SEHINGGA kini, terdapat lima destinasi Tapak Warisan Dunia di Malaysia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), iaitu Taman Negara Mulu di Sarawak, Taman Negara Kinabalu di Sabah, George Town di Pulau Pinang, Bandaraya Melaka, dan Tapak Warisan Arkeologi Lenggong di Perak.

Kelima-lima destinasi ini mempunyai daya tarikan dan keunikannya yang tersendiri. Seperti di Taman Negara Mulu dan Taman Negara Kinabalu yang memiliki bentuk geografi yang sangat unik, masing-masing berlatar-belakangkan keindahan Gunung Mulu dan Gunung Kinabalu, serta dilitupi oleh hutan dara tropika yang kaya dengan kepelbagaian bio.

Selain itu, bandar raya Melaka dan George Town pula sangat terkenal sebagai bandar warisan nasional yang menyimpan pelbagai tinggalan sejarah era penjajahan yang masih boleh dilihat sehingga kini. Seterusnya, Tapak Warisan Arkeologi Lenggong yang terletak di hulu Perak. Lokasinya berada di lembah lenggong yang disalir oleh Sungai Lenggong.

Lembah ini menjadi sangat penting kerana pelbagai artifak sejarah purba ditemui di sini seperti ‘Perak Man’, yang merupakan kawasan tempat tinggal manusia terawal yang diketahui di Semenanjung Malaysia.

Dengan keunikan warisan yang dimiliki, Malaysia mampu menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negara ini.

Hal ini selari dengan hasrat kerajaan melalui ucapan pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; “Industri pelancongan menyumbang sebanyak 14.9 peratus daripada KDNK atau RM201.4 bilion pada tahun 2017. Memandangkan sektor ini memainkan peranan yang penting dalam menjana hasil mata wang asing, kerajaan akan menitikberatkan sasaran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membawa masuk 30 juta pelancong asing yang bakal menyumbang RM100 bilion kepada ekonomi negara menjelang tahun 2020”.

Pelancongan warisan budaya yang semakin penting di kebanyakan negara Barat dan Asia telah membuka cabaran baharu kepada produk warisan Malaysia untuk turut ditonjolkan di mata dunia. Malaysia amat bertuah kerana mempunyai lima buah lokasi Tapak Warisan Dunia yang terdiri daripada tiga jenis warisan yang berbeza, iaitu taman negara, bandar bersejarah dan tapak arkeologi.

Bukti Malaysia sedang memberikan penekanan kepada sektor pelancongan warisan budaya adalah melalui kerjasama awam swasta bagi program pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur untuk menjadikan bangunan ikonik ini sebagai pusat kesenian, kebudayaan dan warisan. Projek ini akan diusahakan bersama dengan syarikat warisan tempatan, ThinkCity, dan sebuah pertubuhan antarabangsa yang diiktiraf Unesco yang akan diterajui oleh Khazanah.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan kemudahan pinjaman bagi membantu pengusaha kraf tangan dan homestay (inap desa) untuk meluaskan perniagaan mereka melalui Dana Tabung Pelancongan PKS dengan peruntukan RM500 juta melalui SME Bank.

Melalui kemudahan dana ini diharap mampu menarik minat lebih ramai usahawan muda berkecimpung dalam industri pelancongan negara dengan mewujudkan lebih banyak kemudahan homestay dan resort serta pelbagai produk kraf tangan warisan budaya Malaysia yang berkualiti tinggi seperti batik dan songket.

* Penulis penuntut Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu