PEMBANGUNAN urbanisasi yang begitu pesat secara tidak langsung akan memberikan tekanan ekosistem kepada sesuatu bandar atau tempat. Oleh itu, pendekatan polisi ke arah pembangunan yang lestari dan efektif adalah sangat mustahak terutama di bandar-bandar utama.

Faktor utama yang memberikan kesan dalam tekanan ekosistem kepada kawasan bandar adalah pengangkutan. Ini kerana pengangkutan merupakan penyumbang utama dalam pelepasan asap atau karbon yang akan mengakibatkan kesan rumah hijau dan pemanasan global.

Kenderaan rendah karbon ataupun lebih dikenali sebagai kenderaan elektrik merupakan salah satu pengangkutan bandar yang efisien dan berteknologi hijau, dapat menyumbangkan kebaikan ke arah bandar rendah karbon.

Oleh yang demikian, kerajaan Malaysia telah mula mengorak langkah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kenderaan elektrik dan membangunkan stesen pengecas kenderaan elektrik di seluruh negara.

Di Malaysia, kita mempunyai beberapa jenis kenderaan yang berstatus kenderaan cekap tenaga (EEV), di antaranya dari jenama antarabangsa BMW 330e, Volvo XC90 dan Mercedes Benz C350. Manakala jenama tempatan terdiri daripada model Perodua Bezza, Myvi dan Proton Persona serta Proton Iriz.

Dalam salah satu pelan tindakan teknologi hijau (GTMP) iaitu sektor pengangkutan, kerajaan mempunyai pelbagai rancangan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan kenderaan rendah karbon, di antaranya inisiatif EV-Car sharing yang diperkenalkan oleh COMOS yang menyediakan sewaan kereta elektrik di kawasan terpilih di Lembah Klang. Antara yang disediakan terdiri daripada model kereta elektrik jenis Renault Zoe, model ini mampu bertahan sejauh 140km bagi pengecasan penuh.

Dari segi motosikal elektrik, jenama tempatan Eclimo dan Tree Elektrik telah mengeluarkan motosikal elektrik dan telahpun menembusi pasaran dengan harga yang begitu kompetitif. Ini juga adalah salah satu usaha oleh kerajaan yang menyasarkan 100,000 kenderaan rendah karbon untuk berada di atas jalan raya di negara ini menjelang 2020.

Bagi infrastruktur pengecas kenderaan elektrik, Malaysian Green Technology Corporation adalah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah memasang sebanyak 245 tempat pengecas kenderaan elektrik di semenanjung Malaysia. Tempat pengecas yang dikenali sebagai chargEV adalah sebagai salah satu usaha kerajaan bagi menggalakkan rakyat menggunakan kenderaan rendah karbon dan cekap tenaga.

Ini adalah strategi untuk mempertingkatkan ekosistem mobiliti elektrik dan menyediakan infrastruktur stesen pengecas di seluruh negara melalui rangka kerja polisi pelan tindakan teknologi hijau dan pelan tindakan mobiliti rendah karbon.

Selain itu, di bawah pelan tindakan mobiliti rendah karbon, kerajaan telah mengorak langkah dengan menambahkan lagi 10 tempat pengecas kenderaan elektrik di Pulau Langkawi sebagai salah satu projek yang dinamakan projek Pulau Langkawi pulau rendah karbon. Kini Pulau Langkawi dilengkapi dengan infrastruktur stesen pengecas kenderaan elektrik bagi memudahkan penduduk tempatan dan juga pelancong untuk mengecas kenderaan cekap tenaga masing-masing.

Kenderaan elektrik juga mempunyai pelbagai kelebihan yang harus diketahui oleh orang ramai, di antaranya ialah kenderaan elektrik mempunyai sistem brek regeneratif di mana tenaga bateri kenderaan tersebut akan dihasilkan semula melalui sistem brek ketika menuruni bukit dan juga ketika berada dalam kesesakan lalu-lintas.

Selain itu, kos penyelenggaraan tidak begitu tinggi berbanding kenderaan konvensional kerana kenderaan rendah karbon tidak mempunyai enjin dan tangki petrol yang biasanya memerlukan penyelenggaraan setiap 5,000 atau 10,000 kilometer.

Justeru, rakyat Malaysia haruslah mempertimbangkan untuk menggunakan kenderaan rendah karbon demi melindungi bumi hijau kita bebas daripada asap.

* Ruangan ini dikelolakan oleh GreenTech Malaysia