GOLONGAN orang kurang upaya (OKU) turut mempunyai hak dalam menjalani hidup bermasyarakat. Sebahagian daripada golongan tersebut bukan sahaja dapat mengurus diri sendiri, tetapi juga berpotensi dalam memberi sumbangan kepada ekonomi negara.

Namun begitu, keputusan untuk mengambil dan mengupah OKU bekerja bukanlah suatu keputusan yang mudah untuk dibuat oleh majikan, memandangkan pihak majikan perlu menimbangkan banyak perkara bagi tujuan tersebut.

Walaupun kerajaan memberi pelepasan cukai bagi menggalakkan majikan mengupah golongan tersebut bekerja, tetapi sebagai satu entiti yang berorientasikan hasil, sudah pasti majikan ingin mengurangkan risiko dan kos yang akan ditanggung.

Menjadi satu cabaran kepada majikan dalam mengambil dan mengupah OKU bekerja terutama dalam menentukan skop tugas mereka. Ini penting dalam memastikan kesesuaian tugas yang akan diberikan.

Namun begitu, majikan yang prihatin dan kreatif dapat mereka bentuk kerja OKU dengan baik, sekali gus dapat mengurangkan risiko dan memastikan hasil kepada organisasi tidak terjejas.

Pada dasarnya, kekosongan jawatan dalam organisasi wujud disebabkan ketiadaan atau kekurangan kakitangan bagi menjalankan tugas tertentu.

Bagi membolehkan suatu organisasi itu berfungsi dengan baik, maka kekosongan jawatan tersebut dibuat pengisian.

Melalui proses pengambilan pekerja, majikan akan memilih calon yang betul-betul layak. Keputusan pemilihan hendaklah dibuat dengan betul kerana akan memberikan kesan kepada organisasi dan melibatkan kos yang bakal ditanggung majikan.

Perkembangan sistem pendidikan yang dibantu dengan penggunaan teknologi pada hari ini telah memberi peluang kepada semua pihak mendapat pendidikan dengan lebih baik, termasuklah golongan OKU. Ini turut meningkatkan kadar keluaran graduan daripada institusi pendidikan tinggi.

Namun begitu, golongan OKU dilihat sukar mendapat peluang pekerjaan walaupun mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi.

Terdapat juga antara mereka yang ditawarkan jawatan yang tidak setaraf dan jauh lebih rendah berbanding kelayakan yang dimiliki. Lebih malang lagi, sesetengah mereka langsung tidak diberikan peluang kerja seolah-olah dinafikan kewujudan golongan tersebut.

Bagi mengatasi masalah ini, majikan disaran untuk melihat kepada potensi sebenar setiap calon yang membuat permohonan kerja dan bukannya membuat andaian ke atas ketidakupayaan calon. Sekiranya terdapat calon OKU yang memiliki kelayakan, pihak majikan seharusnya memberikan mereka peluang.

Majikan hendaklah memadankan keperluan organisasi dengan keupayaan calon dalam mereka bentuk semula pekerjaan agar lebih bersesuaian dengan golongan tersebut.

Penyusunan dan agihan kerja perlu dibuat bagi memastikan kerja dapat dilaksanakan mengikut keupayaan supaya tidak memberi kesan terhadap operasi dalam organisasi.

Selain daripada itu, majikan boleh juga menimbang untuk memperkayakan tugas seorang pekerja lain untuk membantu pekerja OKU di samping menjalankan tugas hakiki beliau.

Sebagai balasan, pekerja tersebut boleh diberikan insentif berbentuk imbuhan atau cuti ganti mengikut jam kerja tambahan yang dibuat.

Apabila kesemua warga kerja tahu dan menjalankan peranan mereka tanpa sebarang masalah dan halangan, ini akan memberikan impak yang positif kepada organisasi khasnya dalam meningkatkan produktiviti organisasi.

Walau apa pun juga, OKU itu sendiri perlulah membuktikan keupayaan mereka dalam organisasi dengan mempamerkan kesungguhan mereka dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

Ini adalah penting bagi membuka mata sesetengah majikan yang takut untuk mengupah OKU bekerja dan menafikan tanggapan mengenai golongan tersebut sebagai bebanan dan kos kepada organisasi.

Secara langsung akan dapat mebuktikan bahawa golongan OKU juga boleh memberi pulangan kepada organisasi dan ekonomi negara.

Diharapkan dengan mereka bentuk pekerjaan OKU akan memberi faedah kepada semua khasnya kepada organisasi itu sendiri.