PEMBANGUNAN orang kurang upaya (OKU) kini terbukti dapat meningkatkan tahap sosioekonomi negara ke satu tahap yang lebih baik.

Ini dapat dilihat apabila berlakunya peningkatan penglibatan golongan tersebut dalam beberapa sektor yang menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara, antaranya dalam bidang pendidikan, tenaga kerja dalam industri dan keusahawanan.

Ini juga menjadi petanda bahawa negara kini sedang menuju ke arah negara maju, yang mana aspek sosioekonomi amatlah ditekankan.

Bagi melaksanakan agenda pembangunan OKU secara menyeluruh dan berkesan, penglibatan semua pihak diperlukan khasnya dalam sesebuah organisasi.

Organisasi merujuk kepada kumpulan orang yang mempunyai hubungan untuk mencapai suatu tujuan yang ditetapkan seperti dalam organisasi pekerjaan, jabatan kerajaan atau badan bukan kerajaan. Setiap organisasi yang dibentuk mempunyai peranan yang dimainkan masing-masing.

Bagi mencapai matlamat tersebut, kerjasama dalam kalangan warga kerja diperlukan untuk berhadapan dengan cabaran yang mungkin akan memberi kesan kepada organisasi. Cabaran yang dimaksudkan boleh datang dari dalam atau luar organisasi.

Kesungguhan negara dalam memberi peluang yang sama kepada semua rakyatnya terbukti apabila golongan OKU tidak disisihkan dalam agenda pembangunan negara.

Namun begitu, agenda tersebut tidak akan dapat dilaksanakan tanpa penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Di sesetengah organisasi, pembangunan OKU itu dilihat tidak menguntungkan, sebaliknya dilihat sebagai bebanan yang akan merugikan atau mengurangkan kadar keuntungan kepada organisasi.

Namun begitu, pandangan ini boleh berubah sekiranya sesebuah organisasi itu melihat perkara tersebut secara terbuka, khasnya dalam menimbangkan kesan jangka panjang.

Sebagai contoh dalam memberikan latihan yang bersesuaian kepada pekerja OKU dan penyediaan fasiliti OKU bagi kegunaan pekerja dan pelanggan.

Ini akan membuatkan pekerja bekerja dengan lebih baik dan setia bersama organisasi. Begitu juga dengan pelanggan dalam kalangan OKU yang akan kekal menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan kerana timbulnya rasa dihargai.

Pada hari ini, setiap organisasi tidak terlepas daripada cabaran-cabaran yang melibatkan golongan OKU, sama ada dari dalam atau luar organisasi.

Bagi menghadapi cabaran-cabaran tersebut, majikan perlulah mengambil kira pelbagai perkara yang akan memberi kesan kepada organisasi.

Dalam memastikan pembangunan OKU dalam organisasi dapat dilaksanakan dengan baik, satu unit khas boleh ditubuhkan. Unit ini bertujuan memberi fokus kepada pembangunan OKU dalam organisasi, yang turut akan melihat keperluan pelanggan dalam kalangan OKU.

Ini secara langsung akan memudahkan pelaksanaan agenda negara yang melibatkan golongan tersebut tanpa memberi implikasi yang tidak baik kepada fungsi utama organisasi.

Menyedari ketidakupayaan golongan tersebut, majikan seharusnya lebih peka dalam memastikan pekerja OKU diberikan peluang yang sama seperti pekerja lain untuk turut sama menyumbang kepada organisasi.

Banyak peranan yang boleh dimainkan oleh unit tersebut antaranya dari segi latihan dan penilaian selain penyediaan fasiliti dan aksesibiliti.

Menjadi sesuatu yang tidak adil sekiranya pekerja OKU diberi layanan yang sama seperti pekerja lain. Adil di sini adalah merujuk kepada layanan yang berpatutan bagi menampung ketidakupayaan pekerja OKU.

Sebagai contoh memberikan tempoh masa yang lebih fleksibel kepada OKU dalam sistem penilaian atau menyediakan penterjemah semasa sesi latihan kepada OKU pendengaran dan pertuturan.

Memandangkan unit ini bukan sahaja melihat keperluan pekerja OKU dalam organisasi, tetapi turut mengambil kira pelanggan organisasi, maka unit ini perlulah diletakkan berasingan daripada bahagian sumber manusia.

Ini bagi membolehkan unit ini beroperasi dengan lebih baik tanpa sekatan-sekatan yang tidak munasabah.

Bagi memastikan kelancaran operasi, unit ini hendaklah menjalinkan kerjasama dengan bahagian-bahagian lain dalam organisasi khasnya dapat memberikan pandangan berkenaan OKU.

Ini jelas menunjukkan terdapat keperluan untuk mewujudkan unit khas bagi memberi fokus kepada pembangunan OKU dalam organisasi.

Walau apa pun cadangan diberikan, akhirnya akan berbalik semula kepada pihak pengurusan atasan organisasi untuk membuat keputusan. Kesungguhan pihak tersebut dalam perkara ini amatlah diharapkan dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.