BARU-BARU ini kita dikecohkan dengan isu pengharaman merokok di restoran terbuka dan gerai makanan yang akan diwartakan oleh kerajaan bermula 1 Januari 2019.

Ia pada dasarnya merupakan salah satu usaha berterusan daripada Kementerian Kesihatan dalam mengurangkan kesan berisiko asap rokok kepada orang ramai yang majoritinya bukanlah daripada golongan perokok.

Namun usaha yang baik ini telah dibantah oleh sesetengah golongan kecil daripada pemilik-pemilik restoran malah sebilangan ahli Parlimen sendiri. Terdapat juga kenyataan daripada seorang peguam yang menyatakan bahawa akta yang akan diwartakan ini akan menafikan hak asasi perokok sebagai satu golongan rakyat Malaysia.

Mari kita melihat isu ini dari sudut sains kesihatan dan kebaikan secara keseluruhan.

Masalah rokok dan kesan kesihatan yang dikaitkan dengan rokok telah lama dikaji dan diketahui umum. Dalam sebatang rokok sahaja mengandungi lebih kurang 4,000 bahan kimia beracun dan lebih kurang 63 daripadanya boleh menyebabkan kanser.

Banyak kajian saintifik juga telah menunjukkan kaitan antara merokok dengan penyakit-penyakit kanser daripada rongga hidung, saluran pernafasan, paru-paru, esofagus, perut, hati, pankreas, pangkal rahim sehinggalah kepada kanser darah. Ini belum lagi ditambah dengan penyakit-penyakit lain bukan kanser seperti sakit jantung, angina ahmar (strok) atau ulser perut.

Meskipun dengan pengetahuan terhadap kesan yang buruk ini melalui kempen-kempen kesedaran dan nasihat-nasihat daripada pihak kesihatan, juga melalui khidmat bantuan berhenti merokok, bilangan perokok di Malaysia masih lagi tinggi.

Menurut satu kajian analisis epidemiologi, prevalen perokok terkini di Malaysia adalah 46.4% daripada 15,639 responden. Salah satu sebab mengapa bilangan perokok masih tinggi adalah kerana kesan ketagihan kepada rokok yang dihadapi oleh perokok.

Apa yang menyedihkan apabila kesan merokok kepada orang di sekeliling seolah-olah diabaikan. Tahukah kita bahawa orang yang terdedah kepada asap rokok sama ada sekejap atau lama juga berisiko tinggi untuk menghidap pelbagai penyakit? Malah mereka dipanggil perokok pasif atau perokok sekunder kerana risiko kesihatan yang ada.

Dianggarkan dua pertiga (66.7%) remaja dan dewasa di Malaysia dalam satu kajian survey terdedah kepada asap rokok paling kurang di satu tempat umum. Bilangan yang cukup tinggi ini menunjukkan kesan aktiviti merokok di tempat umum kepada masyarakat sekeliling yang tidak bersalah terutama kepada kanak-kanak. Belum pernah lagi kita mendengar perokok pasif ini ketagih terhadap asap rokok.

Apakah kandungan dalam asap rokok sekunder? Asap rokok sekunder berbeza daripada asap yang dihisap oleh perokok. Asap rokok sekunder terbahagi kepada dua iaitu asap teras (mainstream) daripada hembusan perokok, dan asap sampingan (sidestream) daripada puntung rokok yang dibakar. Terdapat lebih kurang 200 bahan kimia berbahaya dalam asap rokok sekunder yang juga mengandungi karsinogen.

Malah terdapat karsinogen yang mempunyai kandungan lebih tinggi pada asap sampingan berbanding asap teras. Antara karsinogen yang mempunyai kandungan 2-5 kali ganda lebih tinggi adalah nikotin, tar dan karbon monoksida.

Apakah risiko kesihatan terhadap perokok pasif? Sudah pasti dengan kandungan bahan kimia berbahaya dalam asap rokok sekunder ini akan menghasilkan kesan kesihatan yang teruk. Asap rokok sekunder sememangnya telah dikenal pasti sebagai penyebab kematian pramatang kepada dewasa dan kanak-kanak bukan perokok. Bayi dalam kandungan ibu yang merokok dan bayi yang terdedah kepada asap rokok sekunder selepas lahir mempunyai risiko tinggi untuk menghadapi Sindrom Kematian Bayi Mengejut (Sudden infant death syndrome).

Mereka juga dijangkakan mempunyai paru-paru yang lemah dan mudah terdedah kepada jangkitan kuman. Bagi kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok sekunder, mereka akan mudah untuk menghidapi penyakit pernafasan seperti bronkitis, pneumonia, dan juga jangkitan kuman pada telinga. Kanak-kanak yang mempunyai asma pula akan lebih kerap mendapat serangan asma dan menyebabkan penyakit asma tidak terkawal sekiranya mereka terdedah kepada asap rokok sekunder dan dalam jangka masa lama.

Kajian menunjukkan kesan terdedah kepada asap rokok sekunder kepada orang dewasa adalah sangat cepat di mana ia boleh mengganggu sistem aliran darah, pembuluh darah dan jantung itu sendiri. Mereka mempunyai risiko menghidapi sakit jantung sebanyak 25 ke 30 peratus.

Mereka juga mempunyai risiko menghidapi kanser paru-paru sebanyak 20 ke 30 peratus. Penyakit kronik respiratori (eg. Chronic obstructive airway disease) antara penyakit kerap dihidapi oleh perokok pasif.

Dan semua risiko kesihatan ini boleh berlaku walaupun seseorang itu terdedah kepada asap rokok sekunder dalam jangka masa yang singkat.

* Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan, I-Medik Kuala Lumpur