TUNJUK perasaan amat sinonim dengan rakyat Perancis. Umum memahami mereka beriman bahawa demokrasi meraikan kebebasan untuk menyatakan bantahan dan kritikan terhadap pemerintahan termasuklah melalui protes jalanan.

Saban minggu, protes jalanan berlangsung atas pelbagai isu rakyat. Fenomena Ini disahkan sendiri oleh pelajar-pelajar Malaysia di Perancis yang menyaksikan dengan mata kepala mereka ‘budaya’ Perancis tersebut. Namun, protes yang sedang hangat berlaku ini amat berlainan. Ruang demokrasi Perancis kini telah dicemari budaya keganasan melampau.

Sejak 17 November lalu, keamanan di bumi Perancis semakin tergugat kerana aksi-aksi keganasan yang didalangi kumpulan perusuh dikenali “Yellow Vests” yang mengakibatkan empat terkorban dan 110 lagi cedera (termasuk 20 pegawai polis) serta 224 ditahan di seluruh jalan raya Perancis. Polis melaporkan, dianggarkan lebih 75,000 perusuh keluar ke jalan raya pada Sabtu lalu di seluruh Perancis (5,500 di kota Paris).

Dalam kejadian Sabtu lepas, perusuh membakar hangus lebih 200 kereta, memecahkan tingkap-tingkap kedai dan menconteng grafiti pada ikon monumen Perancis, Arc de Triomphe.

Rusuhan tersebut telah memburukkan ekonomi Perancis. Tempahan hotel semakin menyusut, hasil jualan bisnes semakin menurun dan banyak stesen minyak kehabisan bekalan kerana halangan (blockade) lalu-lintas didalangi perusuh "Yellow Vests".

Kerajaan Perancis telah mengeluarkan amaran akan berlaku kudeta dan melarang penjawat awam dari keluar bekerja pada minggu ini, menurut laporan akhbar Le Figaro. Laporan tersebut mendakwa perusuh merancang untuk menyerang pegawai rasmi kerajaan termasuk birokrat dan penjawat awam.

Sumber yang dekat dengan Presiden Emmanuel Macron menyatakan sekiranya mencecah lebih 10 korban mayat, kerajaan tidak pasti dapat mengekalkan kementerian dalam negeri (kemungkinan akan berlaku darurat).

Macron menegaskan mereka yang menimbulkan kekacauan akan dibawa ke muka pengadilan dan keputusan menaikkan cukai bahan api bagaimanapun akan ditangguhkan. Kerajaan Perancis menerima tekanan sejak awal November lalu ekoran cukai bahan api yang dikenakan terhadap rakyatnya.

Siapa Yellow Vests? Gerakan ini bermula secara online oleh rakyat bawahan yang membantah kenaikan bahan api yang kini menjalar dan menaikkan kemarahan golongan pertengahan akibat daripada kenaikan beban sara hidup. Pemakaian vest berwarna kuning adalah budaya Perancis apabila kenderaan yang mereka pandu mengalami kerosakan di jalan raya.

Pihak polis mendakwa tidak dapat mengenal pasti ketua atau pemimpin gerakan ini, daripada spektrum politik yang mana. Ia melibatkan semua termasuk golongan kiri dan kanan. Uniform rasmi mereka adalah vest kuning.

Gerakan ini juga dilaporkan telah berkembang ke luar Perancis termasuk Belgium, Jerman dan Belanda.

Apa tuntutan mereka? Kerajaan Perancis mengenakan cukai-cukai bahan api (yang berasaskan climate-change) sejak beberapa bulan lalu dan juga Januari depan. Macron mendakwa cukai-cukai tersebut bertujuan menggalakkan pemandu agar menukar kepada kenderaan diesel yang mesra alam sekitar tetapi rakyat Perancis membantah cukai tersebut kerana ia membebankan mereka.

Harga diesel di Perancis meningkat 20% kepada Euro1.49 (RM7) seliter. Mulai Januari 2019, dijangka harga gas akan meningkat kepada 0.03 Euro seliter manakala harga diesel pula 0.06 seliter.

Macron bagaimanapun terpaksa menangguhkan rancangan beliau akibat peristiwa hitam tersebut. Dalam Perjanjian Iklim 2015, Macron telah berjanji menjadikan isu alam sekitar sebagai keutamaan sejak beliau berkuasa 18 bulan lalu.

Perusuh menuntut Macron mebekukan rancangan cukai bahan api. Mereka juga mahukan beliau meletak jawatan. Sebahagian rakyat mendakwa Macron seorang globalist, meminggirkan rakyat dan semakin hilang populariti. Approval rate beliau juga menjunam bawah 30%. DailySabah pula melaporkan, Presiden Macron disifatkan terlalu pro-bisnes dan mengabaikan nasib rakyat awam.

Kesimpulannya, hasrat kerajaan untuk memulihara alam sekitar melalui usaha menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam sekitar dengan cara menaikkan cukai-cukai bahan api di Perancis mendapat bantahan keras daripada rakyat Perancis. Bahan api adalah kritikal bagi rakyat terbanyak.

Prinsip menolak kemudaratan lebih besar merupakan kaedah fiqh dan kebijaksanaan yang terbaik bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran sesebuah negara.

*Penulis adalah pelajar Ph.D Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), aktivis Gen Two Training Academy (Gentra) dan pengasas Euromates.