SEORANG demi seorang bekas pemimpin dan pemimpin kanan Umno didakwa di mahkamah atas pelbagai salah laku, terutama membabitkan salah guna kuasa, menerima rasuah dan penggubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.

Pihak yang membela mengatakan tindakan berkenaan adalah atas unsur dendam untuk meruntuhkan parti dianggap keramat itu. Rakyat telah dibohongi, dikhianati dan merupakan tindakan hipokrasi pemerintah.

Di samping itu mereka juga menyifatkan dakwaan tersebut sebagai dakwaan terpilih. Mengapa tokoh-tokoh di pihak kerajaan yang turut sama terpalit salah laku dan penyelewengan tertentu tidak dikenakan tindakan, malah ada yang digugurkan pertuduhan.

Penulis melihat bahawa tindakan mendakwa mereka itu ada kaitan dengan beberapa perkara. Pertama ialah ikrar kerajaan untuk membanteras gejala rasuah dan meningkatkan integriti perkhidmatan awam. Kedua membuktikan dakwaan pihak pembangkang bahawa mereka tumbang kerana tohmahan dan fitnah. Mengambil tindakan sedemikian menunjukkan kerajaan ingin membuktikan apa yang mereka uar-uarkan kepada rakyat sebelum ini adalah sahih dan benar.

Pembuktian ini penting kepada kredibiliti pemerintah. Masakan mereka mahu mengulangi atau mendapat malu besar sebagai mana Amerika Syarikat mengganyang dan memusnahkan Iraq, namun akhirnya terbukti Iraq tidak pun menyimpan senjata berbahaya kepada keselamatan negara serantau (Negara Teluk) seperti didakwa.

Bukankah itu suatu konspirasi dan hipokrasi jika tuduhan mereka selama ini didapati tidak berasas dan palsu.

Sewaktu kempen PRU14, kerajaan BN waktu itu menerima pelbagai kritikan yang mampu menghakis kepercayaan rakyat terhadap telusnya mereka.

Pelbagai isu dibangkitkan terutama mengenai skandal 1MDB dan pelbagai lagi salah laku penyelewengan yang boleh menggugat kesejahteraan rakyat, malah mampu menggugat kedaulatan negara. Tetapi semua itu hanya ‘’hear say’’ tanpa bukti yang kukuh.

Maka kinilah masanya untuk mereka membuktikan segala yang dianggap tohmahan dan fitnah itu dapat dijelaskan dengan fakta yang konkrit. Segala keterangan akan dibentang berdasarkan siasatan awal tanpa sekatan. Saksi akan dipanggil memberikan keterangan.

Evidence dan exhibit juga akan dibentangkan satu persatu. Rakyat juga ingin mengetahui adakah mereka bertindak memilih kerajaan kerana terpengaruh kerana penciptaan persepsi. Apakah selama ini mereka dibohongi.

Masyarakat selalu membuat tanggapan yang silap mengenai erti sebenar pertuduhan atau pendakwaan. Seseorang tertuduh bukan orang salah selagi dia belum dibuktikan sebaliknya.

Kedaulatan undang-undang memberi dia ruang dan peluang untuk membela diri, membersihkan namanya. Proses undang-undang dan perbicaraan di mahkamah adalah medan terbaik untuk tertuduh mendapatkan keadilan.

Dengan Prinsip Keadilan Semula jadi (Prinsiple of Natural Justice) seseorang akan diadili dengan profesional tanpa bias, tanpa prejudis. Sama-samalah kita menghormati sistem perundangan negara.

Mengapa sebelah pihak sahaja disiasat? Jawapan dipilih ialah hal ini sangat relevan dengan teori politik ‘’pihak yang menang akan ambil semua, yang kalah akan hilang segala-galanya.’’ (Winner takes it all, looser will loose everything).

Tindakan terhadap mereka yang didakwa menyeleweng dan salah guna kuasa hanya pada ketika ini ada kaitan juga dengan ‘’Hot Stove Rule.’’ Peraturan ini sewajarnya terpakai kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dan status. Ia mesti segera, pada ketika itu juga.

Namun begitu peraturan universal dan semula jadi ini tidak terpakai ketika mereka sedang berkuasa. Sebabnya ialah ‘’because you are a particular person’’ ketika itu. Amalan sebegitu amat menyalahi prinsip ‘’Rule of Law’’.

Kehadiran rakan seperjuangan di dalam parti, juga para penyokong di pekarangan mahkamah memberikan sokongan moral kepada tertuduh membawa impak positif dari segi kebersamaan dan solidariti.

Sentimen persepsi terus menebal bahawa kerajaan mengamalkan politik balas dendam dan melabel pemerintah punya agenda tersirat.

Pada peringkat ini kebenaran mutlak masih subjektif. Masing-masing penyokong kedua-dua belah pihak mahupun yang neutral mempunyai pelbagai input untuk memproses maklumat.

Amalkanlah sikap terbuka dan berlapang dada. Usah prejudis dan amalkan juga sikap ‘’hear the other side’’.

Sikap hanya mendengar sebelah pihak akan menjauhkan kita dalam menegakkan kebenaran dan mencari keadilan.

* Penulis memiliki latar belakang dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia. Kini Pengarah Urusan Qaseh Nursing Care Sdn Bhd