SETELAH kita mengikuti dan melihat peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam tempoh 7 bulan pertama negara berada di bawah kerajaan PH, kita terpaksa mengakui bahawa Malaysia Baharu telah bergerak dengan begitu laju dan kencang sekali.

Sama ada semua ini disambut baik dan gembira oleh rakyat jelata atau sebaliknya adalah soal pendapat, pandangan dan persepsi yang berbeza-beza di antara satu sama lain.

Pengukur sebenar ialah tanggapan dan pendirian rakyat jelata di bawah. Ini hanya dapat kita tahu dari pengukur dan petanda tertentu seperti  PRK atau kaji selidik oleh pihak-pihak yang berkredibiliti untuk mengukur tahap  kepuasan rakyat terhadap PH.  Setakat ini 4 PRK telah diadakan selepas PRU14 dan kesemuanya telah memihak kepada PH. Kaji selidik yang dibuat oleh beberapa badan atau agensi seperti Merdeka Centre  dan penilaian oleh agensi-agensi terkemuka seperti World Bank dan Bloomberg juga memihak kepada PH.

Datuk Prof Dr Redzuan Othman, pakar pilihanraya menyebut bahawa buat masa ini kerajaan PH tidak berdepan dengan apa-apa bahaya dan risiko kehilangan sokongan rakyat dengan syarat usaha mereka membaik-pulih keadaan ekonomi negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat mencapai kejayaan.

Untuk mengetahui sentimen semasa rakyat jelata dan mengukur tahap sokongan terkini kepada kerajaan PH, kita kena tunggu dan lihat keputusan PRK Cameron Highlands, Pahang dan Rantau Negeri Sembilan yang dijangka  diadakan tidak lama lagi.

Kita cuba mengimbas kembali dan merenungi beberapa peristiwa penting yang berlaku kebelakangan ini.

Urutan peristiwa dalam seminggu

Berikut adalah urutan peristiwa yang berlaku pada minggu lepas, bermula dari Ahad 8 Disember sehingga Sabtu 15 Disember 2018, iaitu dalam tempoh masa 7 hari:

1) 8.12.2018 - ICERD

Pas dan Umno menganjurkan Perhimpunan ICERD di Kuala Lumpur dengan kehadhiran mencecah sehingga 100,000 peserta. Himpunan berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.

2) 10.12.218  – Tabung Haji (TH)

Mujahid mendedahkan TH mengalami defisit sebanyak RM4.1 billion pada 30 Disember 2017 tetapi telah membayar dividen atau hibah kepada pencarum semenjak 2014 melanggar peruntukan Akta TH.

Sebelum itu, beberapa laporan polis juga dibuat oleh pengurusan baru TH terhadap pengurusan lama berhubung kes suspek salah laku oleh mereka.  

3) 12.12.2018 – Najib, Arul Kandar dan Tengku Adnan

Najib Razak dihadapkan ke makhamah untuk menjawap pertuduhan menggunakan kedudukan sebagai PM mengarahkan Laporan 1MDB dipinda untuk melindunginya dan Jho Low. Sementara Arul Kanda pula dituduh bersubahat dengan Najib untuk meminda Laporan 1MDB.

Tengku Adnan pula dihadapkan ke makhamah dengan pertuduhan baru menerima rasuah RM2 juta menggantikan pertuduhan asal (kepada pertuduhan kedua dari 2 pertuduhan sebelum ini).

4) 12.12.2018 - Umno Sabah

Umno Sabah lumpuh dengan 5 dari 6 ahli Parlimen, 9 dari 10 Adun dan hampir dua pertiga ketua bahagian serta pemimpin-pemimpin kanan  mengumumkan keluar dari parti. Ahli Parlimen yang terlibat ialah Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Yamani Hafez Musa (Sipitang),Datuk Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran). Ikut serta kelur parti ialah 2 penyokong kuat Najib, Salleh Said Keruak dan Pandikar Amin Mulia. Yang tertinggal atau ditinggalkan ialah Musa Aman dan Bung  Mokhtar.

5) 13.12.2018 - Isa Samad

Isa Samad ditangkap SPRM dan dihadapkan ke makhamah pada 14.12.2018 untuk menjawap 1 pertuduhan pecah amanah dalam pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak dan 9 pertuduhan rasuah yang melibatkan wang sebanyak kurang lebih RM3 juta.

6) 14.12.2018 - Zahid Hamidi

Zahid Hamidi dihadapkan ke makhamah untuk menjawap 1 pertuduhan baru pecah amanah yang melibatkan wang Yayasan Akalbudi sebanyak RM10 juta.

7) 14.12.2018 - Umno Semenajung

6 ahli parlimen Umno umum keluar dari Umno. Mereka ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu),  Hamzah Zainudin (Larut), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Reaksi dari berbagai pihak

Mengenai isu ICERD telah banyak diperkatakan oleh berbagai pengulas termasuk penulis. Jadi ianya tidak perlu diulas lagi di sini.

