SALAM persahabatan buat kalian.

Berita keluarnya kalian dari saf perjuangan tetap memilukan kami yang tinggal. Beberapa hari sebelumnya kalian bersama saya, ada yang mengopi, ada yg mengeteh, ada yang merokok dan yang makan bersama saya. kita bercerita hati ke hati. Kita saling memahami.

Yang pasti, setiap daripada kalian punya alasan yang berbeza beza.

Satu yang saya pasti, kalian masih cintakan bangsa dan agama yang menjadi teras perjuangan parti ini dan kalian tetap mengenang jasa parti ini kepada kalian semua. Malah kalian orang yang lebih bernasib baik daripada saya yang tinggal ini kerana kalian adalah menteri Kabinet yang lalu. Kalian usahawan yang dapat kemudahan AP, projek, jawatan, peruntukan dan sebagainya yang saya sendiri tidak merasainya menjelang PRU lalu.

Pun begitu kita memahami perhitungan pasca PRU dan khususnya apabila parti tidak lagi berkuasa, kalian punya pertimbangan sendiri dan kita menghormati itu.

Tanpa kalian, kami mengubat luka tapi perjuangan diteruskan. Kerusi BN yang kalian bawa lari dan diserah kepada lawan akan kami pertahankan pada PRU akan datang.

InsyaALLAH kita bersua di medan untuk dijadikan pilihan buat rakyat yang kerananya kita berjuang.

Saya tahu, kalian pergi untuk menyokong satu parti tertentu sahaja. Syukur kalian diterima sebagai ‘orang baik baik’ kerana difahamkan orang baik sahaja yang diterima mereka

Satu perkara yang saya bersetuju dengan kalian dan saya harap kalian dan kita semua lakukan~ apabila saat kita dituntut buat pilihan dan sokongan, sokonglah perjuangan yang menjaga dan melindungi orang melayu,agama Islam dan kepentingan peribumi yang  selama ini kita perjuangkan bersama.

Sokonglah usaha yang menjadikan negara ini negara penuh ‘tolerance’ dan kerukunan berpaksikan Perlembagaan serta semangat perjanjian sosial yang sedia terwujud.

Kita terus impikan negara yang aman, stabil, makmur, adil, bersih dan berkebajikan serta beroleh keberkatan ALLAH SWT.

Kami akan terus memikul amanah bersama parti walau tidak beroleh nikmat dan kemudahan seperti kalian dalam lindungan dan naungan kerajaan. Kami belum sanggup dan malu mengadap rakyat dan tuhan dalam keadaan membelakangkan apa yang telah diamanahkan.

Kami merasakan menjadi pembangkang bukan kehinaan ia satu perjalanan yang panjang. Kesetiaan dan istiqamah adalah antara bekalan.

Parti ini tidak salah dalam berjuang tetapi kita kita yang menganggotainya mungkin membuat onar dan kesalahan. Itu boleh kita bersihkan dan perbaiki insyaALLAH.

Selamat maju jaya buat kalian. Saya mendoakan kebaikan buat kalian. Tali persahabatan tetap berkekalan.

***Tan Sri Annuar Musa merupakan Setiausaha Agung Umno