SAYA berkesempatan mendengar sendiri ucapan Tun Hamid Mohamad, mantan Ketua Hakim Negara di Kongres Bantah ICERD di PWTC, pada 25 November 2018 yang lalu.

Ucapan dan penjelasan  beliau mengenai perkara ini amat mudah untuk difahami oleh rakyat Malaysia. Justeru, saya ingin berkongsi kefahaman itu dan dimuatkan dalam rencana ini pengertian orang seperti saya mengenai ICERD serta apakah implikasinya jika kerajaan setuju ianya diratifikasi.

Pertama, ICERD adalah satu convention antarabangsa yang mendesak dihentikan apa jua bentuk diskriminasi kaum. Bagi keadaan di Malaysia ia tidak perlu kerana Perlembagaan Malaysia itu sendiri jelas menolak segala bentuk diskriminasi kaum.

Maka, apa gunanya kita perlu meratifikasi convention itu walhal Perlembagaan kita sendiri sudah cukup jelas menentangnya. Mengapa perlu convention antarabangsa mengatasi Perlembagaan Malaysia yang sekian lama melindungi kita semua dari segala bentuk diskriminasi yang dinyatakan. Menerima ICERD bermakna kita setuju Perlembagaan kita dirombak. 

Kedua, jika diratifikasi ICERD itu, tiada jaminan bahawa convention itu nanti tidak akan mendesak Negara kita meminda Perlembagaan bagi memaksa kita menerima international values acuan mereka, sekalipun ia tidak sesuai dengan nilai-budaya Negara kita. Moorthy hanya memberi jaminan bahawa Artikel 153 tidak akan terancam.

Ketiga, sekalipun Perdana Menteri sudah mengeluarkan kenyataan tidak akan meratifikasi ICERD, kenyataan Perdana Menteri ‘menunggu’, iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim, membuat pendirian berbeza.

Beliau menyarankan untuk  menangguhkan dahulu hasrat meratifikasi ICERD itu. Beliau tidak kata menolak ratifikasi itu. Maknanya, apabila beliau menjadi Perdana Menteri kelak, belum ada jaminan bahawa ICERD akan ditolak.

Justeru, Tun Hamid kata kita semua wajib berwaspada sekalipun bersangka baik dengan kenyataan Perdana Menteri itu.

Keempat, Moorthy bersama dua lagi menteri bermentaliti pembangkang, masih kekal dengan pendirian mereka untuk meratifikasi ICERD, sebab mereka belum membuat kenyataan akur dengan kenyataan Perdana Menteri.

Kerajaan hari ini dilihat semua menteri dan timbalan menteri bebas membuat pendirian masing-masing sekalipun berbeza dengan pendirian yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Agaknya ini ialah budaya Malaysia Baru. Maka, sekalipun Perdana Menteri sudah mengeluarkan kenyataan, ia bukan satu jaminan bahawa ICERD tidak akan diratifikasikan.

Kelima, Himpunan Rakyat 8 Disember bukan himpunan bantahan, ia adalah himpunan kesyukuran menyambut baik dan bersangka baik dengan kenyataan atau pendirian yang dibuat oleh Perdana Menteri yang mahukan ratifikasi ICERD itu di tolak. 

Maka, apa salahnya rakyat Malaysia berhimpun menyatakan kesyukuran itu. Lagipun, rakyat berhasrat berperanan menyokong hasrat Perdana Menteri dan mengekang hasrat tiga lagi menteri itu yang ghairah meratifikasi ICERD.

Penyertaan Umno dan Pas bukan untuk mempolitikkan himpunan itu. Ummah sebagai penganjur juga tidak mahu himpunan itu dipolitikkan, tetapi tidak bermakna institusi politik tidak dibenarkan untuk turut sama.

Malah himpunan itu nanti terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai keinginan yang sama menyambut baik pendirian Perdana Menteri kita.

Di kesempatan itu juga Ummah ingin mengajak semua rakyat Malaysia sama-sama mendokong kedaulatan negara kita dengan mempertahankan Perlembagaan Malaysia dari dirobek oleh penceroboh yang bersekongkol dengan kuasa-kuasa asing. Saya memahami dan menyokong inisiatif Ummah ini.

Amat membimbangkan. Sungguh jelas bahawa, tindakan meratifikasi ICERD itu samalah juga dengan usaha membiarkan kedaulatan negara ini diceroboh oleh kuasa-kuasa asing, dalam satu lagi bentuk pencerobohan baru, iaitu menerusi pindaan Perlembagaan dan penularan  nilai-budaya asing untuk dipaksa kita menerimanya.

Inilah pencerobohan alaf baru, tanpa bala tentera, memadai dengan merombak perlembagaan. Harapan mereka ialah mengulangi taktik Malayan Union, dalam versi baru, Malaysian Union 2.0.

ICERD adalah instrumen pencerobohan ini dan mereka memerlukan dalang-dalang dari dalam negara untuk menggerakkan hasrat ini.

Sambil berhimpun menyukuri pendirian Perdana Menteri itu kita juga, sebagai rakyat Malaysia, wajib berwaspada mengawasi taktik selanjutnya oleh dalang-dalang ini. Belum pasti mereka mengalah. Terima kasih Tun Hamid kerana mengingatkan kami semua untuk tidak berdiam diri membiarkan sekali lagi negara tercinta ini diceroboh oleh kuasa asing. 

Datuk Faridah A Jabbar

Yang DiPertua, Usahanita  Malaysia

Merangkap Ketua Sekretariat MPM