Begitu juga tentang TH dan pertuduhan keatas Najib, Arul Kanda, Tengku Adnan dan Zahid kerana semua itu adalah  susulan kepada  pendedahan dan siasatan awal yang umum sudah pun tahu hujung pangkalnya.

Yang perlu kita fokus disini ialah perkembangan tentang pemimpin-pemimpin Umno yang keluar parti.

Zahid berkata ianya berlaku kerana Umno sedang berusaha kembali kepada perjuangan Umno untuk martabatkan agama dan bangsa dan apa yang berlaku adalah cabaran berbentuk sementara sahaja.

Namum desakan dari dalaman mula lantang untuk Zahid berundur. Dulu Pemuda Umno yang telah memulakannya, sekarang Pemuda Umno Sabah pula meneruskan desakan. Ianya disokong oleh Khairy Jamaluddin dan pemuda-pemuda negeri lain. Nampaknya gelombang pemberontakan ke atas Zahid makin menjadi-jadi kebelakangan ini.            

Tun M berkata bahawa beliau tidak terlibat dengan sebarang keputusan pemimpin-pemimpin Umno Sabah keluar parti. Tapi beliau menegaskan bahawa ada bekas pemimipin-pemimpin Umno yang bagus dan boleh diterima masuk ke dalam PH.

Anwar Ibrahim menasihati pemimpin-pemimpin Umno Sabah dan semenajung agar terus kekal dalam Umno. Tetapi jika mereka mahu juga keluar Umno, maka lebih wajar menjadi bebas.

Lim Kit Siang pula berkata bekas pemimpin Umno boleh sertai PH tetapi perlu tebus kesalahan mereka dulu. Terdahulu Gobind Singh dan Ronnie Liu memberi amaran agar PH tidak menjadi tempat kutip sampah dengan menerima pemimpin-pemimpin yang satu masa dulu digelar oleh Tun M sebagai sampah.

Mat Sabu pula memuji pemimpin-pemipin Umno yang keluar Umno sebagai membuat keputusan yang bijak.

Hadi Awang pula terkapai-kapai kerana doa Pas pada Perhimpunan ICERD agar di pendekkan umur kerajaan PH nampaknya memakan diri kerana umur dan hayat Umno pula yang terancam. Yang pastinya malikat tidak salah dengar doa tersebut dan telah pun menyampaikannya  kepada Yang Maha Kuasa. Hakikatnya Dia Maha Mengetahui ke atas segala-galanya dan Maha Bijaksana untuk membuat ketentuan yang seadil-adilnya.

Yang mencemaskan lagi Umno dan Pas ialah pendedahan oleh Hamzah Zainuddin bahawa pada bulan lepas seramai 36 Ahli Parlimen (33 dari Umno, 2 dari MIC dan 1 dari Sabah) telah berikrar untuk menyokong Tun M. Jika itu yang berlaku, maka apa lagi yamg tinggal atau ada pada Umno?

Sementara itu rakyat memerhati perkembangan semasa dengan gelisah, risau dan bimbang, takut bekas pemimpin-pemimpin Umno yang mereka tahu korup dan telah banyak melakukan kemungkaran akan meresapi PH, gagasan yang mereka sokong dan dokong. Mereka juga khuatir pemimpin-pemimpin tersebut akan menodai dan merosak PH dengan politik tosik mereka yang bersandarkan pemahaman agama yang jumud dan agenda perkauman sempit.

Erti dan implikasi kepada politk negara

Ke mana destinasi bekas pemimpin-pemimpin Umno selepas ini belum dapat kita pastikan buat masa ini tetapi kiranya kita semua boleh mengagakkannya. Jika mereka menyertai Bersatu, PKR atau Amanah, ianya boleh menggugatkan kesatuan parti-parti komponen dalam PH. Tetapi jika ianya di tangani dengan penuh bijaksana, secara consensus dan kesefahaman dapat dicapai diantara parti-parti komponen PH, maka  PH akan menjadi gagasan yang lebih kuat yang mampu menguasai dua pertiga majoriti di Parlimen.

Jika itu yang berlaku, maka kepimpinanTun M akan menjadi lebih terserlah dan bertambah dominan.

Dalam keadaan begitu, masa depan Umno dan Pas akan menjadi lebih tercabar dan tidak menentu. Kedua-dua parti tersebut perlu mencari naratif baru untuk terus kekal relevan dalam senario realiti politik semasa. Kita yang berfikiran rasional dan terbuka mahu melihat wujudnya parti pembangkang yang dapat mainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada PH. Demi untuk demokrasi lebih subur dan matang.

Rakyat jelata pastinya menaruh harapan kepada PH agar mempastikan semua perkembangan semasa akan dimanfaatkan untuk mereka khususnya dalam mengukuhkan ekonomi negara,  meringankan kos sara hidup mereka dan menjaga kebajikan mereka dengan sebaik mungkin. Jangan pula PH menang di medan perjuangan tetapi rakyat jelata dalam negeri melalui kehidupan yang pahit dan getir.