berjanji untuk membatalkan hutang PTPTN yang telah mendorong sebahagian besar daripada orang muda untuk mengundi mereka dalam pilihan raya yang lepas, namun mereka membatalkan janji ini dan sebaliknya mengesyorkan supaya memotong gaji secara paksa untuk membayar hutang PTPTN.

Dan mereka telah berjanji untuk menurunkan harga minyak ke RM1.50 seliter, namun kini senyap berkenaan hal ini.

Dan mereka berjanji untuk menghapuskan cukai kepenggunaan GST 6%, namun mengenakan cukai kepenggunaan SST 10% selepas pilihanraya.

Rakyat marah. Mereka bukan bodoh. Mereka terasa tertipu.

Ketiga, himpunan besar-besaran ini juga adalah satu signal yang jelas kepada kerajaan PH yang memerintah bahawa orang-orang Melayu sedang marah dan mereka berasa dasar-dasar dan keputusan-keputusan kerajaan kini menyisihkan mereka serta membuat kehidupan mereka menjadi lebih teruk.

Dalam Bajet 2019 yang baru dibentangkan, kerajaan menguar-uarkan bahawa ianya adalah bajet terbesar dalam sejarah iaitu RM315 billion dengan peningkatan sebanyak RM30 billion daripada Bajet 2018 yang lepas. Namun, banyak peruntukkan dan bantuan kepada kumpulan bawah 40% dan orang-orang miskin dipotong atau dibatalkan. Kebanyakan daripada rakyat yang terkesan dan berada dalam kumpulan ini adalah orang-orang Melayu.

Ketiga-tiga sebab di atas menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin dan pembuat dasar kerajaan PH adalah sama ada tidak cekap atau naive dalam membuat dasar termasuk berkenaan hubungan kaum di Malaysia. Selepas menyedari kesilapan mereka, mereka senantiasa membuat pelbagai u-turn yang memalukan. Namun kerosakan telah dibuat.

Selepas banyak u-turn dalam tempoh yang singkat, siapa yang akan percaya kepada mereka lagi? Mereka (pemimpin-pemimpin PH) mungkin akan menipu lagi seperti yang mereka buat selama ini. Apabila dekat pilihanraya nanti, pemimpin-pemimpin PH akan membuat pelbagai janji lagi. Mereka akan menipu lagi. Siapa akan percaya kepada mereka?

Apa yang kita lihat kini ialah kerajaan PH mempunyai dua masalah kronik yang besar dan kritical: Mereka tidak kompeten mentadbir dan mereka tidak boleh dipercayai dengan janji-janji mereka.

Tujuh bulan selepas mereka menang pilihan raya adalah masa yang terlebih cukup malah lama menunggu untuk kerajaan menjalankan tugas dengan cekap untuk rakyat. Sebab setiap hari terdapat ramai rakyat yang sengsara dan perlu dibantu. Tiada rakyat sepatutnya menunggu kerajaan mereka untuk ke tadika untuk belajar mentadbir sementara mereka sengsara.

Para Menteri yang dilantik memegang jawatan sepatutnya telah bersedia untuk melaksanakan tugas dengan cekap daripada hari pertama, dan bukannya bekerja membuat dasar umpama permainan cuba dan salah (trial and error) dengan kehidupan rakyat sementara mereka belajar mentadbir. Rakyat tidak boleh menerima kerajaan yang tidak kompeten.

Ini bukanlah sebab politik, ia adalah melangkau politik. Sebab pada tahun depan, sementara pemimpin PH bermain politik menyalahkan kerajaan yang sebelumnya untuk menutup kelemahan diri sendiri, negara dan rakyat akan berhadapan dengan tahun yang getir dan mencabar kerana ekonomi negara dijangka akan mengalami krisis.

Bagaimana kita boleh percaya kepada pemimpin-pemimpin dan menteri-menteri kerajaan PH ini untuk membawa kita keluar dari cabaran dan kesusahan apabila mereka ini tidak kompeten dan tidak boleh dipercayai? Sekurang-kurangnya, kerajaan BN yang dahulu adalah cekap mentadbir dan boleh dipercayai untuk menunaikan janji.

Sekiranya pemimpin kerajaan BN dahulu dituduh korup dan rasuah, ramai pemimpin-pemimpin kerajaan PH kini yang mempunyai kes korupsi dan rasuah juga, namun ada antara mereka yang bebas dan “terbersih” setelah menang pilihanraya.

Oleh itu jika pemimpin kerajaan PH ini korup, mereka bukan sahaja korup malah tidak kompeten dan tidak boleh dipercayai. Adakah ada jenis kerajaan yang lain yang lebih teruk dari ini?