KEPUTUSAN perwakilan MCA untuk membubarkan BN adalah sesuatu yang tidak sukar difahami. Apa jua keputusan perwakilan MCA adalah sesuatu yang dijangka. Sentimen negatif terhadap BN semakin menebal di kalangan anggota MCA pasca PRU 14.

Cuma MCA harus lebih tegas dan jelas. Tinggalkan sahaja BN dan bukannya membuat resolusi untuk membubarkan BN.

Kenapa saya berpandangan sedemikian? Biar saya jelaskan.

Pertama kerana MCA tidak harus mengheret parti komponen lain BN ke dalam polemik dalaman MCA. Keputusan untuk membubarkan BN jelas sekali menunjukkan bahawa MCA tidak mahu dilihat meninggalkan BN sendirian.

Ia mahu keputusan itu dilakukan secara kolektif oleh BN.  Sebabnya MCA  tidak mahu dipersalahkan jika keputusan itu dianggap langkah mundur ke belakang dalam mematangkan demokrasi di Malaysia.

UMNO, MIC, MyPPP dan PBRS telah menegaskan bahawa BN akan terus menjadi platform yang bukan sahaja mereka pertahankan, tetapi juga perjuangkan.

Parti-parti komponen ini percaya bahawa sistem dua parti dalam arena politik Malaysia mesti diperkuatkan. Mana mungkin pendirian ini tidak diketahui oleh MCA dan perwakilannya.

Lantas tiada rasionalnya untuk MCA membawa usul membubarkan BN ke Majlis Tertinggi BN.

Kedua, keputusan MCA itu, sangat berdolak dalih. Mereka masih lagi tidak dapat berpisah selamanya dengan BN. Kerana itu mereka tidak membuat keputusan keluar dari BN.

Sebagai parti yang berprinsip, MCA harus lebih ‘decisive’. Keluar sahaja dari BN seperti parti-parti lain yang telah meninggalkan BN tanpa syarat.

Keputusan sebegini akan memudahkan UMNO dan komponen parti berbaki untuk membangunkan semula BN.

Tindakan MCA tidak memudahkan BN untuk ‘move on’. Ia telah menunda proses rejuvenasi BN.

Ketiga, cadangan MCA untuk menubuhkan ‘coalition’ baru tidak akan banyak bezanya daripada meneruskan BN. Jika ‘coalition’ baru itu akan di anggotai oleh parti-parti bukan Pakatan Harapan, bukan kah itu adalah ‘ duplication’ modal  BN?

Jangan lupa, Malaysia ini bukan negara besar yang ada beratus parti politik seperti India dan Indonesia. Akhirnya, kita akan bekerjasama dengan rakan-rakan politik yang sama seperti dahulu juga.

Kita janganlah berfikir bahawa pembubaran BN akan menyebabkan terhakisnya juga ingatan dan momen penting dari ingatan rakyat terhadap masalah BN terdahulu.

Rakyat Malaysia akan terus ingat segala kebaikan dan kekurangan, mahupun kesalahan BN terdahulu.  Dan mereka juga tahu bahawa jalan sebaiknya adalah BN menghadapi semua kelemahannya dan membaikinya dengan bersungguh-sungguh.

Mewujudkan semula ‘a new coaltition’ hanyalah perubahan kosmetik. BN memerlukan lebih daripada penjenamaan nama dan logo.

BN mesti kembali kepada ideologinya. Menjiwai ideologi tersebut seperti sebelumnya dan memulakan langkah berani untu berubah.

Seperkara lagi yang ingin saya sentuh adalah tentang kepercayaan saya bahwa formula politik BN bukan masalah dalam pilihanraya lepas.

BN adalah instrumen politik paling berjaya dalam membangunkan Malaysia selama 60 tahun lepas.

Mana mungkin ada modal yang lebih baik dari BN semenjak ia ditubuhkan. Melaui BN lah kita menjadi negara perdagangan, perindustrian dan negara membangun paling berjaya.

MCA jangan lupa, bahawa pada 1957, paradigma BN itu lah yang telah membidani kelahiran sebuah negara bernama Malaya.

Pada ketika itu, di Amerika Syarikat, orang berkulit putih, tidak membenarkan orang berkulit hitam pergi ke sekolah yang sama dengan mereka, mahupun menaiki bas yang sama. Sedangkan Umno, MCA dan MIC pada ketika itu, telah menjayakan kesepakatan membentuk sebuah negara. Negara Kesepakatan yang berbilang bangsa, berbagai agama dan beragam latar belakang.

Dan formula BN itulah juga yang kita gunakan seterusnya untuk membentuk Malaysia. Selama berdekad, kita mengurus Malaysia itu dengan ‘konsensus’ perkongsian kuasa dengan jayanya.

Bila BN tewas dalam pilihanraya lepas, bermacam tohmahan ke atas BN kita lontarkan, terutamanya daripada MCA. Segalanya buruk, segalanya tidak sempurna, segalanya jelek.

BN, pada MCA selepas PRU14 adalah model lapuk, tidak serasi zaman dan ketinggalan.

Tetapi MCA lupa, melalui kesepakatan BN lah, MCA terus mempunyai perwakilan dalam Kerajaan walaupun semenjak beberapa pilihanraya lepas, kalah kerusi yang mereka wakili. Berapa ramai Menteri dari MCA yang dilantik walaupun jumlah kerusi mereka sangat sedikit.

Dan jangan lupa, berapa banyak kerusi majoriti Melayu yang Umno serahkan kepada MCA untuk ditandingi atas semangat BN. MCA tidak menang di kawasan bandar kerana ia memang tidak mendapat sokongan Cina bandar.

Melalui permuafakatan BN lah, MCA mendapat pelbagai jawatan lain selain Menteri Kabinet. Melaluinya juga, ia mendapat Kolej Tunku Abdul Rahman dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

Saya sangat berterima kasih jika MCA segera meninggalkan BN. Kita tidak boleh punya rakan yang membebankan kita di kala kita berada dalam kedudukan paling susut dalam perjalanan politik kita. Dan tidak mahu memikul tanggungjawab atas kekalahan kita.

Dalam politik, yang dituntut ialah perjuangan yang bermaruah dan budaya politik yang benar dan baik. Bukan hanya kemenangan. Jika kemenangan sahaja ukuran untuk perjuangan politik, maka itu adalah ‘perdagangan’ dan bukan perjuangan.

BN bukan bahan dagang. Dalam baik dan lemahnya, BN adalah perjuangan untuk sebuah Malaysia yang lebih baik. Ia tewas bukan kerana falsafah dan ideologinya tersasar, tetapi kerana pemimpinnya khilaf.

MCA gagal memahami ini. Maka kepada MCA, tinggalkan saja BN itu, dan biarkan kami yang lain, dalam BN  melalui kepayahan  untuk menghidup – hidupi ia.

Insya-ALLAH, suatu ketika nanti, akan kami buktikan bahawa MCA salah dalam perhitungannya terhadap BN.

* Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Umno